Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah dialog agama dengan barat akan mencapai hasil yang diharapkan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah al-Nahl: 125)
Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menytakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)
Syeikh al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib berkata: Ini akan terjadi apabila Barat berhenti dari dialognya bersama Negara Islam di Timur Tengah dengan sikap sombong, dan berhenti dari usaha pembaptisan umat Islam serta memesongkan mereka dari agama Islam, tanpa menyentuh mazhab dan agama lain.
Soalan ditanya: Sesetengah musuh Islam mengulangi bahawa Islam tidak mengalu-alukan agama lain dan tidak mengiktiraf agama-agama samawi yang terdahulu. Bagaimana pandangan berkenaannya?
Jawapannya: Ini adalah tuduhan yang zalim dan tidak ada sebarang sandaran dalam nas-nas Islam. Cendekiawan Barat sebenarnya mempunyai kesedaran yang baik bahawa tamadun Islam semenjak dahulu sehingga kini masih merupakan tamadun yang membawa persaudaraan sesama manusia dan persekutuan keagamaan global. Islam tidak pernah menjadi punca keburukan bagi umat manusia, dan tidak pernah menyekat hubungan persaudaraan dengan agama-agama lain. Tidak pernah diketahui bahawa Islam secara terbuka atau terselindung menanam sikap bermusuhan atau melampaui batas dalam konflik bersenjata dengan orang bukan Muslim, seperti yang dilakukan oleh Barat Kristian terhadap Islam dan umat Islam, atau seperti yang dilakukan oleh entiti Zionis yang menyerang pemilik tanah yang telah dirampasnya.
Orang Islam tidak mempunyai sebarang masalah dalam hubungan keagamaan, politik, budaya, atau ekonomi dengan mereka yang bukan Islam. Tamadun Islam telah membentuk contoh terbaik kerjasama damai dengan mereka yang berlainan agama. Namun, masalah sebenarnya masih berlaku di kalangan mereka yang berlainan agama yang berurusan dengan Islam, dengan semangat permusuhan dan kebencian. Mereka selalu berusaha untuk meletakkan agama ini dan penganutnya dalam sangkar tuduhan yang tidak adil dan zalim. Ini bertujuan agar umat Islam sentiasa berada dalam posisi defensif, memberikan reaksi balas, menangkis serangan, dan sekali gus menghabiskan usaha, tenaga, serta harta mereka dalam menangani tuduhan palsu ini. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 3/284-285)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.