Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Bagaimana jika kami pihak travel agent ingin melaksanakan Khutbah-khutbah Haji berikut. Adakah dibolehkan? Dan bolehkah kami jadikan dalam bentuk tazkirah/dalam pengumuman dan penerangan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi menjawab persoalan di atas, kami bawakan firman Allah SWT dalam Muhkam al-Tanzil sebagai peringatan buat kita bersama, firman-Nya:

وَأَذِّن فِی ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ یَأۡتُوكَ رِجَالࣰا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرࣲ یَأۡتِینَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِیقࣲ

Maksudnya: “Dan serulah sekalian manusia untuk melaksanakan Haji, nescaya mereka akan datang menuju ke arahnya dalam keadaan berjalan kaki, serta menaiki tunggangan; mereka semua bakal datang daripada setiap pelusuk dan ceruk dunia.”

 

(Surah Ibrahim: 27)

Imam al-Hafiz Ibn Kathir al-Dimasyqi menafsirkan ayat di atas seraya berkata:

وَقَوْلُهُ: ﴿وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ﴾ أَيْ: نَادِ فِي النَّاسِ دَاعِيًا لَهُمُ إِلَى الْحَجِّ إِلَى هَذَا الْبَيْتِ الَّذِي أَمَرْنَاكَ بِبِنَائِهِ. فَذُكر أَنَّهُ قَالَ: يَا رَبِّ، وَكَيْفَ أُبْلِغُ النَّاسَ وَصَوْتِي لَا يَنْفُذُهُمْ؟ فَقِيلَ: نَادِ وَعَلَيْنَا الْبَلَاغُ. فَقَامَ عَلَى مَقَامِهِ، وَقِيلَ: عَلَى الْحَجَرِ، وَقِيلَ: عَلَى الصَّفَا، وَقِيلَ: عَلَى أَبِي قُبَيس، وَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنْ رَبَّكُمْ قَدِ اتَّخَذَ بَيْتًافَ حُجُّوهُ، فَيُقَالُ: إِنَّ الْجِبَالَ تَوَاضَعَتْ حَتَّى بَلَغَ الصَّوْتُ أَرْجَاءَ الْأَرْضِ، وأسمَعَ مَن فِي الْأَرْحَامِ وَالْأَصْلَابِ، وَأَجَابَهُ كُلُّ شَيْءٍ سَمِعَهُ مِنْ حَجَر ومَدَر وَشَجَرٍ، وَمَنْ كَتَبَ اللَّهُ أَنَّهُ يَحُجُّ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ: “لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ”. هَذَا مَضْمُونُ مَا رُوِيَ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، وَمُجَاهِدٍ، وَعِكْرِمَةَ، وَسَعِيدِ بْنِ جُبَير، وَغَيْرِ وَاحِدٍ مِنَ السَّلَفِ، وَاللَّهُ أَعْلَمُ. أَوْرَدَهَا ابْنُ جَرير، وَابْنُ أَبِي حَاتِمٍ مُطَوّلة

Maksudnya: “Firman-Nya: [Dan serulah manusia untuk melaksanakan Haji] iaitu: panggil mereka untuk menunaikan Haji ke Baitullah ini yang Aku arahkan kamu (wahai Ibrahim) untuk membinanya. Diriwayatkan, baginda berkata: “Wahai Tuhan! Bagaimana aku hendak menyeru seluruh manusia sedangkan suaraku tidak mampu sampai kepada mereka semua?” Allah berfirman: “Seru sahaha, Aku jualah yang akan menyampaikannya.” Maka, Nabi Ibrahim pun berdiri di atas Makam Ibrahim, dan dikatakan juga berdiri di atas Hijir Ismail, dikatakan juga berdiri di atas Bukit Safa, dikatakan juga berdiri di atas Bukit Abi Qubais; seraya menyeru: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kalian telah membina sebuah Rumah-Nya, maka datanglah menziarahinya!” Dikatakan bahawa bukit-bukau semuanya tunduk supaya suara Nabi Ibrahim tersebut sampai ke seluruh penjuru bumi, dan seruannya itu turut didengari oleh setiap jiwa termasuklah yang masih berada di dalam rahim dan tulang sulbi (air mani). Seruan baginda itu didengari oleh segenap batu, tiang-tiang dan kayu-kayu pohon. Dan sesiapa yang Allah telah tetapkan untuk melaksanakan Haji sehingga hari kiamat, pasti akan menyahutnya dengan: Labbaikallahumma labbaik. Ini kisah yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, Mujahid, ‘Ikrimah, Sa’id bin Jubair dan ramai dalam kalangan Salaf. Wallahu a‘lam, diriwayatkan oleh Ibn Jarir dan Ibn Abi Hatim dengan panjang lebar.” (Lihat Tafsir Quran al-‘Azim, 5/414)

Berhubung soalan yang diajukan kepada kami di atas, termasuk dalam sunnah Haji adalah perlaksanaan Khutbah-khutbah Haji. Khutbah ini ada empat, disunatkan dan mesti dilaksanakan oleh pemimpin Jemaah Haji. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Idhah, kata beliau: “Semua sekali khutbah-khutbah Haji itu ada empat khutbah: Yang pertama, khutbah pada hari-7 (Zulhijjah) di Makkah. Kedua, khutbah pada hari Arafah. Ketiga, khutbah pada Hari Nahr di Mina. Keempat, khutbah pada hari al-Nafr al-Awwal di Mina juga. Di dalam setiap khutbah ini mestilah berisi ajaran tentang tatacara perlaksanaan Manasik Haji serta hukum-hakamnya sehinggalah tempoh khutbah seterusnya; semuanya dilakukan sebanyak satu khutbah sahaja dan selepas Solat Zohor, melainkan khutbah di Arafah; ia dilaksanakan sebanyak 2 khutbah dan sebelum Solat Zohor.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 264-265)

Ringkasannya adalah seperti berikut:

  • Khutbah pada 7 Zulhijjah di Makkah al-Mukarramah.
  • Khutbah pada 9 Zulhijjah (Hari Arafah) di Arafah.
  • Khutbah pada 10 Zulhijjah (Hari Nahar) di Mina.
  • Khutbah pada 12 Zulhijjah (Hari Nafar Awal) di Mina.

 

 

Khutbah Haji Isi Kandungan Khutbah
Khutbah Hari al-Zinah (7 Zulhijjah) Khutbah untuk menyeru agar jemaah Haji bersiap sedia untuk menuju ke Mina pada esok hari, 8hb Zulhijjah; serta menjelaskan ibadah Haji yang akan dilaksanakan sehingga 9hb Zulhijjah.
Khutbah Hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) Khutbah sebelum Zohor; sama hukumnya seperti khutbah Jumaat, berpesan ke arah Taqwa dan kebaikan, menjelaskan berkenaan ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (sehingga esok).
Khutbah Hari Nahar (10 Zulhijjah) Penjelasan tentang ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (sehingga 12 Zulhijjah) dan soal-jawab berkenaan Fiqh Manasik Haji.
Khutbah Hari Nafar Awal (12 Zulhijjah) Penjelasan tentang ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (hingga selesai Haji) dan soal-jawab berkenaan Fiqh Manasik Haji.

 

 

Perlaksanaan khutbah-khutbah Haji ini mestilah dilaksanakan oleh pemimpin tertinggi negara. Jika pemimpin tertinggi negara tidak hadir, maka pemimpin wajib melantik wakilnya untuk memimpin perjalanan jemaah Haji dan berkhutbah. Imam Muhyiddin al-Nawawi memfatwakan demikian dalam kitab al-Idhah, beliau berkata: “Dan ketahuilah bahawa dianjurkan (mustahab) bagi Imam yang merupakan pemimpin negara umat Islam, jika dia sendiri tidak hadir dengan dirinya ketika sepanjang musim Haji, hendaklah dia melantik wakilnya berupa pemimpin Jemaah Haji. Sekalian jemaah hendaklah mematuhi arahan wakil pemimpin ini. Dan hendaklah pemimpin negara umat Islam atau wakil pemimpin ini menyampaikan khutbah-khutbah Haji tersebut.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 264)

Sekiranya pemimpin negara umat Islam tidak hadir, maka pemimpin negara tersebut wajiblah melantik wakilnya untuk memimpin jemaah Haji. Menurut konteks Arab Saudi kini, Khadimul Haramain al-Syarifain akan melantik dan mengamanahkan amir al-Hajj untuk menyelia kelancaran perlaksanaan ibadah Haji secara keseluruhan.

Imam Ibn al-Rif‘ah berkata seraya menukilkan kalam Imam Muhyiddin al-Nawawi: “Para ulama mazhab menegaskan: Apabila tiba hari ke-7 Zulhijjah, Imam perlu berkhutbah, iaitu al-Imam al-A‘zam (Pemimpin tertinggi negara) atau naibnya/wakil pemimpin sepanjang perlaksanaan Manasik Haji; hal ini kerana, tidak boleh pemimpin yang tidak menyertai perlaksanaan Haji tahun itu untuk membiarkan jemaah Haji dalam keadaan tanpa pemimpin/ketiadaan wakil pengganti pemimpin untuk memimpin mereka semua. Hal ini kerana, ibadah Haji menghimpunkan ribuan manusia yang begitu menyesakkan dan menyerabutkan keadaan jua urusan, maka tidak boleh tidak, mestilah ada keselarasan dalam keputusan dan perlaksanaan. Oleh yang demikian dianjurkan (mustahab) bagi pemimpin negara untuk hadir menyertai ibadah Haji. Rasulullah SAW pernah melantik Abu Bakr sebagai pemimpin jemaah Haji pada tahun ke-9H, dan baginda pernah melantik ‘Ali sebagai naib baginda untuk membacakan Surah al-Taubah di hadapan orang-orang musyrikin.” (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 7/424)

Berdasarkan nas di atas, kami berpandangan bahawa ketua-ketua rombongan dan pemimpin-pemimpin jemaah Haji daripada agensi perlancongan adalah dikira sebagai petugas kepada Amir al-Haj iaitu pemimpin jemaah Haji yang dilantik dan diamanahkan oleh pemimpin tertinggi. Bagi memudahkan urusan dan mengelakkan kesesakan, perlaksanaan khutbah-khutbah Haji ini boleh dilaksanakan di khemah dan petempatan rombongan masing-masing berdasarkan keselesaan mereka. Maka, agensi perlancongan boleh menyelia perlaksanaan khutbah-khutbah Haji ini. Setiap pihak yang bertanggungjawab menguruskan jemaah merentasi bangsa dan negara adalah petugas dan wakil kepada Amir al-Haj yang dilantik pemimpin tertinggi.

Intipati kandungan khutbah-khutbah Haji ini adalah berasaskan taklimat tentatif perjalanan ibadah Manasik Haji dan penjelasan hukum-hakam ibadah Haji, boleh juga diselitkan sesi soal-jawab sehingga para Jemaah bebas bertanya soalan dan mengutarakan kemusykilan. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyatakan bahawa: “(Isi kandungan khutbah tersebut mestilah mengandungi) [Arahan kepada mereka supaya segera menuju ke Mina] dan ia dinamakan demikian kerana banyaknya darah haiwan korban sempena Haji yang ditumpahkan di tempat tersebut; Khutbah (Haji) ini dimulakan dengan talbiyah sekiranya penyampai khutbah itu dalam keadaan berihram, jika tidak, maka hendaklah dia bertakbir sepertimana yang dinukilkan di dalam kitab Majmu‘ daripada fatwa Imam al-Mawardi [serta mengajar] di dalam isi kandungan khutbah tersebut [Manasik (Haji)]. Sekiranya penyampai khutbah itu mahir ilmu Fiqh (Haji), maka hendaklah membuka sesi pertanyaan/soal-jawab.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh al-Raudh al-Talib, 1/485)

Oleh yang demikian kami nyatakan di sini bahawa, khutbah-khutbah Haji ini boleh dilaksanakan dan disampaikan dalam bentuk pengumuman, tazkirah/peringatan, sesi soal-jawab Fiqh Haji atau penyampaian taklimat tentang tentatif. Ia dikira sebagai khutbah-khutbah Haji; kecuali khutbah Hari Arafah. Hal ini kerana khutbah pada hari ke-7, 10 dan 12 Zulhijjah adalah berbentuk penyampaian taklimat berkaitan pergerakan jemaah Haji dan penjelasan hukum-hakam sahaja. Manakala, khutbah pada hari Arafah (9 Zulhijjah) adalah mirip khutbah Jumaat, lebih memfokuskan kepada isu Taqwa, amal soleh, kesatuan umat Islam dan ibadah.

Kesimpulannya, pihak agensi perlancongan boleh melaksanakan khutbah-khutbah Haji ini di khemah dan petempatan masing-masing dan mereka juga boleh melaksanakan khutbah pada hari ke-7, 10 dan 12 Zulhijjah dalam bentuk taklimat/tazkirah disusuli sesi klinik hukum dan lain-lain cara berdasarkan kemaslahatan, keperluan dan kesesuaian. Adapun khutbah hari Arafah pula, mestilah dilaksanakan di Arafah dengan mematuhi kriterianya yang telah ditetapkan di dalam kitab para Fuqaha.

Alhamdulillah, bagi Malaysia, Tabung Haji telah melaksanakan tugasnya dengan sebaiknya dengan menempatkan pembimbing dan guru serta petugas haji untuk mengendalikan khutbah di Masya’ir terutamanya khutbah Arafah. Begitu juga, sebahagian masyarakat yang lain dari bangsa yang lain mengamalkan dengan cara yang hampir sama.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply