Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Satu persoalan yang sering bermain di jiwa saya, boleh atau tidak seseorang itu menyampaikan salam kepada seseorang melalui kiriman. Ini sudah menjadi sebahagian adat orang Melayu.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا حُيِّيْتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّواْ بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا
Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Nisa’: 86)
Imam al-Fakhr al-Razi berkata: “Ketahuilah lafaz tahiyyah (تَحِيَّةٍ) sebagai mana yang kami nyatakan merupakan kiasan kepada perbuatan memuliakan sesuatu. Justeru semua bentuk jenis perbuatan memuliakan boleh dimasukkan di bawah lafaz berkenaan.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 5/221)
Berkenaan dengan isu di atas dan persoalan yang ditanya, kami katakan bahawa dapatan kami menunjukkan bahawa boleh dikirim salam kepada orang lain melalui wakilnya. Antara dalilnya ialah bahawa Aisyah R.Anha menceritakan bahawa Nabi SAW pernah berkata kepadanya:
(جِبْرِيلُ يَقْرَأُ عَلَيْكِ السَّلَامَ) فَقَالَتْ: وَعَلَيْهِ السَّلَامُ وَرَحْمَةُ اللهِ
Maksudnya: “Jibril menyampaikan salam kepada kamu. Lantas jawab Aisyah: Dan ke atasnya salam serta rahmat Allah.”
Riwayat al-Bukhari (3127) dan Muslim (2247)
Begitu juga, dalam sebuah hadith yang lain, ketika berlakunya peristiwa mi’raj, maka Nabi Ibrahim AS berkata kepada Nabi SAW. Daripada Ibn Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَقِيتُ إِبْرَاهِيمَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَقْرِئْ أُمَّتَكَ مِنِّي السَّلَامَ وَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ الْجَنَّةَ طَيِّبَةُ التُّرْبَةِ عَذْبَةُ الْمَاءِ وَأَنَّهَا قِيعَانٌ وَأَنَّ غِرَاسَهَا سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ
Maksudnya: “Aku bertemu dengan Nabi Ibrahim AS pada malam ketika aku diisra’kan, kemudian beliau berkata: ‘Wahai Muhammad, sampaikan salam daripadaku kepada umatmu, dan beritahukan kepada mereka bahawa syurga debunya harum, airnya segar, dan syurga tersebut adalah datar, tanamannya pula adalah kalimah: “سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ” (Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, dan Allah Maha Besar).’”
Riwayat al-Tirmizi (3462); al-Tabarani (10363); al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (2/292). Hadith ini tidak ada masalah berdasarkan kitab al-Silsilah al-Sahihah (105).
Justeru, berdasarkan kepada nas di atas, maka dibolehkan menyampaikan salam kepada seseorang melalui kiriman atau wakil. Semoga umat Islam sentiasa diberi kekukuhan perpaduan antara satu sama lain kerana menjawab salam juga menjadi hak ke atas setiap orang Islam. Benarlah sabda Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
حَقُّ المُسْلِمِ عَلَى المُسْلِمِ خَمْسٌ: رَدُّ السَّلاَمِ، وَعِيَادَةُ المَرِيضِ، وَاتِّبَاعُ الجَنَائِزِ، وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ، وَتَشْمِيتُ العَاطِسِ»
Maksudnya: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin (apabila dia mengucapkan alhamdulillah).”
Riwayat Al-Bukhari (1240) dan Muslim (5778)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”