#5493: Doa Memohon Rahmat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato kongsikan satu doa dalam memohon rahmat-Nya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara doa yang boleh kita amalkan dalam memohon rahmat adalah:

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahfi: 10)

Ibn Kathir menyebut dalam mentafsirkan ayat ini: “Maksudnya kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, yang dengannya Engkau mengasihi kami. Dan tetapkanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami. Dengan kata lain, jadikanlah kesudahan akhir kami di atas petunjuk yang lurus.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/230)

Imam al-Tabari menjelaskan, lafaz “رَشَدًا” maksudnya adalah petunjuk dalam mengamalkan perbuatan yang Allah cintai. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil al-Quran, 17/605)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut dalam tafsirnya: “Dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami.” Atau bermakna, “Jadikanlah ujian kami ini sebagai petunjuk yang lurus, Engkau mencukupkan kemaslahatan kami dan menjadikan kami termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk dan bukan golongan orang-orang yang sesat, juga tergolong orang yang mendapat hidayah bukan golongan yang dalam kebingungan.” Atau, “Jadikanlah segala urusan kami ini sebagai perkara yang benar.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/217)

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *