#5399: Syarat-Syarat Tuduh Zina

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah syarat-syarat hukuman qazaf? Mohon pencerahan Dato. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Tuduh Zina (Qazaf)

Qazaf (القَذَفُ) merupakan perkataan yang berasal dari bahasa Arab yang bermaksud melemparkan sesuatu. (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/277)

Manakala maksud qazaf berdasarkan istilah syara‘ pula, seperti yang didefinisikan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji bermaksud perbuatan melemparkan tuduhan berzina yang bertujuan mencaci dan memalukan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/65)

Tuduhan qazaf ini termasuk dalam salah satu jenayah dosa besar yang dituntut oleh syara‘ untuk kita jauhinya. Ini seperti yang disebutkan dalam hadith riwayat Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “‘Hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan (tujuh dosa-dosa besar).’ Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara tersebut?’ Baginda bersabda: ‘Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (berzina) terhadap wanita-wanita yang memelihara maruah diri serta beriman lagi baik (lalai daripada pengaruh sekeliling)’.”

Riwayat al-Bukhari (2766)  dan Muslim (89)

Syara‘ telah menetapkan hukuman hudud ke atas jenayah qazaf ini, iaitu sebanyak 80 kali sebatan dan ditarik penyaksiannya selama-lamanya. Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.”

(Surah al-Nur: 4)

Sekiranya seorang suami itu menuduh seorang lelaki lain yang disyaki berzina bersama isterinya, maka dia secara tidak langsung telah menuduh isterinya juga berzina. Maka dia telah melakukan kesalahan yang boleh mengakibatkan perkahwinannya terbubar dan tidak boleh dirujuk semula selama-lamanya. Pada ketika itu, dia juga akan dituntut untuk melafazkan li‘an, iaitu sumpah agar pihak yang berdusta ditimpa laknat Allah SWT.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sesuatu hukuman terhadap pesalah tuduh zina akan hanya dijalankan setelah memenuhi 10 syarat berikut. Lima syarat pada penuduh dan lima syarat pada mangsa yang dituduh. Di sini kami nukilkan dari kitab al-Fiqh al-Manhaji (8/66).

Syarat pada Penuduh

  1. Baligh. Hukuman tidak boleh dijalankan terhadap penuduh yang masih belum baligh kerana dia tidak mukallaf. Ini berdasarkan hadith:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الْمَجْنُونِ الْمَغْلُوبِ عَلَى عَقْلِهِ حَتَّى يُفِيقَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ

Maksudnya: “Telah diangkat daripada tiga orang, iaitu orang gila yang kehilangan akalnya sehinggalah dia sedar, orang tidur sehinggalah jaga, dan kanak-kanak sehinggalah dia bermimpi (baligh).”

Riwayat Abu Daud (4399)

Sekiranya pesalah telah mumayyiz, dia boleh dihukum ta’zir.

  1. Berakal. Hukuman ini tidak boleh dijalankan terhadap orang gila kerana segala tindakannya tidak boleh dipersalahkan seperti mana yang dinyatakan dalam hadith di atas.

Hikmah hukuman ini tidak dikenakan terhadap kanak-kanak dan orang gila ialah tuduhan oleh orang seperti ini tidak menimbulkan kesan buruk. Sementara orang yang mabuk dengan sengaja dikira sama seperti mukallaf dan tetap tertakluk dengan hukuman hudud.

  1. Penuduh mestilah tidak mempunyai ikatan dengan pihak yang dituduh seperti bapa, datuk dan ke atas. Termasuklah ibu atau nenek (dan ke atas mereka tidak akan dihukum sekiranya menuduh anak mereka atau zuriat (cucu cicit) mereka berzina. Sama seperti mereka tidak dihukum bunuh, sekiranya membunuh anak. Isu ini telah dibincangkan dalam tajuk jenayah.

Mereka juga tidak akan dihukum sekiranya menuduh orang yang hanya anaknya (penuduh) sahaja yang akan menerima pusaka tertuduh dan tiada waris lain yang berkongsi dengannya.

Contohnya, seseorang menuduh zina kepada bekas isterinya yang hanya pernah melahirkan anak lelaki untuknya, kemudian perempuan ini mati. Ini kerana apa yang tidak disabitkan pada awalnya tidak dithabitkan pada pengakhirannya, samalah seperti qisas. Tetapi jika bekas isterinya mempunyai anak lain hasil perkahwinannya dengan lelaki lain, hukuman hudud tidak akan digugurkan. Kita katakan hukuman tuduh zina tidak wajib dikenakan kepada seseorang (ta’zir), tetapi akan dikenakan ke atasnya mengikut hukuman yang dirasakan sesuai oleh pemerintah.

  1. Sukarela. Orang yang dipaksa membuat tuduhan tidak akan dihukum. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

رُفِعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Kesalahan umatku digugurkan sekiranya tersilap (tidak disengajakan), lupa dan dipaksa.”

Riwayat Ibn Majah (2045)

Ini kerana pelaku tidak berniat menuduh mangsa. Tindakannya hanya berdasarkan kepada paksaan. Sementara orang yang memaksa pula tidak dikenakan hukuman tuduh zina kerana dia tidak membuat tuduhan tersebut.

  1. Penuduh mengetahui perbuatan tersebut diharamkan. Orang yang jahil tentang hukum tuduh zina, sama ada kerana baru memeluk Islam atau tinggal jauh daripada ulama’ tidak akan dikenakan hukuman. Namun sekiranya penuduh mengetahui perbuatan itu diharamkan, tetapi tidak mengetahui tentang kewajipan hukuman yang bakal dikenakan, kejahilannya ini tidak boleh dimaafkan untuk digugurkan hukuman hudud bagi kesalahan tuduh zina.

 

Lima Syarat pada Pihak yang Dituduh

  1. Islam.
  2. Baligh.
  3. Berakal.
  4. Berakhlak baik iaitu tidak pernah disabitkan dengan kesalahan sebelum itu.
  5. Tidak memberi keizinan kepada penuduh untuk menuduhnya. Walaupun sebenarnya keizinan ini tidak boleh membenarkan tuduhan zina dibuat. Namun dengan adanya keizinan ini, ia mewujudkan keraguan. Menurut sebuah hadith:

ادْرَءُوا الْحُدُودَ عَنِ الْمُسْلِمِينَ مَا اسْتَطَعْتُمْ فَإِنْ كَانَ لَهُ مَخْرَجٌ فَخَلُّوا سَبِيلَهُ فَإِنَّ الإِمَامَ أَنْ يُخْطِئَ فِي الْعَفْوِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يُخْطِئَ فِي الْعُقُوبَةِ

Maksudnya: “Hindarilah hukuman hudud daripada orang Islam seboleh mungkin, sekiranya ada jalan melepaskannya, lepaskanlah dia. Seorang pemerintah yang tersilap mengampunkan adalah lebih baik daripada dia tersilap menghukum.”

Riwayat al-Tirmizi (1424)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *