#5411: Nafkah Isteri Terhadap Suami?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’. Saya ada pertanyaan. Apakah nafkah yang dipertanggungjawabkan kepada isteri untuk suaminya. Dalam perkahwinan apa nafkah yang isteri wajib lunaskan kepada suami serta hak-hak  suaminya. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sesungguhnya, perkahwinan merupakan perkongsian hidup antara suami dan isteri dalam mencapai kehendak fitrah dan mardhatillah. Ia merupakan tanda kekuasaan Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Imam al-Qurtubi berkata: Yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki dari mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/14)

Definisi Nafkah

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274)

Berkenaan isu nafkah, kami telah jawab dalam beberapa isu:

#1578: Tanggungjawab Isteri[1]

#4459: Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri[2]

#3428: Benarkah Tugas Memasak Adalah Tugas Isteri?[3]

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan isteri tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada suaminya kerana kewajipan memberi nafkah itu terletak pada si suami. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

(Surah an-Nisa’: 34)

Namun begitu, dari sudut tanggungjawab kedua-duanya mempunyai peranan yang perlu digalas. Di sini kami kemukakan antara tanggungjawab isteri terhadap suaminya:

  • Taat dalam perkara bukan maksiat.
  • Tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke dalam rumahnya tanpa keizinan dan keredaan suaminya.
  • Menjaga Kemuliaan, Maruah dan Harta Suami.
  • Melayani suaminya dengan baik.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam memahami agama ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahua`lam.

Nota kaki:

[1] https://maktabahalbakri.com/1578-tanggungjawab-isteri/

[2] https://maktabahalbakri.com/4459-tanggungjawab-suami-terhadap-isteri/

[3] https://maktabahalbakri.com/3428-benarkah-tugas-memasak-adalah-tugas-isteri/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *