#5470: Menjaga Aurat dengan Bapa dan Ibu Tiri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika pasangan duda dan janda yang mempunyai anak berkahwin, adakah anak bagi setiap duda dan janda tersebut perlu menjaga aurat dengan ibu dan bapa tirinya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dan  (haram juga kamu berkahwin dengan) anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).”

(Surah al-Nisa’: 23)

Berdasarkan ayat di atas, Imam Ibn Kathir menafsirkan bahawa, anak-anak tiri perempuan tidaklah diharamkan untuk dikahwini dengan hanya termeterainya ikatan perkahwinan di antara bapa tiri dengan ibu kandungnya semata-mata, melainkan selepas bapa tiri tersebut bersetubuh dengan ibunya, maka ketika itu barulah diharamkan selama-lamanya perkahwinan bapa tiri dengan anak tiri perempuan tersebut. Sebaliknya, jika bapa tiri tidak pernah bersetubuh dengan ibu anak tiri perempuan tersebut selepas melafazkan akad nikah, lalu menceraikannya, maka tidak menjadi masalah baginya untuk berkahwin dengan anak tiri perempuan. Dan hukum yang sama juga diqiaskan serta diaplikasikan ke atas ibu tiri dengan anak tiri lelaki. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/218)

Signifikan kami membawakan ayat di atas adalah, apabila pertalian hubungan di antara ibu bapa tiri dengan anak-anak tiri menjadi mahram selama-lamanya kerana perkahwinan, maka hukum-hakam lain yang terkait seperti bersalaman, membuka aurat dan sebagainya adalah sama seperti keluarga. Dalam erti kata mudah, anak tiri perempuan tersebut umpama anak kandung bapa tiri itu selepas berlakunya persetubuhan dengan ibu kepada anak tiri.

Syeikh Sulaiman al-Bujairimi menerangkan perihal ini di dalam hasyiah beliau, katanya bahawa al-rabibah (الرَّبِيبَةُ) atau anak tiri perempuan adalah haram untuk dikahwini jika bapa tiri melakukan persetubuhan dengan ibu kandung, meskipun melalui dubur (yang dihukumkan haram). Dan sama juga hukumnya jika dia hanya memasukkan air mani sahaja ke dalam dubur si ibu tersebut; kerana memasukkan air mani itu sama seperti melakukan persetubuhan, dan nasab anak yang lahir tetap dinisbahkan kepada si bapa, juga tidak dikira sebagai talak ba’in jika si bapa itu menceraikan isterinya selepas memasukkan air maninya tanpa melakukan persetubuhan.

Kemudian, Syeikh menyebutkan satu kaedah yang masyhur di kalangan fuqaha’ empat mazhab:

أَنَّ الدُّخُولَ بِالْأُمَّهَاتِ يُحَرِّمُ الْبَنَاتِ، وَالْعَقْدُ عَلَى الْبَنَاتِ يُحَرِّمُ الْأُمَّهَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya melakukan persetubuhan dengan si ibu itu menjadikan si anak sebagai mahram, dan melafazkan akad ke atas si anak menjadikan si ibu sebagai mahram.” (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 3/422)

Secara asasnya, ulama’ Mazhab al-Syafi‘i menyatakan bahawa aurat perempuan di hadapan mahramnya ialah antara pusat hingga lutut, sama ada mahramnya itu lelaki atau perempuan, dan begitu juga antara wanita dengan wanita. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/188-189)

Meskipun dinyatakan bahawa aurat wanita di hadapan lelaki mahram antara pusat hingga lutut, namun seseorang wanita tidak boleh mendedahkan bahagian tubuhnya yang boleh menaikkan syahwat di hadapan mahramnya. Ini kerana setiap muslim wajib meninggalkan segala perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Hal ini dinyatakan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji, katanya: “Manakala (aurat wanita) di hadapan lelaki-lelaki mahramnya adalah antara pusat hingga lutut, iaitu harus hukumnya mendedahkan seluruh penjuru badannya di hadapan mereka dengan syarat aman daripada fitnah, jika sebaliknya (wujud fitnah) maka itu tidak dibenarkan (haram).”  (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/125)

 

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, aurat anak tiri dengan ibu bapa tirinya ini dapat dibahagikan kepada dua keadaan:

  • Pertama: Sebelum bapa tiri melakukan persetubuhan dengan si ibu, maka aurat anak tiri adalah sama seperti auratnya dengan lelaki bukan mahram, iaitu keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.
  • Kedua: Selepas bapa tiri melakukan persetubuhan dengan si ibu, maka aurat anak tiri adalah sama seperti auratnya dengan lelaki mahram, iaitu antara pusat hingga lutut.

Akan tetapi, kita tidak mempunyai upaya untuk mengetahui sama ada persetubuhan itu telah berlaku atau tidak, melainkan dengan cara pengakuan dari mereka sendiri. Perkara ini pastinya sukar kerana mereka tidak akan mendedahkannya melainkan jika berlakunya proses perceraian dan diminta penjelasan oleh hakim di Mahkamah Syariah. Maka, cukup sekadar mengambil kebarangkalian bahawa khulwah sahihah (خَلْوَةٌ صَحِيحَةٌ) atau duduknya pasangan tersebut secara berdua-duaan di dalam sebuah bilik itu bahawa mereka telah melakukan persetubuhan tersebut.

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan sedikit pencerahan kepada kita semua. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *