#5511: Hikmah Nabi SAW Diperjalankan ke Baitul Maqdis Sebelum Dinaikkan ke Langit

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kenapa Nabi SAW diperjalankan terlebih dahulu ke Baitul Maqdis. Bukankah boleh terus Baginda dinaikkan ke langit sahaja dari Masjid al-Haram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut al-Suyuti, para ulama ada membahaskan berkenaan hikmah perkara ini. Antara hikmah yang disebutkan oleh mereka ialah:

  • Ada yang menyatakan bahawa hikmahnya adalah supaya terhasil proses penaikan ke langit secara lurus tanpa bengkang-bengkok. Hal ini berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Ka‘ab al-Ahbar bahawasanya pintu langit yang dipanggil sebagai tempat naik para malaikat terletak bertentangan dengan Baitul Maqdis. Katanya lagi, ia merupakan tempat yang paling dekat dari bumi ke langit dengan jarak 18 batu.
  • Ada juga yang berpendapat, hikmahnya adalah supaya terhimpun pada malam tersebut antara dua kiblat.
  • Selain itu, dikatakan juga kerana Baitul Maqdis merupakan tempat kebanyakan para Nabi berhijrah sebelumnya. Justeru, berlakunya perjalanan ke sana bagi Nabi SAW secara kesimpulannya adalah untuk menghimpunkan antara kelebihan dan kebaikan yang pelbagai.
  • Dikatakan juga kerana ia merupakan tempat berkumpulnya manusia (kelak), dan kebanyakan yang disepakati pada malam tersebut adalah sesuai untuk kehidupan akhirat. Maka berlakunya Mi’raj (naik ke langit) dari sana adalah lebih sesuai.
  • Sebagai tafa’ul (bersikap optimis) dengan terhasilnya segala jenis penyucian, sama ada hissi dan maknawi.
  • Ingin menunjukkan kebenaran kepada mereka yang keras (tidak mahu menerima kebenaran). Hal ini kerana sekiranya Baginda SAW dinaikan ke langit dari Makkah, maka tidak ada jalan bagi Baginda SAW untuk menerangkan dan memberi penjelasan kepada musuh (yang menolak dan menentang dakwahnya). Ketika mana Nabi SAW memberitahu bahawasanya Baginda diperjalankan ke Baitul Maqdis, maka mereka bertanya kepadanya berkenaan bahagian-bahagian Baitul Maqdis yang mereka pernah lihat (ketahui), dan mereka juga mengetahui bahawa Baginda SAW tidak pernah melihatnya sebelum itu. Oleh itu, apabila Baginda SAW dapat menceritakan kepada mereka berkenaan bahagian-bahagian Baitul Maqdis itu, maka terbuktilah kebenaran mengenai apa yang diceritakannya berhubung perjalanannya ke Baitul Maqdis dalam satu malam. Sekiranya sah (benar) perkhabarannya berkenaan perkara tersebut, maka wajib untuk membenarkannya juga pada baki perkara yang diceritakannya. (Lihat al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 56).

Syeikh Muhammad al-Ghazali berkata: Ini kembali kepada tarikh qadim, kisah Bani Israel yang sentiasa menerima wahyu di Baitul Maqdis oleh nabi mereka tatkala mereka menganggap rakyat Allah yang terpilih dan mencemarkan kemuliaan wahyu, di samping menggugurkan segala hukum langit, maka layaklah mereka mendapat laknat Allah SWT. Ia juga adalah sebagai satu taqrir penukaran kenabian daripada mereka selama-lamanya. Dari sini datangnya risalah kepada Muhammad SAW sebagai pemindahan qiyadah ruhiyyah di dunia daripada ummah kepada ummah, negeri ke negeri dan zuriat Bani Israel kepada zuriat Ismail.

Mengikut riwayat Muslim, Nabi SAW masuk ke dalam masjid dan solat dua rakaat. Kemudian dibawa oleh Jibril dengan minuman daripada arak dan susu. Lantas Baginda memilih susu. Jibril berkata: “Kamu memilih fitrah.”

Imam al-Nawawi menyebutkan, yang dikehendaki dengan fitrah di sini ialah Islam dan istiqamah. Syeikh al-Sya’rawi berkata: Masalah fitrah dan perubahan fitrah yang dibentangkan kepada Rasulullah SAW daripada minuman susu dan arak. Pilihan Baginda seolah-olah fitrah dengan tabiatnya, bersih sama seperti susu yang kita minum daripada ibu kita atau susu daripada haiwan yang tiada campur tangan perbuatan manusia sedikitpun. Sedangkan arak berlainan sama sekali. Asalnya kita mengambil buah anggur sebagai rezeki yang baik dan kemudian kita memeramnya menjadi arak yang memabukkan. Arak mengikut tadbir Islam adalah ibu segala kejahatan. Maka ucapan Jibril kamu diberi petunjuk kepada fitrah kerana kamu tidak mengambil keperluan Tuhan akhirnya melakukan kerosakan, sebaliknya mengislahkan.

Dr Sa‘id Ramadan al-Buti berkata: Pilihan Nabi SAW dengan susu sebagai dalalah ramziah (petunjuk simbolik) bahawa Islam agama fitrah yang serasi dan sesuai pada akidah dan hukum mengikut asal fitrah manusia. Jauh sekali bertentangan antara satu sama lain.

Mengikut riwayat yang lain tatkala Nabi SAW masuk ke dalam masjid, Baginda melihat para nabi yang qiam, rukuk dan sujud. Kemudian, diazankan serta diiqamatkan dan semuanya berdiri mengikut saf menunggu imam. Lantas Jibril memegang tangan Baginda SAW dan mengkedepankannya untuk menjadi imam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *