#618: Perbezaan Janji dan Nazar

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah terdapat perbezaan antara janji dengan nazar. Sebagai contoh, seorang perempuan berkata: “Jika saya dapat berkahwin dengan lelaki pilihan saya ini, saya ingin membuatkannya sehelai baju kemeja yang diperbuat daripada bulu dengan jahitan tangan saya sendiri.” Mohon pencerahan.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nyatakan seperti berikut:

Pertama, nazar dari segi bahasa bermaksud perjanjian yang baik atau yang buruk, manakala dari segi syara’ pula, dikhususkan kepada perjanjian yang baik sahaja.

Menurut istilah ulama’ fiqh, nazar bermaksud membuat iltizam untuk melakukan sesuatu kebajikan yang tidak wajib dari segi syara’ sama ada dikaitkan dengan sesuatu ataupun tidak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/291)

Keduanya, nazar adalah perkara yang taat kepada Allah, bukan yang maksiat.

Daripada Aisyah R.Anha, sabda Nabi SAW:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya:Sesiapa yang bernazar mentaati Allah, hendaklah dia mentaatinya, dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat terhadap Allah, janganlah dia melakukannya.

Riwayat al-Bukhari (6318)

Ketiganya, isu yang dibangkitkan ini, pada pendapat saya, dia bukan nazar, bahkan ia termasuk sekadar janji. Kerana membuat baju dan hadiah kepada pasangannya bukanlah semutlak yang membawa makna yang mendekatkan diri kepada Allah.

Justeru, hal ini dianggap janji. Pendapat ini juga telah dikemukakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah (2/402).

Saya menyarankan agar kita memahami Fiqh Nazar dan Sumpah dengan lebih baik supaya tindakan kita selaras mengikut Syariat Islamiah dan sifat orang yang bernazar sudah pasti dia akan menunaikan nazarnya, berdasarkan firman Allah SWT:

يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا ‎

Maksudnya: (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.”

(Surah al-Insan: 7)

Saya tutup perbincangan ini dengan marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *