Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya harta bagaimanakah yang boleh untuk diwakafkan? Adakah yang tidak boleh alih seperti tanah dan bangunan sahaja?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran:92)

Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Imam Ibn Kathir ada menyatakan satu kisah berkaitan Abu Talhah RA yang mewakafkan satu telaga yang paling disukainya demi mendapat redha Allah SWT dan RasulNya. (Lihat Tafsir al-Quran ‘Azim, 1/496)

 

Harta Wakaf Tidak Alih

Harus mewakafkan harta yang tidak boleh beralih atau kekal sama ada dalam bentuk tanah, rumah, bangunan perniagaan, perigi atau mata air, sama ada barang-barang tersebut boleh diambil manfaatnya dengan segera ataupun pada masa akan datang.

Hukum ini berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan amalan para sahabat, sebagaimana kata Jabir RA: “Tiada seorang pun di kalangan para sahabat yang berkemampuan, tetapi tidak mewakafkan hartanya.”

Begitu juga kata Imam al-Syafie Rahimahullah: “Telah sampai kepadaku berita bahawa lapan puluh orang sahabat di kalangan Ansar telah bersedekah dengan sedekah muhramat.” Iaitu bermaksud mewakafkan harta.

Sebagaimana yang diketahui umum, kebanyakan harta yang diwakafkan adalah berbentuk tanah, rumah atau perigi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/17)

 

Wakaf Harta yang Boleh Beralih

Mewakafkan harta yang boleh beralih, seperti haiwan, kenderaan, alat-alat perang, pakaian, berus, bejana dan buku-buku yang bermanfaat adalah sah.

Ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, katanya: Sabda Rasulullah SAW:

مَنِ احْتَبَسَ فَرَسًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِيمَانًا بِاللَّهِ وَتَصْدِيقًا بِوَعْدِهِ، فَإِنَّ شِبَعَهُ وَرِيَّهُ وَرَوْثَهُ وَبَوْلَهُ فِي مِيزَانِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mewakafkan kuda di jalan Allah kerana keimanannya kepada Allah dan kerana menunaikan janjinya, maka segala makanan, minuman, tahi dan kencing kuda itu akan dimasukkan ke dalam timbangan kebaikannya pada hari Akhirat.”

Riwayat al-Bukhari (2698) dan al-Nasaie (6/225)

Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah RA berkata:

وَأَمَا خَالِدٌ فَإِنَّكُم تَظْلَمُون خَالِدًا ، فَقَدِ احْتَبَسَ أَدْرَاعَهُ وَأَعْتَدَهُ فِي سَبِيلِ اللَّه

Maksudnya: “Berkenaan Khalid, kamu semua sebenarnya telah menzalimi Khalid kerana beliau telah pun mewakafkan perisainya dan segala alatan peperangannya pada jalan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (1399) dan Muslim (987)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” Wallahua’lam

Leave a Reply