#535 Perkahwinan Dihalang Ibu Bapa

Soalan

Ibu bapa saya menghalang saya daripada bernikah dengan perempuan dari negeri tertentu. Bagaimana kalau saya tidak mengikut larangan tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.[1]

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah Al-Nisa’: 3)

Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perbuatan itu merupakan Sunnah Baginda Nabi SAW. Selain itu perkahwinan juga terdapat pelbagai kebaikan dan faedah, sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub RA, Sabda Nabi SAW:

أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ

Maksudnya: Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.

Riwayat al-Tirmizi (1080) dan Ahmad (23628)

Perkahwinan adalah suatu perkara yang diharuskan di dalam syariat Islam sebagai memenuhi fitrah manusia yang ingin berpasangan. (Lihat al-Mu’tamad, 4/16)

Pernikahan juga adalah suatu Sunnah Rasulullah SAW yang disebutkan di dalam banyak hadith. Antaranya yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

النِّكَاحُ مِنْ سُنَّتِي فَمَنْ لَمْ يَعْمَلْ بِسُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

MaksudnyaPernikahan adalah dari sunnahku, sesiapa yang tidak beramal dengan Sunnah aku, bukanlah daripada kalanganku.

Riwayat Ibn Majah (1846)

Dalam menjawab persoalan ini, terdapat beberapa perkara yang perlu difahami dengan baik agar dapat menyelesaikan kemelut ini.

Maqasid Pernikahan

Sesungguhnya setiap perkara yang disyariatkan oleh Islam itu mempunyai tujuan dan hikmah yang sangat besar. Tidak ada sesuatu yang disyariatkan oleh Allah SWT itu tidak mempunyai hikmah atau sekadar sia-sia. Antara perkara yang perlu difahami oleh semua umat Islam adalah maqasid atau tujuan pensyariatan perkahwinan di dalam Islam. Antara maqasid yang disebutkan para ulama’ di dalam pensyariatan perkahwinan adalah memelihara keturunan, mengeluarkan air (mani) yang membawa darurat apabila hanya terkandung dalam badan. Begitu juga dapat membantu membela nasib wanita dengan memberikan nafkah, mengelak daripada berlakunya zina dan memperbanyakkan umat Nabi SAW. (Lihat al-Mausuah al-Kuwaitiyah, 41/ 209)

Syeikh Abdullah Bin Bayyah pula menyebutkan bahawa antara maqasid pernikahan adalah untuk beranak-pinak, berkasih-sayang, dan bersilaturahim. Perbuatan yang menyebabkan terputusnya silaturahim adalah ditegah di dalam Islam. (Lihat Maqasid al-Muamalat wa Marasid al-Waqiat, hlm. 53)

Maka, jelaslah bahawa pernikahan itu mempunyai maqasid dan hikmah yang sangat banyak dan mengangkat kepentingan mengeratkan silaturahim sesama manusia.

Kesepadanan Dalam Perkahwinan

Selain itu, perlu untuk kita fahami salah satu bab dalam hal perkahwinan adalah, masalah kesepadanan. Kesepadanan atau asal perkataan di dalam bahasa arab ialah kafaah yang bermaksud persamaan. Dari sudut syarak, ia bermaksud perkara wajib yang ditinggalkan kerana aib.

Namun begitu, kesepadanan ini tidak menentukan sah atau tidak pernikahan, ia hanya hak untuk wali dan orang perempuan, maka kedua mereka berhak untuk menolak lelaki tersebut.

Syeikh Muhammad al-Zuhili menyatakan bahawa Salah satu perkara yang termasuk dalam hal kesepadanan ialah keturunan. Maka, perbezaan sesuatu puak dengan puak yang lain dianggap tidak setara atau sepadan, sepertimana dicontohkan bahawa orang arab Quraisy tidak sepadan dengan yang bukan Quraisy. (Lihat al-Mu’tamad, 4/82)

Maka, begitulah di negara ini, ada kalanya ada terdapat perbezaan di antara masyarakat di antara satu negeri dengan negeri yang lain. Maka, Islam tetap meraikan hal ini bagi menjaga maruah dan budaya keluarga.

Yang terakhir, perkara yang perlu dirai’kan di dalam persoalan ini ialah adab seorang anak dengan ibu dan bapa.

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’: 23)

Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932)

Kami mengajak untuk kita hayati suatu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ, وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ

MaksudnyaKeredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa.

Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026)

Justeru, meskipun kita sedang membincangkan hukum-hakam sekiranya perkahwinan itu terjadi, tetapi perlu untuk kita meraikan Islam itu secara syumul yang tidak pernah memisahkan akhlak dalam kehidupan penganutnya. Maka, sebolehnya untuk kita sentiasa menjaga hati dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Berdasarkan persoalan di atas, secara hukumnya, seorang lelaki itu tidak memerlukan keizinan wali untuk bernikah. Pernikahan juga sah tanpa izin daripada kedua orang tuanya. Namun, kami juga ingin menasihati, agar perbincangan yang baik bersama dengan ibu bapa hendaklah dilakukan sebelum memilih calon. Hal ini kerana hubungan kekeluargaan sangatlah penting untuk dijaga supaya dengan pernikahan tersebut, tidak menimbulkan permasalahan yang rumit dalam hubungan kekeluargaan pada masa akan datang.

Begitu juga nasihat kami kepada ibu bapa di luar sana agar lebih bersifat terbuka dan mementingkan calon yang lebih beragama daripada ciri-ciri lain. Ini sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu hatim al-Muzani RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ

Maksudnya: Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kamu redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, maka akan timbullah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan.

Riwayat al-Tirmidzi (1085) dan al-Baihaqi (13863)

Kami juga ingin menyeru agar memperbanyakkan doa-doa yang baik, dan salah satu doa yang boleh kita amalkan bersama, agar dikurniakan pasangan yang baik ialah seperti yang diajarkan al-Quran:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nikah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *