Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya masuk ke masjid selepas azan tetapi sebelum iqamah, lalu mendapati ada satu kumpulan yang tidak menunggu imam tetap (imam ratib) dan terus mendirikan solat. Kemudian, imam tetap datang dan mendirikan solat berjemaah. Beberapa persoalan timbul:
- Manakah yang dikira sebagai solat berjemaah pertama, solat kumpulan tersebut atau solat bersama imam tetap?
- Apakah hukum solat kumpulan tersebut?
- Adakah lebih baik saya mengikuti kumpulan pertama atau menunggu solat bersama imam tetap?
Jawapan:
Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda.
Sekiranya sebuah masjid mempunyai imam tetap atau imam rawatib, maka solat berjemaah bersama imam tetap adalah yang utama dan asal. Tidak dibolehkan bagi mana-mana individu atau kumpulan untuk mendirikan solat berjemaah sebelum imam rawatib melakukannya, kecuali dengan izinnya. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
لَا يُؤَمُّ الرَّجُلُ فِي سُلْطَانِهِ، وَلَا يُجْلَسُ عَلَى تَكْرِمَتِهِ فِي بَيْتِهِ، إِلَّا بِإِذْنِهِ
Maksudnya: “Janganlah seseorang menjadi imam di wilayah kekuasaan orang lain, dan janganlah dia duduk di tempat kehormatannya di rumahnya kecuali dengan izinnya.”
Riwayat al-Tirmizi (2772). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi
Syeikh Mansur al-Bahuti berkata: “Haram untuk seseorang menjadi imam di masjid sebelum imam tetap (rawatib), kecuali dengan izinnya, kerana imam tetap ibarat pemilik rumah yang lebih berhak. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: ‘Tidak boleh seseorang menjadi imam di rumah orang lain kecuali dengan izinnya.’ Perbuatan ini juga boleh menyebabkan perpecahan dan menyebabkan hikmah imam tetap menjadi ketua solat hilang.” (Lihat Kasyaf al-Qina’, 1/458).
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ditanya: “Apakah hukum solat kumpulan yang mendirikan solat berjemaah sebelum iqamah di masjid yang mempunyai imam tetap?” Beliau menjawab: “Tidak dibolehkan bagi seseorang mendirikan solat berjemaah di masjid yang mempunyai imam tetap kecuali dengan izinnya, kerana Nabi SAW bersabda: ‘Janganlah seseorang menjadi imam di wilayah kekuasaan orang lain.’ Imam tetap adalah pemimpin masjid.” (Lihat al-Liqa’ al-Syahri,58/22).
Hukum Solat yang Didahulukan Tanpa Izin Imam Rawatib
Jika kumpulan yang mendirikan solat berjemaah sebelum imam tetap atau imam rawatib tanpa izin atau alasan yang dibenarkan, seperti kelewatan imam, maka para ulama berbeza pandangan mengenai sahnya solat mereka:
- Pandangan pertama: Solat mereka sah tetapi berdosa kerana melanggar hak imam tetap.
- Pandangan kedua: Solat mereka tidak sah dan perlu diulang.
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika ditanya: “jika ahli masjid melantik seseorang untuk mengimami solat tanpa izin imam tetap dan tanpa alasan yang sah, kemudian orang tersebut mengimami mereka, adakah solat itu sah atau tidak? Jawapannya: Dalam isu ini, terdapat dua pandangan dalam kalangan ulama, iaitu solat itu sah, tetapi mereka berdosa, manakala pendapat kedua menyatakan, mereka berdosa, dan solat itu tidak sah. Mereka perlu mengulangi solat tersebut.
Pandangan yang lebih kuat adalah pandangan pertama: solat itu sah walaupun haram dilakukan tanpa izin imam tetap atau tanpa alasan yang sah. Ini berdasarkan larangan dalam hadis dan alasan yang jelas. Walaupun begitu, hukum sah solat tetap dikekalkan kerana asal hukum solat adalah sah sehingga ada bukti yang menunjukkan sebaliknya. Larangan mendirikan solat berjemaah tanpa izin imam tetap tidak menyebabkan solat itu menjadi batal, kerana larangan tersebut berkaitan dengan isu di luar solat, iaitu mendahului hak imam dan melanggar adab dengannya. Oleh itu, tidak seharusnya solat itu dibatalkan.” (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 4/154).
Namun, jika imam tetap terlambat dari waktu biasa dan kumpulan tersebut mendirikan solat untuk mengelakkan kelewatan, maka solat mereka adalah sah dan tidak berdosa. Hal ini merujuk kepada kejadian di mana Abdul Rahman bin ‘Auf mengimami solat ketika Nabi SAW lewat, dan Baginda tidak membantah tindakan tersebut.
Syeikh Abdul Aziz bin Baz menyatakan: “Jika imam terlambat dari waktu yang biasa, dan sebahagian makmum bergerak ke depan untuk mengimamkan solat bagi jemaah, maka tidak mengapa. Solatnya adalah sah, begitu juga solat jemaah yang bersamanya adalah sah. Ini berdasarkan peristiwa di mana Rasulullah SAW pernah terlambat, lalu Abdul Rahman bin ‘Auf mengimami solat jemaah. Nabi SAW tidak mengingkari perbuatannya, bahkan Baginda mengakuinya. Hal ini menunjukkan bahawa jika imam terlambat, jemaah tidak sepatutnya ditinggalkan tanpa solat. Sebaliknya, mereka boleh melantik sesiapa sahaja daripada kalangan orang baik untuk mengimami solat, supaya urusan jemaah tidak tergendala. Ini adalah pandangan yang benar.
Namun, jika ada orang yang tergesa-gesa mendirikan solat sebelum tiba waktu solat yang biasa atau sebelum kehadiran imam tetap, maka ini adalah kesalahan yang tidak dibenarkan. Tidak sepatutnya seseorang mendahului imam tetap sebelum waktu yang biasa kecuali dengan izinnya.“(Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Baz, 12/143-144).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan kami katakan bahawa solat berjemaah bersama imam tetap adalah solat berjemaah yang utama, manakala kumpulan yang mendirikan solat tanpa izin imam tetap tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara’ adalah berdosa kerana melanggar hak imam tetap. Namun, solat mereka dianggap sah oleh kebanyakan ulama. Sebaiknya tunggulah imam tetap dan tidak menyertai kumpulan yang mendahului tanpa izin, kecuali jika imam tetap benar-benar lewat dari waktu kebiasaannya.
Justeru, dalam hal ini sekiranya sesebuah kumpulan mendirikan solat tanpa izin imam tetap, maka tidak dibenarkan untuk menyertai solat tersebut kerana mereka telah melanggar hak imam tetap. Sebaiknya, tunggu sehingga imam tetap mendirikan solat berjemaah. Namun, jika imam tetap lewat dari waktu yang biasa, maka dibenarkan untuk mendirikan solat berjemaah terlebih dahulu dengan seseorang yang layak sebagai imam, bagi mengelakkan kelewatan.
Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”