Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah ada orang yang menyebut bahawa semua orang akan binasa kecuali orang alim dan orang aliom juga akan binasa kecuali yang beramal, dan yang beramal juga binasa kecuali orang yang ikhlas?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ﴿٣﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ ﴿٤﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ ﴿٨﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ ﴿٩﴾ أُولَٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ ﴿١٠﴾ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya, – Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: – Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi – Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
(Surah al-Mu’minun: 11)
Berkenaan persoalan ini, kami katakan, ada disebutkan:
النَّاسُ كُلُّهُمْ هَلْكَى إِلَّا الْعَالِمُونَ، وَالْعَالِمُونَ كُلُّهُمْ هَلْكَى إِلَّا الْعَامِلُونَ، والْعَامِلُونَ كُلُّهُمْ هَلْكَى إِلَّا الْمُخْلِصُونَ، وَالْمُخْلِصُونَ عَلَى خطر عَظِيم
Maksudnya: “Semua manusia akan binasa kecuali para ulama; para ulama akan binasa kecuali mereka yang mengamalkan ilmunya; dan orang yang mengamalkan ilmunya akan binasa kecuali mereka yang ikhlas; manakala mereka yang ikhlas berada dalam bahaya yang besar.”
Al-Saghani menukilkan bahawa hadis ini adalah hadis yang direka-reka (mukhtara’) dan terdapat kesalahan dalam nahu (malhun).
Kata al-Saghani: “Semua manusia akan mati kecuali para ulama; para ulama akan binasa kecuali mereka yang mengamalkan ilmunya; dan orang yang mengamalkan ilmunya akan tenggelam kecuali mereka yang ikhlas; manakala mereka yang ikhlas berada dalam bahaya yang besar.” Sebahagian perawi meriwayatkan hadis ini dengan kata: “Halka” (binasa), manakala sebahagian lagi menggunakan kata: “Mauta” (mati). Al-Saghani kemudian menyatakan: “Ini adalah hadis palsu dan mempunyai kesalahan dalam tatabahasa Arab.” (Lihat al-Maudhu’at Li al-Saghani, hlm. 38)
Maklumat bahawa hadis ini palsu turut dinyatakan dalam beberapa sumber berikut:
- Al-Fawa’id al-Majmu’ah oleh al-Syaukani (hlm. 257)
- Kasyf al-Khafa’ oleh al-’Ajluni (2/213)
- Asna al-Matalib fi Ahadith Mukhtalif al-Maratib oleh Muhammad bin Darwisy (hlm. 309).
Imam al-Ghazali dalam karya beliau, Ihya’ Ulum al-Din, pernah menukilkan kata-kata ini beberapa kali dalam beberapa bab yang berbeza. Namun begitu, beliau tidak menyebutnya sebagai hadis. Wallahu a‘lam.
Maka, kata-kata ini tidak sahih sebagai hadis yang berasal daripada Nabi ﷺ, bahkan ia adalah hadis yang direka-reka (maudhu’). Ia sebenarnya dinisbahkan kepada sebahagian golongan zahid (ahli zuhud).
Dalam kitab Silsilah al-Ahadith al-Da’ifah wa al-Mawdu’ah wa Atharuha al-Sayyi’ fi al-Ummah (1/174), beliau menyebut “Manusia semuanya mati kecuali orang yang berilmu; orang yang berilmu semuanya binasa kecuali mereka yang beramal; orang yang beramal semuanya tenggelam kecuali mereka yang ikhlas; dan orang yang ikhlas berada dalam bahaya yang besar.” Hadis ini adalah maudhu’ (rekaan).
Al-Saghani telah menyebutnya dalam kitabnya (hlm. 5) dan berkata: “Hadis ini adalah rekaan dan terdapat kesalahan dalam tatabahasa Arabnya. Bentuk tatabahasa yang betul sepatutnya ialah ‘al-‘alimin’ (العالمين), ‘al-‘amilin’ (العاملين), dan ‘al-mukhlisin’ (المخلصين).”
Pengarang al-Silsilah berkata: Kata-kata ini menyerupai ungkapan golongan sufi, dan ia mirip dengan kata-kata Sahl bin Abdullah al-Tustari:
النَّاسُ كُلُّهُمْ سُكَارَى إِلَّا الْعُلَمَاءُ، وَالْعُلَمَاءُ كُلُّهُمْ حَيَارَى إِلَّا مَنْ عَمِلَ بِعِلْمِهِ
Maksudnya: “Manusia semuanya dalam keadaan mabuk kecuali para ulama, dan para ulama semuanya dalam keadaan kebingungan kecuali mereka yang beramal dengan ilmunya.” Kata-kata ini diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam kitab Iqtidha’ al-‘Ilm al-‘Amal (hlm. 28).
Kemudian, beliau juga meriwayatkan dari jalur lain bahawa Sahl berkata:
الدُّنْيَا جَهْلٌ وَمَوَاتٌ إِلَّا الْعِلْمَ، وَالْعِلْمُ كُلُّهُ حُجَّةٌ إِلَّا الْعَمَلَ بِهِ، وَالْعَمَلُ كُلُّهُ هَبَاءٌ إِلَّا الْإِخْلَاصَ، وَالْإِخْلَاصُ عَلَى خَطَرٍ عَظِيمٍ حَتَّى يُخْتَمَ بِهِ
Maksudnya: “Dunia ini hanyalah kejahilan dan kematian, kecuali ilmu. Ilmu itu sendiri adalah hujah (bukti) terhadap seseorang, kecuali jika ia diamalkan. Amal pula tidak ada nilainya kecuali dengan keikhlasan. Namun, keikhlasan itu berada dalam bahaya besar sehingga ia disempurnakan dengan kesudahan yang baik.” (Lihat Iqtidha’ al-‘Ilm al-‘Amal, hlm. 29).
Pengarang al-Silsilah berkata: Kata-kata ini lebih mendekati maksud hadis palsu yang telah disebutkan sebelum ini. Mungkin inilah asal usulnya, tetapi ia kemudian dinaikkan statusnya oleh sebahagian golongan sufi yang jahil sehingga dianggap sebagai hadis Nabi ﷺ. Demikian disebut dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah (1/174).
Dalam Tarikh Dimasyq oleh Ibn Asakir, disebutkan bahawa beliau mendengar Dzu al-Nun al-Misri berkata:
النَّاسُ كُلُّهُمْ مَوْتَى إِلَّا الْعُلَمَاءُ، وَالْعُلَمَاءُ كُلُّهُمْ نِيَامٌ إِلَّا الْعَامِلُون، وَالْعَامِلُونَ كُلُّهُمْ مُغْتَرون إِلَّا الْمُخْلِصُونَ، وَالْمُخْلِصُونَ عَلَى خَطَرٍ عَظِيْمٍ
Maksudnya: “Manusia semuanya mati kecuali para ulama, dan para ulama semuanya tidur kecuali mereka yang beramal. Orang yang beramal pula semuanya terpedaya kecuali mereka yang ikhlas. Dan orang yang ikhlas berada dalam bahaya besar.”
Kemudian, beliau membaca firman Allah Azza wa Jalla:
لِّيَسْأَلَ الصَّادِقِينَ عَن صِدْقِهِمْ
Maksudnya: “(Tuhan berbuat demikian) supaya Ia menyoal orang-orang yang benar beriman tentang kebenaran iman mereka (untuk menyempurnakan balasan baik mereka).”
(Surah al-Ahzab: 8)
Wallahu a’lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”