Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan maksud lailan (لَيْلًا) dalam Surah Al-Isra’ ayat 1?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Isra’: 1)
Sebutan lailan (لَيْلًا) memberi isyarat dengan makna sejuzuk dan sebahagian daripadanya kerana lafaznya berbentuk nakirah.
Al-Tabari menyatakan, maksud lafaz ‘لَيْلًا’ adalah sebahagian malam. Demikianlah Huzaifah bin Yaman membacanya dengan ‘مِنَ اللَّيْلِ’ (Lihat Jami‘ al-Bayan, 16/392).
Al-Syaukani berkata: Suatu pendapat menyebut bahawa maksud ‘لَيْلًا’ adalah menyedikitkan masa ‘الإسراء’, iaitu, Allah SWT memperjalankan Baginda SAW hanya pada sebahagian malam, dari Makkah ke Syam yang biasanya ditempuhi dalam waktu 40 hari (jika menggunakan pengangkutan biasa pada zaman tersebut).
Wajh al-dalalah (bentuk pendalilan) bahawa lafaz ‘لَيْلًا’ menunjukkan sedikitnya masa tersebut adalah bentuk nakirah yang menunjukkan sebahagian. Berbeza jika dikatakan ‘سَرَيْتُ اللَّيْلَ’ (aku berjalan malam tadi), kerana ini bermaksud perjalanan itu mencakupi seluruh malam tersebut.
Dalam menyatakan bahawa lafaz ‘لَيْلًا’ menunjukkan sebahagian, pengarang al-Kassyaf berdalilkan dengan qira’at Abdullah dan Huzaifah: ‘مِنَ اللَّيْلِ’ (pada sebahagian malam). (Lihat Fath al-Qadir, 6/470)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Faedah penyebutan ‘لَيْلًا’ dengan bentuknya yang nakirah adalah bagi mengisyaratkan betapa singkatnya waktu yang ditempuh semasa peristiwa isra’ tersebut. Ia juga bagi menunjukkan bahawa peristiwa isra’ itu berlaku dalam sebahagian malam, kerana bentuk nakirah menunjukkan erti ‘الْبَعْضِيَّةُ’ (sebahagian). Sedangkan, jarak antara Makkah dan Syam (yang merangkumi Palestin) perlu ditempuh dengan mengambil masa selama empat puluh malam menggunakan alat pengangkutan zaman dahulu. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/27).
Justeru, berdasarkan tafsiran di atas, dapat difahami bahawa penggunaan lafaz ‘لَيْلًا’ dalam bentuk nakirah menunjukkan betapa sebentarnya waktu yang ditempuh oleh Nabi SAW ketika malam Isra’ Mi’raj. Hal tersebut jelas merupakan salah satu mukjizat dan tanda kenabian bagi Nabi kita Muhammad SAW.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Surah al-Baqarah (201)