Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sah solat seseorang yang didirikan dengan memakai tali pinggang yang diperbuat daripada kulit? Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya:Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah al-Muddatthir: 4)

Al-Syaukani menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud Allah SWT memerintahkannya untuk membersihkan pakaiannya dan memelihara pakaian tersebut daripada najis. Manakala Qatadah pula menyatakan bahawa maknanya adalah bersihkanlah dirimu daripada dosa-dosa. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, oleh Sulaiman al-Asyqar, hlm. 776)

Al-Sa‘di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa berkemungkinan lafaz ‘pakaian’ dalam ayat ini bermaksud  seluruh perbuatan Rasulullah SAW dan makna ‘membersihkannya’ pula adalah dengan tulus dan ikhlas serta melaksanakannya dengan sebaik-baik pelaksanaan  dan memurnikannya daripada sebarang perkara yang membatalkan, merosakan dan mengurangkan pahalanya seperti syirik, riyak, nifak, ujub, takbur, lalai dan sebagainya yang diperintahkan kepada hamba-Nya untuk ditinggalkan ketika peribadatan kepada-Nya. Termasuk juga dalam perkara itu, perintah untuk membersihkan pakaian daripada najis. Hal ini kerana perkara tersebut merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian amalan khususnya di dalam solat, sebagaimana dinyatakan oleh para ulama bahawa menghilangkan najis daripadanya termasuk dalam syarat sah solat.

Selain itu, berkemungkinan juga lafaz ‘pakaian’ itu adalah dengan makna pakaian sebagaimana yang kita ketahui. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW diperintahkan untuk membersihkan pakaiannya daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya ketika masuknya waktu solat. Sekiranya Baginda diperintahkan dengan penyucian secara zahir, maka sesungguhnya penyucian secara zahir itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian secara batin. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/895)

Syarat sah solat

Di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.

Riwayat Abu Dawud (365)

Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat dua kemungkinan pada tali pinggang kulit itu. Pertamanya, boleh jadi ia diperbuat daripada kulit haiwan yang disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Maka, dalam hal ini ia adalah suci secara sepakat para ulama. Hal ini kerana tidak ada sesuatupun daripada bahagian anggota haiwan halal yang disembelih menjadi najis disebabkan oleh sembelihan yang dilakukan. Sebaliknya, kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. Bahkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan bahawa tidak syak lagi, sembelihan yang dilakukan pada haiwan yang halal dimakan, menunjukkan bahawa haiwan itu harus untuk dimakan secara keseluruhannya — yakni meliputi seluruh bahagian atau anggotanya yang lain selagi mana tiada nas dalil yang menyatakan sebaliknya. (Lihat al-Bayan, 1/80; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/153)

Keduanya, boleh jadi ia diperbuat daripada kulit haiwan bangkai. Mengenai hal ini, menurut mazhab Syafi‘i, kesemua kulit bangkai boleh menjadi suci dengan cara disamak, tidak kira kulit itu daripada bangkai yang halal dimakan dagingnya ataupun tidak, melainkan kulit babi dan anjing serta apa yang lahir daripada keduanya. Perkara ini adalah sebagaimana dinukilkan daripada Ali bin Abu Talib dan Ibn Mas‘ud R.Anhuma. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 28; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/217; al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 1/69)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ

Maksudnya: “Jika disamak kulit maka ia menjadi suci.”

Riwayat Muslim (838)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma yang lain, beliau berkata:

وَجَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاةً مَيِّتَةً، أُعْطِيَتْهَا مَوْلاَةٌ لِمَيْمُونَةَ مِنَ الصَّدَقَةِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلَّا انْتَفَعْتُمْ بِجِلْدِهَا؟ قَالُوا: إِنَّهَا مَيْتَةٌ: قَالَ: إِنَّمَا حَرُمَ أَكْلُهَا

Maksudnya:Nabi SAW menemui seekor kambing yang telah mati. Ia disedekahkan kepada maula Maimunah. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Mengapa kamu tidak memanfaatkan kulitnya?’ Mereka menjawab: ‘Sesungguhnya ia adalah bangkai.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya yang diharamkan hanyalah memakannya.’

Riwayat al-Bukhari (1492)

Oleh itu, jelaslah bahawa kulit bangkai haiwan sama ada diambil daripada haiwan yang halal dagingnya atau tidak, kecuali kulit babi dan anjing serta apa yang lahir daripada keduanya, boleh menjadi suci apabila disamak. Justeru, harus memakai dan menggunakan barangan seperti beg, dompet, tali pinggang dan lain-lain, yang diperbuat daripada kulit yang disamak kerana ia telah menjadi suci.

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, jika kulit telah menjadi suci dengan proses samak, maka dibolehkan untuk mengambil manfaat daripadanya, sama ada dalam keadaan basah mahupun kering berdasarkan hadith di atas. Oleh yang demikian, diharuskan untuk mendirikan solat dengan memakainya atau membawanya bersama — dan solat itu adalah sah. Tambahan lagi, proses samak itu juga telah menyucikan kulit tersebut pada zahir (yakni apa yang dapat dilihat) dan batinnya (yakni apa yang tidak dapat dilihat). Inilah pendapat mazhab Syafi‘i yang tepat sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas daripada Imam al-Syafi‘i, diputuskan mengenainya oleh ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dari Iraq, al-Baghawi dan selainnya dari Khurasan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/227)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat yang didirikan dengan memakan tali pinggang yang diperbuat daripada kulit adalah sah kerana proses samak yang dilakukan telah menjadikan kulit itu suci, sekalipun ia berasal daripada kulit bangkai. Hal ini kerana kesemua kulit bangkai boleh menjadi suci dengan cara disamak, tidak kira kulit itu daripada bangkai yang halal dimakan dagingnya ataupun tidak, melainkan kulit babi dan anjing serta apa yang lahir daripada keduanya sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i.

Oleh itu, kita diharuskan memakai dan menggunakan barangan seperti beg, dompet, tali pinggang dan lain-lain, yang diperbuat daripada kulit yang disamak kerana ia telah menjadi suci dan boleh digunakan sama ada dalam keadaan basah mahupun kering.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *