#5495: Kisah Sedekah Memanjangkan Umur Seseorang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato kongsikan satu kisah tentang kelebihan sedekah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Sedekah

Sedekah pada bahasa bermaksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 271)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riyak, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620).

Menjawab persoalan di atas, hakikatnya banyak kisah-kisah teladan berkenaan kelebihan sedekah. Maka, antara yang boleh kami kongsikan ialah:

Kisah Umur 50 Hari kepada 50 Tahun kerana Sedekah

Diceritakan bahawa Nabi Dawud AS memiliki seorang sahabat yang amat akrab dengan Baginda AS. Dia juga merupakan pengikut setia dakwah Nabi Dawud AS AS.

Akan tetapi satu ketika malaikat Jibril turun bertemu dengan Nabi Dawud AS dan memberitahunya, “Wahai Nabi Dawud, beritahulah kepada sahabatmu bahawa ajalnya akan segera tiba. 50 hari lagi dia akan meninggal dunia.”

Seketika Nabi Dawud AS amat terkejut dan sedih. Sahabat yang amat dikasihinya telah ditakdirkan oleh Allah untuk meninggal dunia dalam masa yang amat singkat. Akhirnya dengan berat hati, Nabi Dawud AS menceritakan perkhabaran yang diterimamnya kepada sahabatnya, “Wahai sahabatku, sesungguhnya aku tak sampai hati untuk menyampaikan hal ini kepadamu. Namun Jibril memerintahkanku untuk mengatakan kepadamu bahawa ajalmu telah dekat. 50 hari lagi, engkau akan meninggalkan dunia ini.”

Si sahabat ini pun sangat sedih. Dia belum bersedia untuk berpisah dengan Nabi Dawud AS yang sangat dikasihinya. Namun, dia juga sedar bahawa setiap orang pasti akan mati. Lantas, dia menghabiskan sisa-sisa masanya dengan beribadah kepada Allah SWT.

Hari demi hari berlalu hingga tibalah ke hari yang ke50- iaitu waktu ajalnya tiba. Dia lalu menyiapkan makanan untuk dia berikan untuk kali terakhir kepada sahabatnya Nabi Dawud AS.

Namun, di tengah perjalanannya untuk pergi bertemu dengan Nabi Dawud AS, dia berjumpa dengan seorang fakir yang kelaparan. Hatinya pun bimbang. Makanan yang dibawa adalah makanan terakhir pemberiannya untuk sahabatnya Nabi Dawud AS yang amat dikasihinya. Namun, dia segera menolak fikirannya dan berkata, “Ah, mengapa aku mendahulukan egoku untuk memberi kepada Nabi Dawud AS. Sedangkan sudah jelas yang fakir di hadapanku ini lebih memerlukannya.”

Orang fakir itu menerima pemberian makanan daripadanya dengan rasa gembira yang tidak terhingga. Semua makanan dihabiskan tanpa tertinggal sedikit pun. Setelah kejadian tersebut, malaikat Jibril AS lantas diperintahkan oleh Allah SWT untuk memberi khabar kepada Nabi Dawud AS dengan mengatakan bahawa berkat sedekah makanan sahabatnya itu, Allah SWT telah menunda ajalnya. Dia diberikan anugerah tambahan umur 50 tahun lamanya.

Setelah dia sampai untuk bertemu dengan Nabi Dawud AS, Nabi Dawud AS pun memberitahunya akan hal tersebut. Dia amat terkejut, gembira dan lantas bersyukur kepada Allah SWT. (Lihat Hasyiyah al- Shawy ‘ala Tafsir Jalalain, 5/2, oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad al- Shawy al-Misri al-Khalwati al-Maliki)

Suka kami nyatakan juga, kami telah menulis sebuah buku berkenaan, “Keajaiban Sedekah.” Maka, jika anda berminat untuk mendapatkan penulisan kami, anda boleh tekan di link bawah:

https://pck.onpay.my/order/form/Azamramadhan/188

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ أَعْمَالَنَا كُلَّهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الْكَرِيمِ، وَتَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau jadikanlah kesemua amalan kami ini Ikhlas kerana  mengharapkan wajah-Mu yang Mulia, dan terimalah doa kami ini, sesungguhnya Engkau yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *