#620 Pendapatan Daripada Kedai Yang Tiada Sijil Halal

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-64%
Rated 0 out of 5
RM50.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan

Adakah halal pendapatan saya berkerja di syarikat penjualan makanan yang tidak berstatus sijil halal?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Islam menuntut kepada penganutnya untuk sentiasa mencari rezeki yang halal lagi baik dalam memenuhi keperluan seharian. Hal ini bertetapan dengan firman Allah SWT berikut :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”[1]

Ayat di atas menunjukkan bahawa makanan yang hendak dimakan oleh kita hendaklah memenuhi dua kriteria tersebut iaitu, halal dan baik.

Syeikh al-Sa’di telah mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka mengambilnya (memakan dan mengambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, atau mencuri atau dengan hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan. Manakala toyyiban pula ialah bukan daripada perkara yang buruk (kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini adalah merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. [2]

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan bahawa : “Makanlah rezeki yang diperolehi secara halal dan bukanlah barangan seperti riba’, suht (yang di usahakan secara haram), dan barangan curi. Di samping itu, rezeki itu hendaklah sedap dimakan, tidak kotor, sama ada kerana zatnya sendiri, kerana rosak atau berubah akibat terlalu lama disimpan.”[3]

Memilih memakan makanan yang halal dan baik juga adalah merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW :

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya : “Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, diamenadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.” [4]

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، لاَ يُبَالِي الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ أَمِنَ الْحَلاَلِ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ

Maksudnya: Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli apa yang dia ambil, apakah dari hasil yang halal atau yang haram.”[5]

Perkara Yang Syubhah (Samar-Samar)

Daripada al-Nu’man bin Basyir, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram pun jelas. Di antara keduanya terdapat perkara yang syubhat (yang masih samar sama ada halal atau haram) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang menghindarkan diri dari perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka (dibimbangi) ia akan terjatuh dalam perkara haram.”[6]

Al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali menyatakan: “Apabila sesuatu itu tidak jelas keadaannya, maka ia adalah syubhat dan sikap wara’ adalah dengan meninggalkannya. Sufyan al-Tsauri menyatakan: “Itu tidaklah membuatku kagum, tetapi yang lebih membuat aku kagum adalah meninggalkan sesuatu yang syubhat.”[7]

Hadith ini menunjukkan tiga keadaan bagi suatu perkara:

  • Jelas kehalalannya iaitu segala yang baik-baik seperti buah-buahan, haiwan ternakkan, memakan roti, berjual-beli, berpakaian syar’i, menikah, dan seumpamanya.
  • Jelas keharamannya iaitu segala apa-apa yang buruk dan terlarang seperti memakan bangkai, darah, berjudi, mengambil riba’, meminum arak, penipuan, dan seumpamanya.
  • Syubhah iaitu yang ramai orang tidak mengetahuinya. Dan perkara yang diperselisihkan (diperdebatkan) antara halal atau haramnya seperti hukum memakan haiwan seperti kuda, baghal, dan biawak. Atau minuman yang hasil proses dari anggur yang sebahagiannya memabukkan. Atau memakai sesuatu yang kebolehannya masih diperdebatkan seperti kulit binatang buas dan seumpamanya. Atau hal-hal yang kehalalan dan keharamannya masih diperdebatkan seperti penghasilan yang diperdebatkan seperti ‘inah, tawarruq, dan selainnya.[8]

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyatakan: “Sebab sesuatu perkara yang syubhat itu menjadi syubhat (tidak jelas hukumnya) ada empat:

  • Kurang menguasai ilmu (agama). Dengan kurangnya menguasai ilmu, ini akan menyebabkan suatu perkara menjadi samar, kerana dengan banyaknya ilmu seseorang akan banyak mengetahui masalah yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang.
  • Kurang memahami, maksudnya lemah dalam kefahaman. Boleh jadi seseorang memiliki ilmu yang luas dan banyak, tetapi tidak memahami. Maka ini menyebabkan tidak jelasnya sesuatu urusan atasnya.
  • Kurang mengkaji dan belajar. Di mana dia tidak mahu bersusah-payah (menanamkan kesungguhan) meneliti sesuatu masalah dengan cara tadabbur, membuat pencarian, memahami maksud, dan alasannya hal tersebut tidak diperlukan untuknya.
  • Dan yang paling buruk dari itu semua adalah niat yang buruk. Di mana seseorang hanya bertujuan untuk memenangkan pendapatnya semata-mata tanpa melihat sama ada pendapatnya itu benar atau salah. Maka sesiapa yang memiliki niat seperti ini, maka sukar bagi dirinya untuk sampai kepada ilmu (yang sebenar). Kita memohon kepada Allah, Al-‘Aafiyah. Kerana dia tidak berniat dengan ilmunya untuk mengikuti petunjuk.”[9]

Pendapatan Yang Didapati Daripada Syarikat Yang Tidak Memiliki Sijil Halal

Justeru bagi seorang muslim hendaklah dia bertaqwa kepada Allah SWT dengan menghindari dirinya daripada terlibat dengan apa-apa pekerjaan yang melibatkan perkara syubhah seperti kedai serbaneka yang menjual arak atau seumpamanya, walau dengan apa cara sekalipun.  Namun begitu, jika pendapatan seseorang itu bercampur baur antara haram dan yang halal, maka menerima harta yang diberikan oleh majikan tersebut adalah tidak haram kerana tidak yakin pemberian itu bersumberkan mutlak yang haram sahaja. Jika pendapatan yang mereka perolehi ialah daripada hasil jualan barang-barang yang halal dan haram, maka hukumnya adalah tidak haram mengambilnya tetapi makruh.

Justeru, nasihat kami supaya diri kita dapat keluar daripada isu Syubhah:

  • Menuntut ilmu supaya mampu keluar dari ketidak-tahuan dan kesamaran.
  • Tawaqquf denag mengambil langkah berkecuali, dengan berusaha keluar daripada kesamaran iaitu dengan tidak melibatkan diri dalam hal yang samar bagi dirinya, sehinggalah ia menjadi jelas.
  • Menanamkan rasa takut terhadap sesuatu yang dia tidak punya ilmu padanya.
  • Mendapatkan penjelasan dari orang-orang yang berilmu yang memiliki kredibiliti dan baik agamanya.

Kesimpulan

Dalam perkara ini, kami berpandangan bahawa rezeki yang diperolehi daripada hasil jualan barang-barang yang bercampur halal dan haram, maka hukumnya adalah tidak haram tetapi makruh. Namun begitu, kami juga mencadangkan agar carilah pekerjaan yang tiada sebarang syubhah kerana ia bersifat lebih aman dan tenang jiwa. Sabda Nabi SAW:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya : “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.” [10]

Hadith ini menjelaskan bahawa orang yang tidak menjauhkan diri dari perkara-perkara yang tidak pasti, iaitu yang syubhah (samar-samar) dalam kehidupannya, maka dia telah menyerahkan dirinya ke dalam celaan. Sebagaimana kata sebahagian salaf:

مَنْ عَرَّضَ نَفْسَهُ لِلتُّهَمِ، فَلَا يَلُومَنَّ مَنْ أَسَاءَ بِهِ الظَّنَّ.

Maksudnya: “Sesiapa yang meletakkan dirinya di tempat yang mendatangkan tohmah, maka janganlah dia menyalahkan orang yang buruk sangka padanya.”[11]

Sesiapa yang meninggalkan dosa dalam keadaan dosa tersebut tidak jelas baginya, dan tidak terbukti secara pasti, maka ia akan lebih meninggalkannya jika setelah terbukti jelas olehnya bahawa ia memang benar-benar dosa. Ini dengan syarat orang tersebut meninggalkannya  memang kerana takutkan dosa, bukan dengan sebab riya’.”[12]

Abu Nu’aim menukilkan kata-kata Abu Darda’, katanya: “Puncak sempurna ketaqwaan ialah seorang hamba bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla sehingga ia benar-benar bertaqwa kepada-Nya dari yang sebesar biji sawi dan meninggalkan sesuatu yang ia lihat halal kerana ada kebimbangan sesuatu tersebut haram dan membuat jarak dengan haram.” [13]

Justeru, dengan mencari-cari sumber yang halal dan menjarakkan diri daripada sebarang keraguan, maka sudah tentukan ia menatijahkan lagi kebaikan dan keberkatan dalam hidup. Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 168

[2] Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/80

[3] Lihat Tafsir al-Maraghiy, 4/1673

[4] Riwayat Muslim (1015)

[5] Riwayat al-Bukhari (2059)

[6] Riwayat l-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

[7] Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/200

[8] Ibid 1/194

[9] Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyah, perbahasan hadith no. 6

[10] Riwayat Bukhari (52) dan Muslim (20)

[11] Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/204

[12] Ibid

[13] Lihat Hilyah al-Auliyaa, 1/212

One thought on “#620 Pendapatan Daripada Kedai Yang Tiada Sijil Halal

  1. anis says:

    maaf nak tanya , contoh kalau tempat kerja tu jual air drpd bahan ii tanaman mcm buah buahan yang import daripd china , lepas tu takde sijil jakim atau tanda halal tu apa hukum ye kalau kita bekerja kat tempat tu? adakah dikira syubhah jugak atau macam mana ye?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *