Soalan:

Apakah hukum pertandingan menampar?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Pertandingan ini begitu popular mutaakhir ini, khususnya di negara Barat serta mendapat sambutan yang hangat. Ia banyak disiarkan melalui YouTube, Facebook dan media massa.

Pertandingan menampar atau lebih terkenal sebagai slap fighting competition ialah satu pertandingan baharu yang peraturannya amat mudah. Bagi peserta untuk memenangi pertandingan ini dia perlu tampar lawannya dengan cukup kuat sehingga mereka tidak mampu untuk menampar peserta itu kembali. Dan peserta tadi akan mara ke pusingan seterusnya sehingga akhirnya dinobatkan sebagai juara.

Pertandingan tampar ini ada yang mengatakan ia berasal dari Rusia, walaupun sukar untuk disahkan. Orang kuat atau mana-mana peserta bergilir-gilir menampar satu sama lain sehingga seorang tersingkir atau berhenti. Pertarungan tampar ini telah sampai ke Amerika dan diadakan pertandinagn liga “SlapFIGHT Championship”. Liga ini ditubuhkan pada tahun 2017, dan berpusat di Branson, Missouri.

Kejohanan Slap Fight ini melibatkan dua pesaing berdiri bersemuka dengan tong di antara mereka. Premisnya sama dengan pesaing bertepuk tampar sehingga berlaku KO atau forfeit (menarik diri). Ia adalah ujian sebenar minda, badan dan kehendak ketika kedua-dua lelaki dan wanita bersaing untuk hak bermegah untuk menjadi juara dunia tamparan.

Perbuatan dan pertandingan seperti ini banyak mencederakan seseorang dan boleh jadi membawa maut. Ini sama sekali menyakitkan peserta di samping mudaratnya jauh lebih bahaya dari kebanyakan pertandingan yang lain. Justeru, berdasarkan kaedah yang masyhur di mana maqasid syariat itu salah satunya hifz al-nafs (memelihara jiwa) maka dengan mencegah permainan tersebut sekurang-kurangnya boleh menyelamatkan jiwa dari kecederaan.

Islam memerintahkan kita agar menjarakkan diri dari sebarang tindakan yang membahayakan diri sendiri. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Surah Al-Baqarah (195)

Pertandingan ini jelas telah mencampakkan diri sendiri ke arah kebinasaan. Dalam Islam, kita sama sekali tidak membolehkan memberi mudarat kepada orang lain atau diri sendiri. Rasulullah SAW pernah bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh seseorang itu memberi kemudaratan atau membalas kemudaratan dengan kemudaratan.”

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibnu Majah (2340)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata, “Bahawa al-Mahasini berkata: Yang dimaksudkan yang merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudarat.” Inilah pendapat yang benar. [1]

Bahkan, dalam Islam tiada sebarang hukuman apabila dikenakan hukuman pukul atau sebat yang dikenakan pada muka atau wajah seseorang. Ini kerana muka dan wajah adalah lambang kemuliaan. Dengan sebab itu, Islam menjaga air muka seseorang. Benarlah sabda Nabi SAW:

إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu memukul maka jauhilah muka.”

Riwayat Ahmad (7323)

Imam Nawawi menyebut: Hadis ini menyebut secara jelas mengenai larangan memukul muka. Ini kerana ia sesuatu yang lembut yang menghimpunkan segala keelokan. Anggota-anggota pada muka itu sangat berharga dan lembut juga sering terdedah. Memukul muka boleh merosakkannya atau boleh mengurangkannya atau boleh mencacatkannya atau boleh menghodohkannya. Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas lagi zahir yang tidak mungkin untuk ditutupi. Apabila ia dipukul maka biasanya tidak selamat dari berlakunya kecacatan. [2]

Imam al-Son’ani pula menyebut: Hadis ini merupakan dalil haram memukul muka dan ia (muka) dielakkan, tidak dipukul, tidak ditampar sekalipun dalam hudud yang disyariatkan dan sekalipun dalam jihad). [3]

Sehingga Islam melarang untuk mecederakan bahagian muka sama ada ketika perang, pelaksanaan hudud, dan juga mendidik anak. Ini sebagai satu kemuliaan bagi muka.

Semoga Allah SWT karuniakan kepada kita kefahaman dalam beragama dan dapat melaksanakannya dengan sebaik-baiknya. Amin.

 

[1] (Lihat al-Kafi, hlm. 268)

 

[2] (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 8/437)

 

[3] (Lihat Subul al-Salam, 7/161)

Leave a Reply