Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kisah ulama dahulu yang boleh kita jadikan pengajaran atau ambil iktibar darinya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ulama’ ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”

(Surah al-Sajdah: 24)

Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)

Ulama’ ialah golongan yang masyarakat dan umat ini belajar dan bertafaqquh dalam ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan.

Ulama’ ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya.

Ulama’ ialah ketua Jemaah yang diperintahkan kita beriltizam dengannya dan melarang kita daripada berpisah daripadanya.

Mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali ‘Imran: 18)

Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya, ialah:

  • Dengan ilmu mereka.
  • Dengan kedalaman kefahaman mereka dalam bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas.
  • Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
  • Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
  • Mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan oleh dunia.

Ulama’ dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak seyogia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”

Semoga dengan takrifan dan definisi serta pengenalan ulama’ ini maka sudah pasti masyarakat benar-benar akan mengenali dhawabit ulama sejati. Kami tertarik dengan kenyataan ulama al-Azhar ketika kami berada di Kaherah yang menyebut: ‘Ilmu (علم), kemudian ‘Amal  (عمل) dan natijah daripada pelaksanaan kedua-duanya akan memperolehi Lama‘ (لمع) yang memberi makna bercahaya. Maksudnya orang yang berilmu dan beramal sentiasa dilihat sebagai pedoman kepada khalayak masyarakat. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 39-42).

Beliau seperti mana ulama yang lain amat gigih dan aktif memberikan pengisian kuliah di merata tempat. Kuliah yang disampaikan oleh Syeikh al-Sya’rawi biasanya mencecah ribuan orang hadirin yang datang mendengar.

Oleh itu apabila kuliah tamat, ramai hadirin yang datang berebut untuk bersalaman dengan beliau. Pernah sekali apabila sudah tamat kuliah, dalam perjalanan pulang Syeikh al-Sya’rawi meminta pemandunya berhenti di sebuah masjid. Pemandunya pun memberhentikan kereta berkenaan dan menunggu Syeikh al-Sya’rawi di dalam kereta. Oleh kerana sudah terlalu lama dan risaukan keadaan Syeikh al-Sya`rawi, pemandunya itu pergi mencari beliau. Akhirnya pemandunya itu menemui Syeikh al-Sya`rawi sedang mencuci tandas di masjid berkenaan. Melihat kejadian itu, pemandunya itu berasa hairan lantas bertanyakan kepada Syeikh al-Sya’rawi.

Syeikh al-Sya’rawi menjawab, “Sebentar tadi ketika aku selesai menyampaikan kuliah, ramai bertemu denganku untuk bersalaman. Aku risau akan terlintas di dalam hatiku rasa riak lalu aku merendahkan diri.”

Justeru, dapat kita fahami, betapa hebatnya ulama dahulu dalam membersihkan hati mereka agar tidak berlebihan dari dipuji anak-anak muridnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.