Soalan
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hikmah bulan rejab bersendiri daripada sudut bulan haram berbanding bulan haram lain?
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Bulan-bulan Haram
Firman Allah SWT:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawa Allah bersama dengan orang-orang yang bertakwa.”
(Surah al-Taubah: 36)
Imam al-Tobari di dalam tafsirnya menyebut: “Bulan-bulan haram ialah bulan Rajab Mudhor, tiga bulan berurutan iaitu Dzulkaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Telah banyak khabar daripada Rasulullah SAW mengenai hal ini.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 11/440)
Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abu Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا ، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ، ثَلاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ : ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ ، وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: “Setahun ada 12 bulan, diantaranya ada 4 bulan Haram, tiga bulan berurutan Dzulkaedah, DzulHijjah dan Muharram. Dan Rajab Mudhor antara Jumadil Thani dan Sya’ban.”
Riwayat al-Bukhari (4662) dan Muslim (1679)
Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa bulan-bulan ini kembali kepada asalnya serta menghapuskan al-Nasi’ (penangguhan). Telah berkata al-Khattabi bahawa mereka (orang jahiliyyah) berselisih di antara bulan-bulan dalam satu tahun pada menghalalkan, mengharamkan, menpercepatkan, melambatkan berdasarkan sebab-sebab yang datang kepada mereka. Antaranya, bagi mempercepatkan peperangan maka mereka menghalalkan bulan haram kemudian mereka mengharamkannya pada bulan yang lain iaitu selain daripada bulan haram. (Lihat Fath al-Bari, 8/325)
Al-Wahidi mengatakan: “Maksud daripada haram adalah sangat besar bagi balasan orang yang melakukan perbuatan haram di dalamnya. Lebih keras dibandingkan dengan bulan-bulan lainnya. Dimana dahulu orang Arab sangat mengagungkannya. Sehinggakan jika ada seseorang bertemu dengan pembunuh ayahnya dia tidak ada keinginan untuk membalasnya. (Lihat al-Basit,10/409)
Kelebihan Bulan Haram
Bulan haram ini juga mempunyai beberapa kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain, antaranya ialah:
- Terdapat sebahagian ulama’ mengatakan afdhal melakukan umrah pada bulan Zul al-Kaedah berdasarkan hadith di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa Nabi SAW melaksanakan kesemua umrah baginda SAW di dalam bulan ini.
- Pada bulan Syawal, Zul al-Kaedah dan Zul al-Hijjah, umat Islam akan mula menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu ibadat haji yang mana ibadat ini tidak boleh dilakukan di dalam bulan-bulan yang lain.
- Berpuasa sunat pada 9 Zul al-Hijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji.
- Berpuasa sunat pada 10 Muharram iaitu pada hari Asyura’.
Definisi Rejab
Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman al-Jahiliyyah dengan meninggalkan peperangan padanya. Perkataan jama’ bagi Rejab adalah Arjab (أرجاب) dan jika digabungkan Rejab dan Sya’ban dinamakan sebagai Rajaban (رجبان). (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 118)
Di samping itu, Rejab merupakan bulan ke tujuh daripada Tahun Hijri dan ia merupakan antara bulan Haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan padanya. Bulan ini datang selepas daripada Jumadi al-Akhir dan selepasnya adalah Sya’ban.
Syeikh Mustafa al-Bugho mengatakan Rejab Mudhor ini dinisbahkan kepada Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain ketika menta’liqkan hadith ini di dalam Sahih al-Bukhari.
Nama-Nama Bulan Rejab
Disebutkan di dalam kitab Mawahib al-Jalil (2/408) bahawa bulan Rejab mempunyai 16 nama, antaranya:
- Al-Ashom (الْأَصَمُّ) kerana mereka meninggalkan peperangan padanya.
- Al-Ashob (الأَصَبُّ) kerana orang kafir Makkah mengatakan diturunkan rahmat padanya.
- Rajm (رَجْمٌ) kerana Syaitan direjam padanya.
- Al-Shahr al-Haram (الشَّهْرُ الْحَرَامُ)
- Al-Muqim (الْمُقِيمُ) kerana pengharaman kekal dan tidak digugurkan.
- Al-Mu’la (الْمُعَلَّى) kerana bulan ini tinggi (mulia) berbanding bulan-bulan lain.
- Al-Fard (الْفَرْدُ)
- Munshil al-Asinnah (مُنْصِلُ الْأَسِنَّةِ)
- Munshil al-Aali (مُنْصِلُ الْآلِ)
- Munzi’ al-Asinnah (مُنْزِعُ الْأَسِنَّةِ)
- Syahr al-Atiroh (شَهْرُ الْعَتِيرَةِ) kerana mereka menyembelih ‘athiroh (nama bagi sembelihan yang dilakukan oleh orang kafir pada zaman Jahiliyyah).
- Al-Mubdi (الْمُبْدِي)
- Al-Mu’ash’ish (المُعَشْعِشُ)
- Syahr Allah (شَهْرُ اللَّهِ)
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
Hikmah Bulan Rajab Disendirikan Daripada Bulan-Bulan Haram Yang Lain
Sebahagian para ulama’ menyebutkan bahawa hikmah bulan Rajab disendirikan daripada bulan-bulan haram yang lain ialah supaya orang arab mempunyai kesempatan untuk menunaikan umrah di pertengahan tahun, manakala bulan-bulan haram yang berurutan ialah untuk melaksanakan haji.
Ibnu Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim menyebut:
“Firman Allah SWT, “Diantaranya terdapat empat bulan haram”, hal ini kerana pada zaman jahiliyah orang Arab mengharamkannya selama empat bulan sebagaimana yang dilakukan oleh majoriti dalam kalangan mereka. Kecuali sekelompok diantara mereka dikatakan kepada mereka,”Al-Basal” dahulu mereka mengharamkan lapan bulan dalam setahun, kerana mereka terlalu berlebih-lebihan dan syadid.
Sementara ungkapan “Tiga berutan Dzulkaedah, Dzuhijjah dan Muharram serta Rajab Mudhor iaitu antara Jamadil Thani dan Sya’ban. Disandarkan kepada Mudhor, untuk menjelaskan kebenaran perkataan mereka bahwa Rajab itu adalah bulan antara jamadil Thani dan Sya’ban. Bukan seperti apa yang disangka oleh Rabi’ah bahawa Rajab Muharram adalah bulan antara Sya’ban dan Syawwal, iaitu bulan Ramadhan. Maka Nabi SAW menjelaskan bahawa ia adalah Rajab Mudhar, bukan Rajab Rabi’ah.
Sesungguhnya bulan haram itu ada empat bulan, tiga bulan sekaligus dan satu yang menyendiri. Dalam rangka untuk menunaikan ibadah manasik haji dan umrah. Sehingga diharamkan sebulan sebelum ibadah haji iaitu Dzulkaedah supaya mereka berhenti daripada melakukan peperangan. Dan diharamkan bulan Dzulhijjah, supaya mereka dapat menunaikan ibadah haji di dalamnya. Sehingga mereka sibuk dalam menunaikan manasik haji. Dan diharamkan setelahnya, iaitu Muharram, supaya kesempatan mereka kembali ke tempat asal masing-masing dalam keadaan aman dan selamat.
Diharamkan bulan Rajab pada pertengahan tahun, dalam supaya selamat untuk mengunjungi Baitullah dan melakukan umrah dalam tempoh tersebut. Bagi orang yang datang dari pelosok tanah Arab, sehingga mereka mengunjunginya kemudian kembali ke tempat asalnya dalam keadaan selamat.
Firman Allah SWT: “Itu adalah agama Allah yang lurus”,maksudnya ini adalah syariat yang lurus, dengan menunaikan perintah Allah yang menjadikan bulan-bulan haram. Dan mengikutinya daripada kitab Allah yang terdahulu.
Allah SWT berfirman ”Maka janganlah kamu semua melakukan kezaliman pada diri kamu sendiri.”Maksudnya pada bulan-bulan haram ini. Bulan-bulan ini lebih ditekankan kerana jika dilakukan kezaliman dalam bulan-bulan ini lebih besar dosanya dibandingkan dengan bulan-bulan yang bukan bulan haram sebagaimana kemaksiatan di tanah haram akan digandakan dosanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 4/148)
Imam al-Razi pula menyatakan di dalam tafsirnya:
“Kebiasaanya tabiat manusia itu cenderung pada kezaliman dan merosakkan. Sedangkan menahan diri daripada keburukan-keburukan ini secara umum berat bagi mereka, maka Allah SWT mengkhususkan sebahagian waktu-waktu dengan ada tambahan pengagungan dan penghormatan. Mengkhususkan sebahagian tempat dengan tambahan pengagungan dan penghormatan. Bahkan ada orang dapat menahan diri pada waktu-waktu, dan tempat-tempat itu dari melakukan kejahatan serta kemungkaran. Hal ini mengharuskan adanya keutamaan dan beberapa manfaat, antaranya:
- Pertama: Meninggalkan kejahatan pada waktu-waktu itu merupakan tuntutan kerana ia mengurangkan keburukan yang ada.
- Kedua: Meninggalkan kejahatan pada waktu-waktu tersebut, boleh menjadikan sebab untuk dia meninggalkan tabiat jahatnya pada wakti-waktu lain.
- Ketiga: Jika seseorang itu melakukan ibadah pada waktu-waktu itu dan menjauhkan diri dari maksiat, maka setelah masa-masa itu berakhir, jika dia kembali kepada kejahatan dan dosa, kembali kepadanya akan menjadi punca segala kesusahan yang dilaluinya. untuk melakukan perbuatan-perbuatan ibadat pada masa-masa itu menjadi tidak bernilai. Jelas sekali orang yang berakal budi tidak akan menerimanya, sehingga boleh menyebabkan dia meninggalkan dosa sama sekali. (Lihat Tafsir al-Razi, 16/41)
Al-Tahir berkata: Allah yang lebih Mengetahui berkaitan hikmah menjadikan kelebihan suatu waktu dari waktu yang ada dan kelebihan tempat daripada tempat yang lain. Suatu urusan yang telah Allah jadikan adalah termasuk urusan yang Allah inginkannya. Maka ia tidak boleh dibatalkan kecuali pembatalan daripada Allah SWT sebagaimana Allah batalkan kesucian hari sabtu diganti dengan hari Juma’ah. Seseorang tidak boleh memutuskan masa yang telah ditetapkan oleh agama, kerana perkara yang diputuskan oleh orang ramai adalah seperti perkara yang mereka buat dengan tangan mereka, dan mereka tidak mempunyai nilai melainkan jika ia bertujuan untuk tujuan yang baik. Oleh itu, manusia tidak berhak mengubah apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tentang kelebihan mengenai masa, tempat atau orang tertentu. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 10/184)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa bulan Rejab merupakan antara bulan-bulan yang mulia kerana ia merupakan salah satu daripada bulan Haram. Hal ini juga disebut berdasarkan firman Allah SWT berkaitan bulan Haram di dalam al-Quran sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita dalam bulan ini bagi mempersiapkan diri menempuh bulan Ramadhan yang akan datang
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahu a’lam
Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H