Soalan

Assalamualaikum ustaz. Mohon pencerahan, bolehkah Covid-19 dikategorikan sebagai wabak taun?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Apakah Penyakit Taun?

Menurut portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, taun atau kolera adalah salah satu penyakit bawaan air dan makanan yang utama. Ia disebabkan oleh jangkitan bakteria. Mereka yang dijangkiti akan mengalami cirit-birit. Gejala yang teruk boleh membawa maut kerana dehidrasi yang teruk.

Penyakit taun lebih mudah merebak di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air bersih dan kemudahan tandas yang sempurna. Wabak taun juga wujud secara bermusim di kawasan endemik di Asia dan Afrika.

Agen penyebab penyakit ini adalah melalui Bakteria Vibrio cholerae. Manakala cara jangkitannya adalah melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar dengan najis atau muntah orang yang dijangkiti. Tempoh pengeraman berlaku selama beberapa jam hingga 5 hari. Biasanya ia mengambil masa 2 hingga 3 hari.

Berkenaan tanda dan gejalanya, dijelaskan bahawa kebanyakan jangkitan adalah asimptomatik. Kes ringan hanya mengalami cirit-birit tanpa gejala lain. Kes teruk pula mengalami cirit-birit yang teruk dengan loya dan muntah serta boleh menyebabkan dehidrasi teruk. Bagi kes yang tidak dirawat, dehidrasi teruk boleh menyebabkan asidosis, gangguan peredaran darah dan kegagalan buah pinggang. Kematian boleh berlaku kerana komplikasi ini. [1]

Serangan wabak taun yang kerap berlaku boleh menjejaskan aktiviti perdagangan sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Jumlah kematian yang tinggi menyebabkan berkurangnya tenaga pekerja dan bekalan makanan serta kenaikan harga barangan. (Lihat Inba’ al-Hasr bi Abna’ al-‘Asr oleh al-Sairafi, hlm. 57).

 

Hadith Berkaitan Wabak Taun

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الشُّهَداءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ، والمَبْطُونُ، والغَرِيقُ، وصاحِبُ الهَدْمِ، والشَّهِيدُ في سَبيلِ اللَّهِ

Maksudnya: “Orang yang mati syahid ada lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati dtimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (2829) dan Muslim (1914)

Dalam riwayat lain, bahawa Baginda SAW bersabda:

مَن قُتِلَ في سَبيلِ اللهِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في سَبيلِ اللهِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في الطَّاعُونِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في البَطْنِ فَهو شَهِيدٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang dibunuh di jalan Allah ialah orang yang syahid, sesiapa yang mati kerana taun juga ialah orang yang syahid dan sesiapa yang mati kerana penyakit perut juga ialah orang yang syahid.”

Riwayat Muslim (1915)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, sabda Rasulullah SAW:

الطّاعُونُ شَهادَةٌ لِكُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Wabak taun itu adalah (penyebab) mati syahid bagi setiap Muslim.”

Riwayat al-Bukhari (2830) dan Muslim (1916)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT (kepada mereka) kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/550).

Bolehkah Covid-19 Dikategorikan Sebagai Taun?

Dalam menjawab isu ini kami kongsikan beberapa definisi taun seperti yang disebutkan oleh para ulama lughah (bahasa). Antaranya ialah :

  • Al-Jauhari mengatakan bahawa Taun merujuk kepada kematian yang meliputi umum sama seperti wabak.
  • Syeikh Ibrahim al-Harbi dalam kitab Gharib al-Hadith pula menyatakan: Wabak adalah taun dan juga penyakit yang meliputi umum.
  • Ibn al-‘Arabi pula menyatakan dalam Syarah al-Tirmizi: Dinamakan sebagai taun kerana musibahnya meliputi umum serta cepat berlaku kematian disebabkannya. Maka penyakit-penyakit yang seumpamanya turut termasuk sebagainya (taun). (Lihat Bazl Al-Ma’un, hlm. 95).

Kesimpulan

Seperti yang diketahui umum Covid-19 merupakan virus yang merebak serta membawa kepada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada kematian dalam skala yang besar. Justeru, berdasarkan ciri-ciri ini maka ia boleh dianggap sebagai taun sepertimana yang disebutkan dalam riwayat-riwayat yang sahih. Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

[1] http://www.myhealth.gov.my/hubungi-kami/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *