#927: Berbuka Puasa Kerana Kerja Berat

Siri Solat Sunat

Solat Tawaf

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Wuduk

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Nikah

Rated 0 out of 5
RM5.00
-73%

Siri Solat Sunat

9 eBook Siri Solat Sunat

Rated 0 out of 5
RM12.00RM62.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Taubat

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Tasbih

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5

Soalan

Apakah hukum seseorang yang berkerja berat seperti terlibat dalam pertanian, pembinaan bangunan atau seumpamanya untuk berbuka puasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]

Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[3]

Berbuka Puasa Kerana Pekerjaan Berat

Terdapat beberapa golongan yang Allah SWT berikan keringanan kepada mereka seperti golongan yang bermusafir dan sakit untuk berbuka puasa berdasarkan firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain”[4]

Ibnu Kathir menyatakan di dalam tafsir: “Orang yang sakit dan musafir kedua-duanya dibolehkan untuk tidak berpuasa semasa dalam keadaan sakit dan keadaan bermusafir kerana kesukaran bagi kedua-duanya, bahkan kedua-dua golongan ini dibolehkan untuk berbuka dan menggantikan puasanya itu pada hari yang lain.” [5]

Orang yang sakit dan bermusafir yang panjang perjalanan merupakan antara golongan yang diberi keringanan untuk berbuka dengan syarat perlu menggantikan puasa tersebut pada hari yang lain.

Kerja berat ataupun dikenali juga sebagai kerja kasar ialah kerja yang dilakukan menggunakan tangan, terutama kerja bukan mahir yang mana kerjanya dianggap berat dan mempunyai matlamat untuk untung selalunya dalam pengeluaran barangan, pembinaan bangunan dan sebagainya.[6]

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami[7] menukilkan pendapat Abu Bakar al-Ajurri: Orang yang bekerja berat ialah orang yang mempunyai pekerjaan yang berat. Jika dia bimbang berlaku kebinasaan dengan sebab puasa, maka di boleh berbuka dan melakukan qadha’ jika seandainya pekerjaan tersebut mendatangkan kemudharatan sekiranya ditinggalkan. Jika meninggalkan pekerjaan itu tidak membawa sebarang kemudharatan, dia berdosa kerana berbuka. Jumhur fuqaha menetapkan bahawa wajib ke atas pekerja yang melakukan kerja berat bersahur dan juga berniat puasa. Jika berlaku sebarang keuzuran atau lapar yang amat sangat dan dibimbangi berlaku kemudharatan, harus baginya berbuka puasa dan melakukan qadha’. Jika sekiranya kemudharatan pasti berlaku dengan sebab puasa, maka wajib ke atasnya berbuka, seiring dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

MaksudnyaDan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesame sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu.[8]

Syeikh Ahmad Zainuddin al-Ma’bari al-Hindi menyatakan di dalam Fath al-Mu’in: “Diharuskan berbuka puasa dengan sebab sakit yang memudaratkan dan dalam keadaan perjalanan yang mengharuskan solat qasar (musafir) dan bimbang akan kemudharatan dan dia wajib menggantikan (puasa).” Beliau juga menukilkan fatwa al-Azra’ie, katanya: Wajib bagi orang yang menuai atau yang seumpamanya berniat pada setiap malam, kemudian sesiapa di antaranya yang menghadapi kesusahan diharuskan berbuka, dan jika selain dari itu tidak diharuskan.” [9]

Justeru, wajib ke atas mereka yang melakukan pekerjaan berat seperti buruh kasar, petani dan seumpamanya berpuasa di bulan Ramadan. Meskipun terdapat rukhsah bagi golongan ini, akan tetapi keringanan tersebut terpakai setelah terdapat keuzuran semasa melakukan pekerjaan tersebut seperti lapar dan dahaga sehingga boleh mendatang risiko keselamatan terhadap dirinya. Oleh yang demikian, wajib bagi golongan bekerja ini berniat untuk  mengerjakan ibadat puasa fardhu di malam hari walaupun terdapat rukhsah dan sekiranya berhajat untuk berbuka disebabkan kesusahan serta kemudaratan, maka diharuskan bagi mereka untuk berbuka.

