Soalan

Adakah “Key Perfomance Index” KPI yang ditetapkan di dalam pekerjaan dikira tidak amanah sekiranya tidak dicapai ?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bermaksud satu sistem pengukuran yang mudah, berkesan dan membantu organisasi menjelaskan dan mengawal tahap kemajuan sesuatu proses perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan selaras dengan misi dan visi sesebuah organisasi. Prinsip-prinsip KPI ialah meletakkan sasaran, boleh diukur dengan angka, diukur dalam keadaan normal dan selaras dengan misi dan visi organisasi. KPI adalah ukuran spesifik dalam bidang tertentu prestasi organisasi.[1]

Berdasarkan persoalan di atas, kami bahagikan kepada dua keadaan:

  • Pertama: Pekerja telah berusaha dengan bersungguh-sungguh, namun tidak berjaya memenuhi KPI disebabkan KPI yang ditetapkan diluar kemampuannya. Dalam hal ini, pekerja tersebut tidak dikira berdosa. Allah SAW berfirman:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

(Surah al-Baqarah: 286)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672).

Demikian juga hadis Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

وَلاَ يُكَلَّفُ مِنَ الْعَمَلِ إِلاَّ مَا يُطِيقُ

Maksudnya:Dan Tidak dibebankan kepada seseorang itu dari perbuatan kecuali apa yang dia mampu

Riwayat Muslim (1662)

  • Kedua: Pekerja tersebut dikira berdosa sekiranya tidak mencapai KPI yang ditetapkan disebabkan oleh sikap sambil lewa, tidak bersungguh-sungguh dan malas. Hal ini kerana pekerja tersebut mengabaikan tugasannya dengan sengaja. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّـهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Anfal: 27)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Janganlah kamu mengkhinati amanah yang ada di antara kamu dengan para pemimpin. Amanah yang dimaksudkan juga melibatkan aspek muamalah dan kemasyarakatan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2593).

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

لاَ إِيمِانَ لِمَنْ لاَ أَمَانَةَ لَه وَلَا دينَ لِمَن لا عهدَ له

Maksudnya:Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak setia terhadap janjinya.”

Riwayat Ibn Hibban (194)

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami berpendapat bahawa “Petunjuk Prestasi Utama” (KPI) bukanlah satu amanah, namun ianya merupakan panduan bagi melaksanakan suatu tugasan yang telah diamanahkan. Oleh itu, sekiranya seorang pekerja dengan sengaja mengabaikan amanahnya dalam tugasan, maka dia dikira berdosa. Semoga dengan penjelasan yang diberikan ini memberi kita kefahaman yang lebih baik dalam menjalankan tugas-tugas kita sebagai pekerja.

Kami juga berpendapat agar kerjasama yang erat dapat dipupuk antara majikan atau ketua jabatan untuk sentiasa memantau dan memberi nasihat yang baik kepada pekerja di sambil membantu merungkai isu dna permasalahan yang menjadi penghalang kepada pekerja. Dengan itu, natijah mencapai KPI akan bertambah mudah dan berhasil dengan jayanya. Semoga usaha seperti ini menjadikan perkhidmatan awam dan swasta di Malaysia berada pada tahap yang terbaik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 12 November 2021 M bersamaan  7 Rabiul Akhir 1443 H

[1] Lihat: http://mdks.gov.my/sites/default/files/kpi_mdks_2016.pdf

Leave a Reply