#5464: Aurat Pasangan yang Telah Meninggal Dunia

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum aurat suami isteri, apabila salah seorangnya sudah meninggal dunia? Contohnya si isteri telah meninggal. Adakah suami boleh menatap gambar arwah si isteri semasa hayatnya (dalam simpanan peribadi pasangan) yang tidak menutup aurat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan itu merupakan al-sunnah al-kauniyyah atau fenomena semula jadi yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai salah satu tanda kekuasaan-Nya. Oleh yang demikian, Allah SWT menciptakan segala sesuatu itu secara berpasang-pasangan seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:

وَمِن كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).”

(Surah al-Zariyat: 49)

Yakni, semua makhluk ciptaan Allah SWT itu berpasangan; langit dan bumi, malam dan siang, matahari dan bulan, daratan dan lautan, cahaya dan kegelapan, iman dan kufur, kematian dan kehidupan, kesedihan dan kegembiraan, syurga dan neraka, hatta yang bernyawa seperti jin, manusia, lelaki (atau jantan) dan perempuan (atau betina), dan tumbuh-tumbuhan. Kerana itu kemudiannya Allah SWT katakan: (لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ), yakni agar kalian tahu bahawa Pencipta itu hanya satu dan tidak ada sekutu baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/395)

Firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan menyimpan gambar suami atau isteri yang telah meninggal dunia adalah harus hukumnya. Hal ini kerana hubungan suami isteri itu berkekalan hingga akhirat. Oleh sebab itu juga, apabila salah seorang meninggal dunia, maka pasangan tersebut boleh memandikan suami atau isterinya. Namun, kami juga menasihatkan apabila melibatkan aurat, maka sebaiknya ia disimpan ditempat yang orang lain tidak dapat melihat aurat si mati kerana ia boleh mengaibkannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Marilah sama-sama kita sentiasa melazimi doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *