Soalan

Assalamualaikum ustaz. Di manakah tempat yang terbaik bagi wanita untuk mengerjakan solat, sama ada di rumah atau pergi ke masjid/surau?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berkenaan isu ini, terdapat beberapa hadis yang boleh dirujuk bagi menerangkan perbincangan terhadap masalah ini. Antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud yang menyatakan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

صَلاَةُ الْمَرْأَةِ فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلاَتِهَا فِي حُجْرَتِهَا وَصَلاَتُهَا فِي مَخْدَعِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلاَتِهَا فِي بَيْتِهَا

Maksudnya: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di halaman rumahnya dan solat di bilik tidur / bilik persendirian adalah lebih baik daripada solat di rumahnya.”[1]

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Ummu Humaid Al-Sai’idi iaitu isteri kepada Abu Humaid datang bertemu Nabi SAW dan berkata:

يَا رَسُول اللَّهِ إِنِّي أُحِبُّ الصَّلاَةَ مَعَكَ، فَقَال صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَدْ عَلِمْتُ. وَصَلاَتُكِ فِي بَيْتِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي حُجْرَتِكِ، وَصَلاَةٌ فِي حُجْرَتِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي دَارِكِ، وَصَلاَتُكِ فِي دَارِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ، وَصَلاَتُكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي مَسْجِدِ الْجَمَاعَةِ. قَالَ : فَأَمَرَتْ فَبُنِيَ لَهَا مَسْجِدٌ فِي أَقْصَى شَيْءٍ مِنْ بَيْتِهَا وَأَظْلَمِه ، فَكَانَتْ تُصَلِّي فِيهِ حَتَّى لَقِيَتْ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di bilik tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku” kemudian Ummu Humaid meminta didirikan masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sehingga bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla.”[2]

Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa tempat yang terbaik bagi seorang wanita untuk menunaikan solat adalah di rumah. Maka jelas menerusi hadis ini, tidak berdosa jika wanita tersebut memilih untuk solat di rumah sahaja.

Namun begitu, adakah berdosa bagi seorang wanita atau isteri keluar dari rumah untuk berjemaah di masjid tanpa meminta izin suaminya? Masalah ini dijelaskan seperti berikut:

أَنَّهُ يُكْرَهُ لِلْمَرْأَةِ حُضُورُ جَمَاعَةِ الْمَسْجِدِ إِذَا تَرَتَّبَ عَلَى خُرُوجِهَا مِنَ الْبَيْتِ وَحُضُورِهَا الْجَمَاعَةَ فِتْنَةٌ، وَلِلزَّوْجِ مَنْعُهَا مِنْ ذَلِكَ، وَلاَ يَأْثَمُ. وَحُمِل النَّهْيُ فِي الْحَدِيثِ عَلَى نَهْيِ التَّنْزِيهِ؛ لأِنَّ حَقَّ الزَّوْجِ فِي مُلاَزَمَةِ الْبَيْتِ وَاجِبٌ، فَلاَ تَتْرُكُهُ لِلْفَضِيلَةِ

Maksudnya: Walaubagaimanapun, adalah makruh bagi seorang wanita untuk menghadiri solat berjemaah di masjid jika meninggalkan rumah dan menghadiri solat jemaah itu akan menimbulkan fitnah dan suami berhak melarang isteri daripada menghadiri solat jemaah / keluar rumah dan perbuatan suami itu tidak dikira berdosa. Larangan yang terdapat di dalam hadis adalah bersifat makruh tanzih. Ini kerana hak bagi seorang isteri untuk berada di dalam rumah adalah sesuatu yang wajib. Maka tidak boleh meninggalkan rumah dengan tujuan mencari fadhilat.[3]

Menerusi petikan tersebut, hukum bagi seseorang isteri meninggalkan rumah untuk berjemaah di Masjid / surau adalah makruh jika ia akan mendatangkan fitnah. Walaupun solat itu merupakan ibadah yang dilakukan kerana Allah SWT dan ia adalah ibadah yang wajib dilakukan, tidaklah berdosa bagi suami untuk melarang isterinya menunaikan solat di masjid / surau. Manakala berdosa bagi seorang isteri yang keluar daripada rumah tanpa izin suaminya.

Namun begitu, pendapat daripada kalangan ulama’ mazhab Syafie menyatakan bahawa Sunat bagi suami itu untuk mengizinkan isterinya menunaikan solat jemaah di masjid. Sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi: “Sunat bagi suami mengizinkan isterinya untuk hadir berjemaah di masjid.”[4]

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda:

لاَ تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ، وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلاَتٌ

Maksudnya: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian”.[5]

Berkenaan soalan adakah benar pahala solat di masjid dan surau mendapat 27 kali ganda lebih daripada mereka yang solat dirumah. Sebenarnya, ganjaran tersebut dikurniakan kepada mereka yang menunaikan solat secara berjemaah walaupun bukan di masjid atau di surau. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar menyatakan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda.”[6]

Kesimpulan

Rumah adalah tempat terbaik bagi wanita untuk bersolat. Akan tetapi tidak menjadi kesalahan untuk mereka menunaikan solat secara berjemaah di masjid. Kami berpandangan bahawa sunat dan digalakkan bagi seseorang wanita atau isteri itu menunaikan solat di masjid atau surau. Namun begitu, perlu diingatkan terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh wanita atau isteri tersebut. Antaranya adalah;

  • Mendapat keizinan suami;
  • Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan;
  • Tidak memakai wangi-wangian;
  • Tiada percampuran lelaki dan perempuan serta segera pulang ke rumah setelah selesai solat.

Sabda Nabi SAW:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ وَرَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنَ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Maksudnya: “Sesiapa yang pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya hidangan dari syurga setiap kali dia pergi dan balik.”[7]

Kami katakan, jika sekiranya ada pemberat yang lain seperti ingin mempelajari ilmu yang diajar oleh tuan guru atau ustaz, maka ia pergi ke masjid bukan semata-mata untuk solat, tetapi menuntut ilmu. Ketika itu, hukumnya menjadi sunat atau wajib melalui zahir hadith. Apatah lagi, jika pemergian tersebut bersama dengan suami. Maka itu amat digalakkan.

Memang tidak dinafikan lagi bahawa solat di masjid mempunyai fadhilat yang amat besar dan tersendiri. Dengan itu, marilah sama-sama berusaha dan berazam untuk berlumba-lumba menunaikan solat-solat fardhu di masjid. Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga solat agar dengannya kita akan digolongkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya, Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

[1] Riwayat Abu Daud (570)

[2] Riwayat Ahmad (26550)

[3] Lihat Raudhah al-Talibin, 1/341; al-Syarh al-Saghir, 1/424; al-Majmu’, 4/189; al-Kassyaf al-Qina’, 1/455 dan al-Ikhtiyar, 1/57

[4] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/199

[5] Riwayat Abu Daud (565)

[6] Riwayat al-Bukhari (645)

[7] Riwayat al-Bukhari (662)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *