#5297: Syarat-Syarat Harta yang Diwakafkan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah syarat-syarat harta yang diwakafkan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Wakaf

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Dalam Bahasa arab pula, wakaf berasal dari pada perkataan waqf bererti berdiri atau berhenti. (Lihat Lisan al-Arab, 9/359) Perkataan lain yang sama erti dengan perkataan wakaf ialah al-Habs yang bermaksud berhenti atau menahan. (Lihat al-Takrifat al-Fiqhiyyah, hlm. 239) Kebanyakan ulama fiqh mentakrifkan wakaf dari segi bahasa dengan perkataan al-Habs kerana perkataan ini lebih hampir kepada pengertian syarak.

Dari sudut Istilah pula, para ulama telah mengemukakan beberapa pentakrifan tentang wakaf seperti berikut:

Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks syariah sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” (Lihat Al-Mughni, 12/175)

Wahbah al-Zuhayli menyebut, “Wakaf ialah menahan harta benda daripada pemilikan untuk individu tertentu dan diuruskan manfaat (harta itu) untuk pihak yang telah diwakafkan ke atasnya (Mauquf Alaihi)”. (Lihat Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 6/4553)

Mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran:92)

Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Imam Ibn Kathir ada menyatakan satu kisah berkaitan Abu Talhah RA yang mewakafkan satu telaga yang paling disukainya demi mendapat redha Allah SWT dan RasulNya. (Lihat Tafsir al-Quran ‘Azim, 1/496)

 

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan syarat-syarat bagi harta yang ingin diwakafkan itu ada empat:

Disyaratkan bagi harta yang diwakafkan seperti berikut:

Pertama: Wakaf itu barang yang tertentu. Tidak sah mewakafkan manfaat semata-mata barangnya sama ada ianya sementara, seperti mewakafkan tempat tinggal selama setahun ataupun manfaat itu kekal, seperti mewakafkan tempat tinggal itu selama-lamanya. Demikian itu kerana barang yang diwakafkan adalah asalnya dan manfaat adalah cabangnya kerana cabang mengikut yang asal, selama mana yang asal itu kekal atas pemilikan pewakaf, maka manfaat juga akan kekal menjadi miliknya.

Oleh itu, selagi mana hak milik asal masih di tangan pewakaf, maka manfaatnya juga masih menjadi hak milik pewakaf. Kedua-dua aspek ini tidak dapat dipisahkan melalui wakaf.

Selain itu, tidak menentukan harta mana yang hendak diwakafkan juga adalah tidak sah. Sebagai contoh, jika pewakaf mewakafkan salah satu daripada rumahnya atau salah sebuah kenderaannya tanpa menentukan yang mana satu yang diwakafkan, maka tidak sah. Ini kerana beliau tidak menentukan apa yang diwakafkan, seolah-olah beliau hanya bergurau dan bukannya bersungguh-sungguh.

Kedua: Harta yang diwakafkan hendaklah milik pewakaf dan boleh dipindah milik. Harta ini hendaklah memberikan faedah atau manfaat. Dengan ini, tidak sah mewakafkan harta yang bukan milik pewakaf. Wakaf bermakna memindahkan hak milik sesuatu harta daripada tangan pewakaf. Ini bermakna mewakafkan harta yang bukan milik pewakaf adalah perbuatan sia-sia.

Sehubungan dengan itu, tidak sah bagi seorang yang merdeka mewakafkan dirinya sendiri kerana dirinya bukan menjadi miliknya, sebaliknya dirinya adalah milik Allah SWT.

Begitu juga, tidak sah mewakafkan janin haiwan tanpa mewakafkan ibunya sekali kerana janin tersebut tidak sah dipindahkan pemilikannya selama mana berada dalam kandungan ibunya dan jika diwakafkan ibunya, sahlah wakaf janin yang mengikutnya.

Harta yang diwakafkan mestilah mempunyai manfaat yang sesuai dengan maksudnya. Tidak sah wakaf tanah yang tidak sesuai untuk bercucuk tanam atau membina bangunan. Begitu juga, kain baju yang koyak rabak dan tidak berfaedah sedikitpun. Ini kerana tujuan wakaf adalah untuk mendapatkan manfaat sedangkan harta tersebut tiada faedahnya.

Ketiga: Manfaat daripada wakaf itu berterusan. Justeru, tidak harus mewakafkan makanan dan seumpamanya kerana manfaatnya tidak bertahan lama.

Makna berterusan di sini bersifat relatif dan bukan kekal selama- lamanya. Iaitu kekal untuk satu tempoh yang boleh disewakan atau boleh mendapat manfaat dengan upah. Contohnya, wakaf kereta atau haiwan tunggangan. Maka, ianya sah walaupun kereta itu tidak kekal manfaat selama-lamanya kerana ia mungkin rosak atau binasa dan begitu juga binatang.

Seperkara lagi, tidak disyaratkan manfaat itu serta-merta. Cukup sekadar ia boleh dimanfaatkan walaupun pada masa akan datang. Mewakafkan seekor haiwan yang masih kecil adalah sah kerana ia boleh dimanfaatkan di kemudian hari.

Keempat: Adapun bentuk manfaat daripada wakaf itu adalah harus dan tidak haram, iaitu tidak sah wakaf ke atas barang yang haram manfaatnya, seperti alat hiburan atau seumpamanya kerana wakaf itu bertujuan mendampingi diri kepada Allah sedangkan maksiat menafikan matlamatnya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *