#5472: Puasa bagi Orang yang Selalu Bermusafir dan Kerap Sakit

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum puasa bagi orang yang selalu musafir dan kerap sakit sehingga tidak mampu menggantikan puasanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut : Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihar Ruh al-Ma’ni,14/212)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan wahai orang yang sakit, musafir dan yang berat untuk berpuasa, adalah lebih baik bagimu berpuasa dari membayar fidyah. Ini disebabkan puasa dapat melatih badan dan jiwa, kerana dapat meningkatkan keimanan, ketakwaan dan sentiasa merasa pengawasan Allah SWT.

Diriwayatkan Abu Umamah berkata kepada Nabi SAW, “Suruhlah aku melakukan sesuatu perkara yang dapat aku ambil daripada tuan,” lantas Baginda SAW menjawab:

عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَا مِثْلَ لَهُ

Maksudnya: “Berpuasalah, kerana kerana tidak ada sesuatu yang menyamai puasa itu.”

Riwayat Ahmad (no: 22140), dan Nasaie (no: 2220). Al-Haithami mengatakan perawi Ahmad dalah perawi Sahih. (Majma’ Zawaid 3/421)

Justeru, sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadanya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Jika cuai dan tidak mengqadanya sehingga masuk bulan Ramadhan yang lain, dia berdosa dan wajib mengqadha puasanya serta membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

1 thoughts on “#5472: Puasa bagi Orang yang Selalu Bermusafir dan Kerap Sakit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *