#9 Yang Mana Dahulu Antara Ayam Dan Telur

-50%

11.11 Sales 2021

Sales 2.2

Rated 0 out of 5
RM20.00
-69%

Siri Kematian

eBook 10 Siri Kematian

Rated 0 out of 5
RM20.00

Soalan

Saya ada satu soalan berkenaan dengan ayam dan telur. Yang manakah yang wujud dahulu?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Soalan seperti ini sepintas lalu dilihat seperti kelakar dan ada juga menganggap sebagai teka teki. Dalam pencarian kami untuk menemui jawapan, kami dapati ramai para ulama’ membincangkan isu ini, bahkan pernah diaju kepada tokoh ahli fatwa dunia. Antara yang memberi jawapannya, al-Allamah Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan ramai lagi. Justeru, kami merasa terpanggil untuk menjelaskan hakikat ini.

Firman Allah SWT:

يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ

Maksudnya: Yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. [1]

Muhammad Abd al-Latif al-Khatib menyatakan di dalam tafsirnya: (Yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati), iaitu dikeluarkan ayam yang hidup daripada telur yang mati, dan  dikeluarkan manusia yang hidup daripada mani yang pada zahirnya mati. (Mengeluarkan yang mati dari yang hidup), iaitu dikeluarkan telur daripada ayam, dan dikeluarkan mani daripada manusia dan haiwan. Terdapat juga hadith yang menyatakan: Dikeluarkan orang mukmin daripada orang kafir, dan orang kafir daripada orang mukmin. Hal ini kerana Iman merupakan kehidupan yang hakikat, dan Allah telah mentasybihkan orang kafir dengan kematian pada ayat yang lain di dalam al-Quran.[2]

Al-Mawardi pula menyatakan terdapat empat tafsiran mengenai ayat ini:

  1. Dikeluarkan manusia yang hidup daripada air mani yang mati, dan dikeluarkan air mani yang daripada manusia yang hidup. Hal ini sebagaimana pendapat Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, Abu Sa’id al-Khudri, Mujahid, Qatadah dan Ibn Jubair.
  2. Dikeluarkan orang mukmin daripada kekafiran, dan dikeluarkan orang kafir daripada keimanan. Hal ini sebagaimana pendapat Umar al-Khattab RA dan al-Zuhri. Ia juga diriwayatkan daripada al-Aswad bin Abd Yaguth, daripada Nabi SAW.
  3. Dikeluarkan ayam daripada telur, dan dikeluarkan telur daripada ayam sebagaimana pendapat Ikrimah.
  4. Dikeluarkan pokok kurma daripada benihnya, dan benih daripada pokok kurma, Tangkai daripada bijinya, dan biji daripada tangkainya. Sebagaimana pandangan Ibn Malik dan al-Suddi. [3]

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi pula menyatakan: Sebahagian pendapat menyatakan, dikeluarkan telur daripada ayam, dan dikeluarkan ayam daripada telur. Pernyatakaan ini tidak konsisten bersama dengan logik akal. Adakah semua telur mengeluarkan ayam? Tidak semestinya, kerana telur yang mengeluarkan ayam hanyalah telur yang telah disenyawakan. Justeru, jangan katakan berkenaan telur dan ayam, tapi katakanlah dikeluarkan kehidupan daripada yang mati itu daripada sesuatu yang wujud. [4]

Syeikh Wahbah Al-Zuhaili menyatakan: Kebanyakan ahli tafsir menyatakan, dikeluarkan ayam daripada telur, manusia daripada air mani. Dikeluarkan burung daripada telur dan dikeluarkan telur daripada burung. Air mani pula daripada manusia. Sebahagian menyatakan orang mukmin dikeluarkan daripada orang kafir dan daripada orang kafir daripada orang mukmin. [5]

Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa ayam dahulu yang diciptakan. Hal ini kerana Allah berfirman bahawa Dia telah menciptakan makhluk hidup termasuk haiwan berpasang-pasangan. Justeru, yang diciptakan dahulu adalah ayam sebelum telur. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَمِن كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasang supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah.” [6]

Ibn Kathir menyatakan: Semua mahkluk itu berpasangan: langit dan bumi, malam dan siang, matahari dan bulan, laut dan darat, cahaya dan gelap, Iman dan Kafir, Hidup dan Mati, derita dan bahagia, syurga dan neraka, setiap haiwan berpasangan, jin dan manusia, lelaki dan perempuan, tumbuhan-tumbuhan (juga berpasangan). “Supaya kamu mengingati-Nya. Iaitu, supaya kamu mengetahui bahawa yang mencipta itu satu dan tidak ada sekutu bagi-Nya. [7]

Al-Qurtubi pula menyatakan: “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasang”: iaitu dijadikan dua jenis, dua bahagian yang berbeza antara keduanya.[8]

Keyakinan bahawa telur wujud sebelum ayam atau pertanyaan seumpama ini sebenarnya tidak bermanfaat sebagaimana yang dilakukan oleh ahli falsafah yang banyak merenung hakikat kehidupan dengan menggunakan logik akal sahaja.

Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin berkata: “Perselisihan yang panjang sebagaimana perselisihan mengenai “mana yang dahulu antara ayam atau telur”. Tidak ada manfaat untuk diperdebatkan mengenainya. Mereka mengatakan, sebagaimana ahli falsafah membahaskan mengenainya. [9]

Bahkan fakta sains juga menguatkan lagi pendapat bahawa ayam yang diciptakan secara berpasangan dahulu, barulah wujudnya telur. Hal ini sebagaimana fakta yang menyatakan:

Ayam pertama yang wujud adalah hasil mutasi genetik yang berlaku dalam zigot yang dihasilkan oleh dua ekor ayam (atau ayam proto). Ini bermakna dua ekor ayam proto dikahwinkan, menggabungkan DNA mereka bersama-sama untuk membentuk sel pertama ayam yang pertama. Di suatu tempat di sepanjang garis, mutasi genetik berlaku dalam sel pertama itu, dan mutasi tersebut menyalin diri mereka sendiri ke dalam setiap sel badan lain apabila embrio ayam membesar. [10]

Kesimpulan

Kesimpulannya, ayam lebih dahulu diciptakan daripada telur dan masalah ini disebut sebagai masalah fudhuliah, iaitu, tahu pun ia tidak bermanfaat, dan jahilnya ia tidak memudharatkan. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan hikmah dalam memahami rahsia kehidupan yang luar biasa ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Januari 2022 bersamaan 28 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Surah al-Rum: 19

[2] Lihat Audhah al-Tafsir, 1/493

[3] Lihat Tafsir al-Mawardi, 4/304-305

[4] Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 18/344-345

[5] Lihat Tafsir al-Munir, 21/61

[6] Surah al-Dzariyat: 49

[7] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/424

[8] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/53

[9] Lihat https://audio.islamweb.org/audio/index.php?page=FullContent&audioid=316842

[10] Lihat https://www.science.org.au/curious/earth-environment/which-came-first-chicken-or-egg

Leave a Reply

Your email address will not be published.