Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana peranan masjid yang sepatutnya dan bagaimana mengimarahkannya dengan berkesan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
(Surah al-Taubah: 108)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Wahai Rasulullah, janganlah engkau sembahyang di masjid orang-orang munafik. Sesungguhnya Masjid Quba yang dibina berdasarkan takwa sejak hari pertama Nabi memasuki Madinah untuk berhijrah, adalah lebih utama untuk disembahyangi berbanding masjid mudharat. Di dalamnya (Masjid Quba) terdapat ramai lelaki dari kaum Ansar yang gemar membersihkan diri dengan dua cara, iaitu secara zahir (dengan wudhu atau seumpamanya) dan secara maknawi, iaitu dengan menghapus dosa. Sesungguhnya Allah merestui dan memberi ganjaran kepada orang yang sentiasa membersihkan diri. Ayat ini diturunkan berkenaan penduduk Quba ‘فِيهِ رِجَالٌ’ yang sentiasa membersihkan diri dengan air, sama ada lelaki atau perempuan. (Lihat Tafsir al-Wajiz, 2/332)
Sejarah masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan pendakwah yang membawa obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka. Di masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidakkah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka, yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah SAW), yang bertempat di Masjid Nabawi?
Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, maka kerja yang pertama dilakukan adalah membina padanya masjid. Bahkan sebelum sampai dengan sempurna lagi ke Madinah, Rasulullah SAW telah membina Masjid Quba’. Ini menunjukkan kepentingan masjid dalam Islam. Apatah lagi terdapat pada masjid itu mesej kemasyarakatan dan kerohanian yang besar kedudukannya dalam kehidupan muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka.
Oleh yang demikian, masjid merupakan institusi yang penting dalam membangunkan masyarakat. Peranan masjid termasuklah sebagai agen untuk menyatukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan mereka. Masjid yang benar-benar berfungsi akan memberikan banyak faedah dan manfaat kepada masyarakat di sekitarnya seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga sebagai pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat. Bahkan fungsinya boleh dikembangkan sehingga kepada pengislahan ekonomi dan sosial. Kalimah masjid adalah kalimah yang berasal daripada kalimah bahasa Arab, yang bermaksud ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syarak diertikan kepada sebagai tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)”
Riwayat Bukhari (438)
Makna masjid dari sudut istilah adalah tempat yang untuk menunaikan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat Al-Fuqaha, hlm. 428) Al-Zajjaj mengatakan bahawa masjid itu adalah setiap tempat yang dılakukan amal ibadat padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas. (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174) Masjıd juga diertikan sebagai bangunan khas tempat umat Islam melakukan solat Jumaat dan ibadah-ibadah lain.[1]
Di samping itu, masjid juga berfungsi sebagai madrasah (tempat pengajian) untuk mentarbiyah individu, sama ada lelaki, wanita, yang kecil, tua, sehingga terbentuknya masyarakat dan ummah yang sentiasa mengerjakan amal kebaikan dan juga memahami agama yang mendalam. Dan ini sememangnya menjadi tugas utama para imam. Sekiranya baik imamnya, maka baik juga masjidnya.[2]
Sewajarnya para imam dan ahli jawatankuasanya memahami fungsi masjid dalam memainkan peranan untuk membantu ahli qaryah dan jemaahnya. Jika ditinjau, terdapat enam fungsi utama masjid dalam ketamadunan Islam, iaitu:
- Tempat pembinaan kerohanian. Sebagaimana yang diketahui, ini adalah pusat bagi membentuk kerohanian umat Islam. Jika dilihat pada zaman Nabi SAW, Masjid Nabawi menjadi tempat ibadat ahli suffah pada zaman awal Islam.
- Tempat pengukuhan sosial umat Islam. Ia adalah tempat terbaik bagi program-program untuk umat Islam dan juga pertemuan mingguan seperti Khutbah Jumaat. Di dalam masjid, kita belajar persaudaraan. Di masjid, kita saling bertemu setiap hari, saling mengenal wajah dan hati saudara kita, serta mengasihi antara satu sama lain.
- Tempat pembelajaran dan pendidikan. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, katanya: “Terdapat beberapa buah universiti yang terkenal di dunia menggunakan nama jami’ (yakni seperti Jami’ al-Azhar di Mesir, Jami’ al-Zaituna di Tunisia, Jami’ al-Qarawiyyin di Maghribi. Universiti-universiti tersebut adalah antara universiti utama atau universiti yang paling awal di seluruh dunia yang menjadikan masjid sebagai pusat perkembangan ilmu dan ketamadunan.”
- Tempat meleraikan permasalahan kehidupan seperti isu konflik rumah tangga, perundangan dan lain-lain. Ada ketikanya umat Islam ditimpa sesuatu musibah atau bencana. Dalam keadaan seperti ini, adakalanya mereka akan berkumpul di masjid untuk berbincang dan bermesyuarat bagi mengambil tindakan yang perlu dilakukan.
- Tempat mengatur sistem politik seperti syura, bai’ah dan membuat resolusi serta keputusan yang besar.
- Tempat penyampaian arahan pemerintah. (Lihat Memperkasa Pengurusan Masjid, hlm. 19-20. Lihat juga Mausu’ah Qadaya Islamiyyah Mu’asirah, 1/217-219)
Berdasarkan pembahagian di atas, jelas menunjukkan bagi mengembalikan ruh kemasjidan yang sebenarnya keperluan untuk mengemukakan maksud dan matlamat sebenar masjid didirikan bagi pengimarahan sejagat yang telah dilakukan oleh Baginda SAW. Sesungguhnya masjid itu adalah sebagai markaz hidayah, iaitu tempat di mana diajarkan kepada masyarakat itu ajaran agama, mendidik akal, akhlak, jiwa, adab serta perasaan.
Tambahan dari itu, masjid juga sebagai tempat untuk berkumpulnya seluruh lapisan masyarakat. Hal ini menjadikan kedudukan antara manusia itu sama darjatnya, tidak lagi membezakan antara sesiapa.[3] Pada saat yang sama kemungkinan peranan masjid boleh diperkasakan lagi dengan perkembangan semasa dan dunia masa kini agar benar-benar kita berada di pentas realiti di samping menyahut cabaran yang masjid merupakan rujukan ummah dan tempat bahagia yang abadi untuk menyelesaikan sebarang kekusutan dan kemelut umat sejagat.
Antara perkara penting yang perlu menjadi agenda utama para imam dan masyarakat adalah mengenai aktiviti pengimarahan masjid. Menurut Kamus Dewan Bahasa, imarah bermaksud menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid atau surau dengan pelbagai kegiatan berfaedah, biasanya berbentuk keagamaan.[4] Sebagai tempat ibadah, masjid merupakan penghubung seorang hamba dengan penciptanya dalam bentuk solat.
Walaupun Islam tidak membataskan bahawa solat hanya dilakukan di masjid (bumi merupakan masjid Allah di mana saja seorang muslim dapat melaksanakan solat apabila telah datang waktunya) Nabi selalu menganjurkan umatnya agar senantiasa melaksanakan solat berjamaah di masjid. Terdapat banyak riwayat hadis yang menerangkan pentingnya solat berjemaah. Namun bagi kehidupan Muslim, masjid bukan hanya sebagai tempat ibadah seperti halnya gereja dan lainnya, akan tetapi masjid merupakan pusat kehidupan umat Islam. Allah SWT berfirman:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
(Surah al-Taubah: 18)
Al-Tabari menjelaskan bahawa sesungguhnya manusia yang mengimarahkan masjid itu adalah bukti bahawa dia sememangnya benar-benar beriman kepada Allah SWT, serta yakin kepada hari kebangkitan. (Lihat Jami’ al-Bayan, 5/802)
Imam al-Razi menyatakan sesungguhnya tidak dapat tidak, sesiapa yang beriman kepada Allah SWT hendaklah dia memmakmurkan masjid. Hal ini kerana masjid merupakan tempat di mana manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sesiapa yang di hatinya itu ada sifat tidak beriman kepada Allah SWT, maka dia akan menghalang orang untuk pergi beribadah di masjid. Dan sesiapa yang beriman dengan Hari Akhirat, maka hendaklah dia menyibukan dirinya dengan beribadah kepada Allah SWT, kerana dengan beribadah, manusia itu akan dikurniakan syafaat di hari akhirat. (Lihat Tafsir Mafatih al-Ghaib, 6/9)
Abu Hayyan mengatakan bahawa ayat ini merupakan perintah bagi orang mukmin untuk mengimarahkan masjid, dengan cara membersihkannya, mengagongkannya, melakukan ibadah, berzikir, serta mengadakan majlis ilmu agama. Sesungguhnya masjid ini merupakan taman syurga bagi orang mukmin di dunia ini. (Lihat Tafsir al-Bahr al-Muhit, 5/21)
Hamka berkata sesungguhnya hanya orang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat sahaja, mampu untuk memakmurkan masjid. Memakmurkan masjid adalah menghidupkan solat berjamaah di dalamnya, membersihkannya, menghidupkan masjid dengan majlis ilmu dan sebagainya. Orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, nescaya tidak tergerak hatinya untuk pergi ke masjid. (Lihat Tafsir al-Azhar, 10/ 128) Imam al-Qurtubi menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat sesorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/66)
Sayyid Qutb menyatakan ayat ini hanya menyebut “takut kepada Allah” selepas menyebut dua syarat keimanan dalaman dan amalan luaran. Dan ini bukanklah beerti “takut kepada Allah” suatu pernyataan lebihan, kerana yang dipastikan di sini ialah keikhlasan kepada Allah dan menjauhkan diri dari segala bayangan syirik sama ada di dalam perasaan atau perilaku. Ketakutan seseorang kepada yang lain dari Allah itu merupakan sejenis syirik khafi yang sengaja diperingatkan al-Quran di sini supaya I’tiqad dan amalan seseorang itu hanya untuk Allah semata-mata. Di waktu ini sahaja para mukminin berhak mengimarahkan masjid-masjid Allah dan mengharapkan hidayat dari Allah.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 3/1614)
Masjid juga merupakan institusi yang penting dalam melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni. Peranan masjid termasuklah sebagai tempat untuk menyatupadukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan mereka tidak hanya terhad kepada ibadah khusus semata-mata, tetapi juga meliputi aspek-aspek yang lain sama ada ekonomi, sosial, keluarga dan sebagainya. Kesannya masjid akan benar-benar berfungsi untuk mewujudkan pelbagai ruang dan manfaat kepada masyarakat di sekitarnya seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan, ekonomi dan juga sebagai pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat.
Bahkan fungsinya boleh dikembangkan sehingga kepada pengislahan komuniti, ekonomi dan sosial. Masjid berperanan dalam memberi ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita penting untuk ummah, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian. (Lihat al-Dhawabit al-Syar’iyyah li Bina’ al-Masjid Wasiyanatiha, hlm. 147)
Justeru, dalam isu pengimarahan masjid ini, terdapat sekurang-kurangnya dua aspek yang perlu diberi perhatian, iaitu:
- Aspek zahir dan fizikal. Ia dengan maksud membina, memperbaiki, menyelenggara sehingga menjadikan masjid begitu indah dan menarik. Hal ini sudah tentu akan menjadikan jemaah dan orang ramai suka untuk mengunjunginya dalam melakukan ibadat.
- Aspek batin dan hakikatnya: Iaitu dengan mengimarahkan masjid melalui pengisian kerohanian, majlis-majlis ilmu dan memenuhinya dengan suasana berdasarkan maksud asalnya, iaitu tempat untuk sujud dan tempat beribadat. Dengan itu, ia akan menarik sejumlah jemaah bagi melaksanakan titah perintah Allah SWT.
Kedua-duanya amat diperlukan dan apabila ia dilaksanakan dengan sebaiknya, maka sudah pasti akan menatijahkan maksud sebenar pengimarahan sama ada dalam aspek fizikal atau aspek batinnya. Inilah yang kita dambakan dalam pengimarahan masjid.
Disamping itu juga Majlis Agama Setiap Negeri hendaklah mengambil peranan dalam pengawasan masjid dan sedaya upaya mematuhi standard yang ditetapkan oleh Jakim dalam memperkasakan masjid melalui empat komponen penilaian iaitu:
- Pengurusan
- Semakan dokumen seperti perancangan strategik masjid, senarai ahli jawatankuasa, senarai program, sijil pengiktirafan dan laporan kewangan.
- Interaksi dengan pihak pengurusan masjid seperti Pengerusi/ Nazir dan Setiausaha/Bendahari
- Pemerhatian terhadap maklumat hebahan seperti di papan kenyataan dan media elektronik.
- Pengimarahan
- Semakan dokumen seperti jadual bertugas imam dan bilal, jadual program keilmuan, risalah agama dan rekod khairat kematian;
- Pemerhatian berstruktur seperti pemerhatian terhadap kehadiran jemaah
- Temu bual seperti temu bual bersama ahli jawatankuasa dan jemaah masjid.
- Kemudahan prasarana
- Pemerhatian terhadap berstruktur seperti pemerhatian kemudahan tempat dan peralatan ibadat, kemudahan pentadbiran, kemudahan keilmuan dan kemudahan kebajikan.
- Pemeriksaan pematuhan seperti pemeriksaan peralatan tertentu untuk memastikan ia dapat berfungsi dengan baik.
- Persekitaran
- Pemerhatian berstruktur seperti pemerhatian terhadap kebersihan, keceriaan dan kelengkapan keselamatan
- Pemeriksaan pematuhan seperti pemeriksaan peralatan tertentu untuk memastikan ia dapat berfungsi dengan baik
- Temu bual seperti temu bual bersama ahli jawatankuasa dan jemaah masjid.[5]
Justeru, pada zaman moden ini, komuniti Islam perlu memperkasakan peranan masjid sebagai pusat penyatuan umat Islam dengan membangkitkan semula kepentingan masjid melalui berbagai aktiviti keagamaan dan sosial. Selain itu, pihak yang terlibat dalam pengurusan masjid perlu memiliki sikap terbuka, berfikiran kreatif dan inovatif dalam merancang serta menjalankan pelbagai program yang dapat membentuk sebuah masyarakat yang unggul.
Syor dan Cadangan
Adalah menjadi satu keperluan untuk masjid memainkan peranan sama ada melalui pengerusi, imam dan AJK-nya, agar ia sesuai dan tetap relevan pada masa kini. Antara cadangan yang boleh dilaksanakan:
- Mewujudkan Dapur It’am. Ia telah diperkenalkan di Wilayah Persekutuan untuk menjamu dan memberi makan kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan bermula tahun 2020 sehingga kini.
- Mewujudkan tempat transit bagi isu konflik rumahtangga. Hal ini telah diwujudkan di Wilayah Persekutuan pada tahun 2021 dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
- Mewujudkan kaunseling dalam pelbagai bidang untuk menampung keperluan masyarakat dan meleraikan permasalahan kehidupan seperti:
- Konflik rumahtangga
- Anak-anak nakal
- Isu keberhutangan dan lain-lain
- Menjadikan masjid sebagai nilai tambah pembelajaran anak-anak dengan lebih selesa. Antaranya:
- Memudahkan isu tuisyen untuk pelajar
- Menyediakan akses sambungan wi-fi
- Menyediakan peralatan ICT seperti komputer riba (laptop) atau i-pad
- Menyediakan bahan-bahan bacaan yang berkualiti
- Menyediakan audio atau video pendidikan untuk anak-anak pelajar
- Mewujudkan kewangan khas bagi musafir untuk bermalam sebagai rumah tamu untuk khalayak seperti ini dengan kebenaran Jawatankuasa Masjid. Hal ini boleh meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan dalam musafir seperti masyarakat kampung yang ingin menghantar anak-anak mereka ke universiti sedangkan mereka kurang berkemampuan untuk menyewa hotel mahupun
Justeru, antara faktor yang penting bagi kejayaan sebuah masjid sebagai pusat pentadbiran dan perkembangan masyarakat Islam adalah struktur organisasi masjid itu sendiri. Jawatankuasa masjid yang bergerak aktif, memiliki keupayaan untuk merancang dan mengurus masjid dengan cekap efisien membantu dalam mengembangkan program-program yang berfaedah seperti pengajian agama, bantuan masyarakat, dan kegiatan kemasyarakatan yang membina. Hal ini amat penting kerana kecekapan dalam pengurusan institusi masjid tidak hanya mencerminkan kemuliaan Islam, tetapi juga membentuk persekitaran dan sosial umat Islam yang baik.
Semoga cadangan yang ringkas ini dapat dimainkan peranan oleh masjid melalui AJK dan imamnya. Amin.
Penutup
Allah SWT berfirman:
وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.
(Surah al-Jin: 18)
Ibn Kathir menjelaskan: Adalah orang Yahudi dan Nasrani, apabila memasuki tempat ibadat mereka, mereka melakukan syirik kepada Allah SWT. Maka Allah perintahkan Nabi-Nya SAW supaya mentauhidkan-Nya semata-mata. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/244)
Penulis mengambil kesempatan dalam ruang ini untuk menekankan aspek yang amat penting dan sewajarnya ada pada seseorang imam dan pihak pentadbir agar benar-benar berintegriti dan bersifat profesional, antaranya:
- Bersifat amanah
- Memelihara waktu solat
- Mesra jemaah
- Menjauhi sifat mazmumah seperti riak, takabbur, ujub, hasad dengki, dendam kesumat dan lain-lain.
- Keikhlasan yang tinggi
- Sentiasa meningkatkan ilmu
- Sentiasa muzakarah ilmiah sesama mereka.
- Tidak merasa jemu dalam memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada jemaah
- Sentiasa memastikan masjid diimarahkan dengan ilmu, ibadat, zikir dan bacaan al-Quran supaya syiar Islam dapat ditegakkan.
Jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita. Aktifkan semula peranan masjid dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemungkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah.
Sekiranya perkara ini berjaya dilaksanakan, sudah tentu masjid akan menjadi satu institusi yang kukuh, yang akhirnya membawa kepada sifat cintakan masjid dalam masyarakat serta dorongan untuk beramai-ramai mengimarahkannya. Jika hal ini dapat dilaksanakan, sudah tentu ia juga akan dapat mengurangkan isu jenayah dan memperteguhkan kesatuan masyarakat sehingga layak disebut sebagai Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”
[1] https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=masjid
[2] Muhammad Kamal Mulauwata al-Muslimi. 2010. Al-Wazifah al-Tarbawiyyah li al-Masjid fi Zilli al-Mutaghayyirat al-Mujtamaiyyah al-Mua’asirah. Majalah Kuliiyah al-Tarbawiyyah Bur Sa’id. Hlmn. 341. Egypt. Jami’ah Bur Sa’id.
[3] Al-Wazifah al-Tarbawiyyah li al-Masjid fi Zilli al-Mutaghayyirat al-Mujtamaiyyah al-Mua’asirah. Majalah Kuliiyah al-Tarbawiyyah Bur Sa’id. Hlmn. 341.
[4] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=imarah&d=175768&#LIHATSINI
[5] Lihat https://www.islam.gov.my/uploads/STANDARD-PENARAFAN-MASJID-MALAYSIA-SPMM.pdf Diakses pada 28 Disember 2023