Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum mengembalikan semula selaput dara yang hilang bagi penzina yang sudah bertaubat? Mohon pencerahan. Terima kasih. 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi selaput dara

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, selaput dara ialah selaput yang menutup sebahagian bukaan faraj gadis atau wanita (biasanya pecah apabila pertama kali mengadakan hubungan seks). Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil sebagai hymen dan didefinisikan sebagai sekeping tisu nipis yang terletak pada pembukaan faraj. Selaput dara perlu terbuka untuk membolehkan darah haid dan rembesan normal keluar dari faraj. Selaput dara datang dalam pelbagai bentuk.

Dalam erti kata lain, selaput dara atau hymen adalah tisu kulit yang sangat nipis yang melapisi pembukaan faraj. Ramai yang beranggapan selaput ini meregang hingga menutupi keseluruhan faraj. Sebenarnya, bentuk, tekstur, dan ketebalan selaput dara adalah berbeza bagi setiap wanita.

Selaput dara juga berfungsi untuk membolehkan darah haid dan cecair badan lain mengalir keluar melalui saluran faraj. Selain itu, fungsi selaput dara atau lapisan lendir yang mengelilingi atau menutupi sebahagian lubang faraj. Lapisan ini, seperti mukosa faraj, juga mempunyai saluran darah dan saraf. Oleh itu, apabila selaput dara terkoyak ia sering diikuti dengan pendarahan dan kesakitan.

Maka, jelaslah bahawa selaput dara tidak menutup keseluruhan penuh laluan faraj, tetapi lapisan selaput dara hanya menutup sebahagian saluran pembukaan vagina. Manakala sekiranya ia menutup secara penuh, seseorang individu itu mungkin mengalami penyakit yang dikenali sebagai Imperforated Hymen, yang akan menyekat pengeluaran haid serta lendiran vagina. Selain itu, sebenarnya bukan semua bayi perempuan dilahirkan dengan selaput dara. Jadi menggunakan lapisan ini sebagai penentu sama ada seseorang masih dara atau tidak sudah tentu tidak boleh diterima akal.

Di samping itu, pecah dara sebelum bernikah tidak semestinya bermaksud individu wanita tersebut pernah melakukan hubungan seks. Hal ini kerana selaput dara boleh terjejas sekiranya individu wanita tersebut melakukan aktiviti lasak seperti berlari, bersenam, melakukan sebarang aktiviti regangan, berbasikal ataupun memanjat sesuatu.

Prosedur Mengembalikan Selaput Dara

Umumnya, terdapat dua cara bagi mengembalikan selaput dara, iaitu:

  • Hymenoplasty

Hymenoplasty atau pembedahan pembentukan semula selaput dara adalah prosedur untuk menyambung semula selaput dara pada bibir vagina menggunakan jahitan. Jahitan yang digunakan boleh larut atau dissolvable, jadi ia tidak kelihatan dengan mata kasar dan tidak perlu dibuang selepas pembedahan.

Selaput dara yang tinggal akan diikat bersama untuk menutup kerosakan yang berlaku pada selaput dara yang terkoyak. Kemudian tisu selaput dara akan diangkat, supaya selaput dara akan tertutup semula di dalam faraj. Jadi selaput dara akan dilukai dahulu, kemudian dijahit kembali. Penyatuan semula lapisan mukosa selaput dara dilakukan oleh benang nipis yang diserap oleh badan. Kadang-kadang ia memerlukan penyingkiran tisu dari vagina bahagian luar untuk membuat lagi selaput dara tersebut.

Prosedur untuk memulihkan selaput dara yang koyak hanya menyambung semula selaput dara yang koyak, jadi ia tidak mengganggu fungsi organ tersebut. Walau bagaimanapun, sebagai satu bentuk prosedur invasif, prosedur hymenoplasty masih membawa risiko komplikasi seperti sakit, pendarahan, parut dan jangkitan. Pembedahan selaput dara koyak ini adalah pembedahan kecil, yang boleh dilakukan dengan bius di kawasan tersebut sahaja, dan hanya mengambil masa kira-kira 25-45 minit tanpa kemasukan ke hospital. Manakala tempoh pemulihan selepas pembedahan adalah sekitar 4-5 minggu.

  • Alloplant

Tindakan menutup selaput dara yang koyak ini dilakukan apabila lapisan selaput dara tidak dapat diperbaiki lagi, kerana kerosakan yang berlaku sangat teruk malah telah hilang sepenuhnya kerana itu diletakkan selaput dara tiruan. Pakar bedah kemudian akan memasukkan sejenis bahan biometri dan bahan yang boleh terkoyak ini akan berfungsi sebagai hymen (selaput dara).

Implan selaput dara ini juga merupakan prosedur mudah, dilakukan dengan hanya bius di kawasan tersebut sahaja. Oleh itu, untuk menentukan pembedahan mana yang perlu dilakukan, doktor akan memeriksa terlebih dahulu keadaan pesakit untuk menentukan kerosakan yang telah berlaku. Selepas pemeriksaan, ia diteruskan dengan pemeriksaan pembekuan darah dan keadaan fizikal selama dua minggu sebelum pembedahan.

Terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa perkara ini termasuk dalam isu-isu kontemporari yang baru muncul pada era ini dan ia adalah antara topik yang dibincangkan dalam simposium wawasan Islam mengenai beberapa amalan perubatan yang diadakan di Kuwait pada tahun 1407 Hijrah. Syeikh Izzuddin al-Khatib al-Tamimi ada membuat kajian mengenainya dan menyimpulkan bahawa ia adalah dilarang. Namun Dr. Muhammad Naim Yasin juga ada membuat kajian mengenainya dan menyimpulkan hukumnya berdasarkan kepada perincian tertentu. Justeru, secara ringkasnya para ulama berselisih pendapat mengenainya kepada dua pendapat.

Pendapat pertama menyatakan bahawa mengembalikan atau merawat selaput dara yang hilang adalah tidak dibenarkan sama sekali. Ini merupakan pendapat Syeikh Izzuddin al-Khatib al-Tamimi dan pendapat yang dipilih oleh Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti.

Di antara hujah-hujah yang dikemukakan bagi pendapat pertama ini ialah: 

  • Merawat dan memulihkan semula selaput dara boleh menyebabkan percampuran nasab. Hal ini kerana seorang wanita boleh hamil disebabkan oleh persetubuhan yang dilakukan dahulu, kemudian dia berkahwin selepas memulihkan selaput daranya, lalu menyebabkan kehamilan tersebut dinisbahkan kepada suaminya, sehingga mencampurkan yang halal dengan haram.
  • Memulihkan semula selaput dara melibatkan melihat perkara mungkar iaitu bahagian aurat yang paling berat (mughallazah).
  • Ia membuatkan gadis mudah melakukan dosa zina, kerana mereka tahu bahawa mereka boleh memperbaiki selaput dara selepas itu.
  • Apabila berhimpunnya antara maslahah dan mafsadah, jika mampu untuk mencapai maslahah dan pada masa yang sama menolak mafsadah, maka lakukanlah perkara tersebut. Namun, jika tidak mampu untuk menolak mafsadah dan mencapai maslahah (secara seiring), serta mafsadah tersebut adalah lebih besar daripada maslahah yang ingin dicapai, maka kita hendaklah menolak mafsadah (terlebih dahulu) sekalipun maslahah yang dicapai hilang sebagaimana yang diputuskan oleh fuqaha Islam. Justeru, dalam menetapkan kaedah ini, jika kita melihat kepada akibat buruk (mafsadah) yang terhasil daripada memulihkan selaput dara yang hilang, maka kita akan memutuskan bahawa prosedur memulihkan semula selaput dara ini adalah tidak dibenarkan kerana besarnya akibat buruk yang terhasil daripadanya.
  • Salah satu kaedah syarak menyebutkan bahawa “kemudaratkan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan,” dan di antara cabang kepada kaedah ini ialah “tidak boleh bagi seseorang untuk menghalang tanahnya daripada banjir dengan mengalihkan air banjir ke tanah orang lain.” Demikianlah juga, tidak boleh bagi gadis dan ibunya untuk menghilangkan kemudaratan daripada diri mereka dengan memulihkan selaput dara yang hilang, dan dengan itu menyebabkan kemudaratan kepada suami.
  • Tujuan merawat dan memulihkan selaput dara adalah tidak syar‘i kerana ia termasuk dalam penipuan, dan penipuan adalah dilarang oleh syarak.
  • Merawat dan memulihkan semula selaput dara membuka jalan bagi gadis-gadis dan keluarga mereka untuk berbohong tentang sebab sebenar mengapa selaput dara pecah, dan berbohong adalah dilarang oleh syarak.
  • Merawat dan memulihkan semula selaput dara membuka jalan kepada para doktor untuk melakukan pengguguran bagi tujuan menutup aib dan menyembunyikan dosa.

Pendapat kedua pula adalah berdasarkan kepada perincian berikut:

  1. Jika punca pecahnya selaput tersebut adalah disebabkan oleh kemalangan atau perbuatan yang tidak dianggap sebagai dosa dalam syariat, dan bukan kerana persetubuhan dalam akad nikah, maka hendaklah dilihat: 
    1. Jika besar kemungkinan (ghalabah al-Zan), gadis itu akan mengalami kesusahan dan kezaliman kerana adat dan tradisi masyarakatnya, maka merawat atau memulihkan semula selaput dara itu adalah wajib. 
    2. Namun, jika perkara tersebut tidak berlaku, merawat dan memulihkannya adalah disunatkan (digalakkan).
  2. Jika penyebab pecahnya selaput dara adalah kerana persetubuhan dalam akad nikah yang sah, seperti wanita yang diceraikan, atau disebabkan zina dan dia dikenali dalam kalangan orang ramai dengan perbuatan tersebut, maka haram untuk merawat dan memulihkan semula selaput dara.
  3. Jika punca pecahnya selaput dara adalah kerana zina yang tidak diketahui orang ramai, maka doktor boleh memilih, sama ada melakukan rawatan ataupun tidak, tetapi melakukan rawatan dan memulihkannya semula adalah lebih utama. Inilah pendapat yang dikemukan oleh Dr. Muhammad Naim Yasin.

Perkara yang menjadi titik perselisihan para ulama adalah pada keadaan pertama dan ketiga. Adapun pada keadaan kedua, mereka bersepakat berkenaan larangan untuk merawat dan memulihkannya semula.

Di antara hujah-hujah yang dikemukakan bagi pendapat kedua ini ialah: 

  • Nas-nas syarak menunjukkan bahawa disyariatkan untuk menutup aib dan menyembunyikan dosa serta menyesalinya. Justeru merawat dan memulihkan semula selaput dara membantu mencapai perkara tersebut dalam keadaan-keadaan yang mengharuskannya.
  • Jika seorang wanita yang suci dan tidak bersalah daripada sebarang tindakan maksiat dibenarkan untuk menjalani pembedahan ini supaya tidak meninggalkan ruang untuk syak wasangka, ini akan mengelakkan kezaliman baginya dan akan mencapai matlamat yang ditetapkan oleh syariat iaitu bersangka baik terhadap lelaki yang beriman dan wanita yang beriman.
  • Merawat dan memulihkan selaput dara membantu mencapai kesaksamaan antara lelaki dan wanita. Sebagaimana lelaki, walau apa pun perbuatan keji yang dia lakukan, tidak mendatangkan kesan pada tubuhnya dan tidak menimbulkan keraguan tentangnya. Maka demikianlah juga sewajarnya bagi wanita tersebut dan mencapai keadilan di antara mereka adalah matlamat syarak, melainkan dalam kes-kes atau keadaan-keadaan yang dikecualikan berdasarkan dalil syar‘i, dan keadaan ini tidak termasuk daripadanya.
  • Merawat dan memulihkan selaput dara perlu bagi menolak kemudaratan terhadap pihak keluarga wanita. Jika wanita itu dibiarkan tanpa dirawat atau dipulihkan selaput daranya, lalu suaminya menyedari akan hal itu maka ia akan memudaratkan wanita tersebut dan juga ahli keluarganya. Kemudian, jika perkara itu tersebar dalam kalangan manusia, berkemungkinan keluarga pihak lelaki akan menghalang perkahwinan tersebut. Jadi, ia dibenarkan bagi menolak kemudaratan tersebut kerana mereka tidak bersalah. 
  • Tindakan doktor Muslim yang melakukan prosedur ini bagi menutup bukti yang menunjukkan kepada perbuatan keji ada mempunyai kesan pendidikan umum dalam masyarakat, terutamanya berkaitan dengan jiwa gadis itu.
  • Mafsadah penipuan dalam merawat dan memulihkan semula selaput dara tidak wujud dalam kes-kes atau keadaan-keadaan yang diharuskan untuk melakukannya. (Lihat Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah, hlm. 428-432).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak dapat dinafikan bahawa masalah ini menjadi perbincangan utama dalam kalangan ulama. Pendapat Dr. Solah al-Sawi menyatakan, yang zahir bagi kami, jika kami dapati penzina itu telah bertaubat dengan taubat yang sebenar sebagai taubat nasuha dan dia tidak dikenali melakukan zina secara terbuka dan dengan cara mengembalikan selaput daranya itu menjadikannya kekal bertaubat serta kembali ke dalam masyarakat sebagai wanita yang bermaruah dan suci, maka tidak mengapa demikian itu. (Lihat Mausu‘ah Fatawa al-Mughtaribin, 5/390).

Lebih-lebih lagi perkara ini dilihat bertepatan dengan kaedah:

الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara itu dinilai berdasarkan niat.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply