#724: Tinggal Jumaat Tanpa Sebab

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum seseorang meninggalkan Jumaat tanpa sebarang sebab, dengan anggapan hanya sekali-sekala sahaja? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak yang wajib hukumnya ke atas setiap lelaki muslim yang mukallaf serta salah satu daripada syiar agama Islam. Begitu banyak nas syarak yang menunjukkan kepada pensyariatan solat Jumaat serta larangan yang tegas ke atas mereka yang meninggalkannya dengan sengaja. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198)

Antara dalil wajib solat daripada hadith pula ialah, daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.”

Riwayat Abu Dawud (1067)

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka (bebas) sepenuhnya.
  • Lelaki
  • Sihat tubuh badan.
  • Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201; Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), 1/159)

Begitu juga, Rasulullah SAW memberi ancaman kepada orang yang meninggalkan solat Jumaat secara sengaja dan mengambil mudah tentang kewajipannya dengan Allah SWT akan mengunci mati hatinya. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil ringan akannya, nescaya Allah SWT akan mengunci mati hatinya.”

Riwayat Abu Daud (1052) dan al-Nasa’ie (1369)

Perkataan “تَهَاوُنًا بِهَا” (kerana meringan-ringankannya) jelas menunjukkan sifat kemalasan dan tidak menghadiri Jumaat tanpa uzur dan sebarang sebab. Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan bahawa ia bermaksud meninggalkannya kerana mengambil mudah. Manakala al-‘Aini pula menyebut: Erti perkataan “تَهَاوُنًا بِهَا” adalah meninggalkannya disebabkan sikap malas dan culas dalam melaksanakannya. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 3/1024)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa hukum meninggalkan solat Jumaat adalah haram jika tanpa uzur syarie kerana hukum menunaikannya ialah fardhu ain, melainkan kepada perempuan dan kanak-kanak. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Disebut dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, bahawa telah berlaku ijma’ dalam kalangan ulama’ berkenaan kewajipan solat Jumaat ke atas orang lelaki, muslim, baligh, yang bermukim di sesuatu tempat dan tiada keuzuran baginya yang membolehkan dia meninggalkan solat Jumaat secara berjemaah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/193)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 25 Mac 2022 bersamaan 22 Syaaban 1443H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *