Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan berkenaan isu wakaf istibdal?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ ۖ قُلْ مَا أَنفَقْتُم مِّنْ خَيْرٍ فَلِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).
(Surah al-Baqarah: 215)
Dengan perkembangan semasa dan keperluan masa kini, kebanyakan ulama dan badan-badan yang berautoriti telah mengharuskan penggunaan wakaf istibdal. Terdapat kaedah menyebut:
الأَحْكَامُ تَتَغَيَّرُ بِتَغَيُّرِ الأَزْمَانِ
Maksudnya: “Segala hukum boleh berubah dengan perubahan masa.” (Lihat al-Mukhtarat al-Jaliyyah oleh al-Sa‘di, hlm. 325)
Penulis kemukakan di sini beberapa fatwa yang telah diputuskan atau pendapat ulama berkenaan wakaf istibdal, antaranya:
Majlis Fatwa Kebangsaan
Pada tahun 1982, Muzakarah Kali Ke-4 di mana para ulama telah menerima hukum istibdal harta wakaf berdasarkan mazhab Hanafi. Antara lain menyebut: Mazhab Hanafi mengklasifikasikan hukum berdasarkan keadaan sama ada istibdal terhadap wakaf itu telah disyaratkan untuk membenarkan istibdal, maka diharuskan untuk mengistibdalkan harta wakaf tersebut dengan harta yang lain yang mana sama keadaannya dengan tanah asal wakaf dari segi syarat-syaratnya. Sebaliknya, pada situasi yang lain, tidak disyaratkan untuk dibolehkan istibdal harta yang diwakafkan. Menurut mazhab ini, ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu melihat kepada keadaan manfaat yang boleh dicapai seandainya tidak diambil langkah gantian pada harta wakaf. Sekiranya harta yang diwakafkan tidak mendatangkan manfaat, maka boleh diistibdalkan pada harta yang lain dengan kelulusan pihak berwajib, namun jika manfaat wakaf masih terpelihara adalah tidak harus diistibdalkan. (Lihat Kompilasi Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Bab 3, hlm. 55)
Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.
Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, dalam mesyuarat kali ke-35 yang bersidang pada 19 November 1993 telah bersetuju mengharuskan wakaf istibdal iaitu memindahkan tanah wakaf dari satu tempat ke tempat yang lain yang lebih bermanfaat, tetapi perlu mencari nilai tanah yang sama atau lebih.
Jabatan Mufti Negeri Melaka
Jabatan Mufti Negeri Melaka bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah Negeri Melaka telah mengeluarkan fatwa berikut: Jika tanah wakaf diambil balik oleh PBN kerana apa jua sebab, maka pampasan wajiblah dibayar baginya dan wang pampasan itu hendaklah terletak hak dan dibayar kepada Majlis Agama Islam, supaya diganti tanah lain sebagai mengekalkan wakaf dan menunaikan kehendak yang berwakaf. (Lihat Rujukan pewartaan 2 Februari 1995 MAIM, No.54, lampiran ii)
Fatwa Jemaah Ulama Negeri Kelantan
Mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 23 September 2001 telah membincangkan hukum istibdal tanah wakaf Tengku Kaya Pahlawan. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju mengeluarkan fatwa sebagaimana berikut:
- Bahawa tanah-tanah wakaf Almarhum Tengku Kaya Pahlawan yang tertulis di dalam surat cara wakafnya itu tidak boleh dijual dan ditukar ganti dengan tanah yang lain kerana dalam surat tersebut telah dijelaskan maksud wakaf beliau dengan lafaz yang jelas.
- Mesyuarat bersetuju supaya Majlis Agama Islam Kelantan mengambil langkah-langkah lain yang tidak bercanggah dengan syarak dalam usaha memajukan tanah-tanah wakaf Tengku Kaya Pahlawan dan tanah-tanah wakaf lain yang seumpamanya. (Sumber: Laman Rasmi Jabatan Mufti Negeri Kelantan)
Fatwa Harus Istibdal Atau Membangun Tanah Wakaf Di Bawah Kawalan Majlis
Jemaah ulama melalui persidangan yang diadakan telah membuat keputusan untuk mengharuskan jual beli atau tukar ganti harta wakaf sama ada wakaf am atau wakaf khas sebab-sebab darurah atau maslahah ammah bagi memelihara maksud dan tujuan wakaf itu sendiri supaya jangan sampai dipersia-siakan.[1] Hukum tersebut dipilih berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh Imam Ibn Taimiyyah dalam kitab Majmu’ al-Fatawa, di mana beliau menyandarkan pendapatnya kepada Imam Ahmad dan sebahagian fuqaha mazhab Hanafi.[2]
Fatwa ini berlawanan dengan pendapat muktamad dalam mazhab Syafie, mazhab Maliki dan pendapat kebanyakan ulama mutaqaddimin dan mutaakhirin, yang mengatakan hukum mengenai harta wakaf, sama ada wakaf am atau khas tidak harus dijual beli atau tukar ganti.[3]
Selepas meneliti dan membincangkan perbezaan dalil kedua-dua pihak, jemaah ulama akhirnya bersetuju dalam beberapa hal yang boleh memberi manfaat dan maslahah ammah, untuk mentarjihkan dan menerima pakai pendapat yang dikemukakan oleh Imam Ibn Taimiyyah dalam membuat rumusan fatwa.[4]
Antara syarat-syarat yang membolehkan istibdal tanah wakaf sebagaimana yang telah dirumuskan oleh jemaah ulama adalah:
- Sebab-sebab darurat atau maslahah ammah bagi maksud dan tujuan wakaf itu sendiri supaya jangan sampai dipersia-siakan.
- Harta yang hendak dijadikan tukaran (istibdal) hendak lebih baik dari harta wakaf itu sendiri baik dari segi nilai harta, fungsi dan lain-lain yang berkaitan dengannya.
- Harta wakaf yang hendak diistibdal itu sudah hilang langsung potensinya dan tidak boleh dimajukan lagi.
Kesimpulan yang boleh dibuat daripada fatwa di atas ialah jemaah ulama melalui perbincangan mereka telah mengambil pendekatan ijtihad tarjihi dalam mengharuskan istibdal dan memajukan tanah-tanah wakaf dengan mentarjihkan pendapat Imam Ibn Taymiyyah yang juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan ulama mazhab Hanafi ke atas pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie. Pentarjihan ini dibuat berasaskan neraca maslahah iaitu demi memajukan tanah-tanah wakaf tersebut sekaligus dapat meningkatkan hasilnya untuk digunakan bagi kepentingan umum.
Kami katakan, kaedah meraikan kepada maslahat yang lebih berat dan bermanfaat adalah sepatutnya menjadi pertimbangan kepada para mufti dan ahli fatwa. Ia termasuk dalam kaedah yang masyhur:
الرَّأْيُ الْمَرْجُوْحُ إِذَا كَانَتْ مَعَهُ مَصْلَحَةٌ فَيَكُونُ رَاجِحًا
Maksudnya: “Pendapat yang marjuh, jika berserta dengannya maslahat, ia akan menjadi rajih atau kuat.”
Ia diperbahaskan oleh ramai ulama’ dan telah diamalkan dalam beberapa fatwa termasuklah dalam isu wakaf istibdal ini. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.
[1] Uthman bin Hj. Ibrahim (ed) (tt), “Kompilasi Perkara-Perkara Yang Difatwakan Dalam Tahun 1996”, Kota Bharu: Majlis Agama Islam Kelantan, hlm. 19.
[2] Syeikhul Islam Ahmad bin Taimiyyah (1387H), Majmu’ al-Fatawa, j. 31, t.t.t.: Matba’ah al-Hukkam, hlm. 252-253; Wahbah al-Zuhayli (1996), op.cit., j.8, hlm. 221.
[3] Ibid.
[4] Uthman bin Hj. Ibrahim (ed) (tt), “Kompilasi Perkara-perkara Yang Difatwakan Dalam Tahun 1995”, Kota Bharu: Majlis Agama Islam Kelantan, hlm. 31.