Sebahagian ulama’ juga telah memberikan fatwa akan diperbolehkannya berbuka untuk mereka yang berkerja berat. Syeikh Abdul Aziz dan juga Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Humaid menyatakan: “Pekerja berat termasuk dalam kalangan mereka yang wajib berpuasa dan tidak termasuk dalam kalangan orang sakit atau musafir. Maka dia wajib berniat pada waktu malam hari untuk melaksanakan puasa ramadhan dan berpagian dalam keadaan berpuasa. Maka sekiranya terdapat dan terjadi perkara yang mengharuskan untuk dia berbuka pada siang hari, maka dia diperbolehkan berbuka sesuai dengan keperluannya untuk menghilangkan kemudharatannya dan kemudian dia tetap menahan dirinya sehingga waktu berbuka. Kemudian dia harus menggantikan puasanya itu pada waktu yang sesuai baginya. Bagi mereka yang berkerja berat tetapi tidak ada kemudharatan dan kepayahan padanya, maka dia harus terus menjalankan puasanya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam dalil dan nas daripada al-Quran, Sunnah, pendapat ulama’ dan semua mazhab.[10]

Justeru, Syeikh Abd al-Rahman Ba’alawi menjelaskan tentang mereka yang bekerja berat sehingga tidak tertanggung diberikan rukhsah untuk berbuka puasa dengan beberapa syarat:

  • Kerja berat itu tidak boleh ditangguh selepas bulan Ramadan.
  • Kerja itu tidak dapat dilakukan pada malam hari.
  • Kepayahan puasa yang tidak mampu ditanggung menurut kebiasaan.
  • Wajib niat puasa pada tiap-tiap malam dan tidak boleh berbuka puasa melainkan setelah datang kepayahan.
  • Mestilah berniat rukhsah ketika berbuka puasa supaya membezakan antara puasa yang dibenarkan berbuka dan yang tidak dibenarkan.
  • Jangan disengajakan untuk melakukan kerja berat supaya datang kepayahan sebagai alasan berbuka puasa.[11]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyimpulkan bahawa harus sekiranya seseorang yang melakukan kerja berat untuk berbuka puasa sekiranya dengan dia meneruskan puasa itu akan memudharatkan dirinya, namun terdapat beberapa syarat:

  • Perkerjaan berat itu tidak boleh dilakukan pada malam hari dan juga pada waktu lain selain bulan Ramadhan
  • Berniat untuk berpuasa pada malam harinya.
  • Berbuka Puasa sekadar untuk menghilangkan kemudharatannya sahaja, dan seterusnya tetap menahan diri sehingga waktu berbuka.
  • Hendaklah dia menggantikan puasanya tersebut setelah berakhirnya Ramadhan.

Justeru, kami menasihati para majikan untuk meringankan tugas kerja berat kepada umat Islam yang berpuasa supaya puasa mereka dapat diteruskan sehingga waktu berbuka. Jika perlu juga kepada perkerjaan itu diselesaikan, ubahlah waktunya pada waktu malam ataupun pada waktu yang sesuai sehingga memungkin untuk mereka terus berpuasa pada siang harinya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 11 April 2022 bersamaan 9 Ramadhan 1443H

[1]  Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115

[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39

[4] Surah al Baqarah: 184

[5] Lihat Tafsir al Quran al-‘Azim, 1/497

[6] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Kerja_kasar

[7] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/702

[8] Surah al-Nisa’ : 29

[9] Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 269

[10] Lihat Majmu’ Fatawa Syeikh Abd al-Aziz, 14/245

[11] Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 184

Leave a Reply

Your email address will not be published.