Soalan
Sebahagian imam-imam tarawih di masjid meniru bacaan imam-imam terkemuka di dunia ini dengan tujuan untuk memperelokkan bacaan al-Quran. Adakah amalan ini dibolehkan dalam syara’?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Memperelokkan bacaan al-Quran merupakan satu tuntutan syara’ yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana riwayat daripada al-Barra’ bin ‘Azib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ، فَإِنَّ الصَّوْتَ الْحَسَنَ يَزِيدُ الْقُرْآنَ حُسْنًا
Maksudnya: “Hiasilah al-Quran dengan suaramu, sesungguhnya suara yang indah itu dapat menambah keindahaan al-Quran.”
Riwayat al-Bukhari secara mu’allaq sebelum hadith (7544), Abu Dawud (1468), al-Nasaie (1015), Ibn Majah (1342), dan Ahmad (18517). Al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (4561) menyatakan hadith ini sahih.
Baginda SAW juga pada suatu malam pernah mendengar bacaan al-Quran Abu Musa al-Asya’ariy dan Baginda kagum dan takjub dengan bacaan dan baginda bersabda kepadanya:
لَوْ رَأَيْتَنِي وَأَنَا أَسْتَمِعُ لِقِرَاءَتِكَ الْبَارِحَةَ، لَقَدْ أُوتِيتَ مِزْمَارًا مِنْ مَزَامِيرِ آلِ دَاوُدَ
Maksudnya: “Seandainya saja semalam kamu melihatku sedang sungguh-sungguh mendengarkan bacaanmu. Sesungguhnya engkau telah diberi seruling daripada seruling-seruling Nabi Dawud.”
Riwayat Muslim (793)
Imam al-Nawawi menyatakan dalam syarahnya bahawa para ‘ulama berkata: seruling yang dimaksudkan di sini ialah suara yang baik, dan asal perkataan الزَّمْرِ (seruling) ialah lagu dan آلُ دَاوُدَ di sini ialah Nabi Dawud A.S itu sendiri dan آلُ فُلَانٍ boleh dimutlakkan kepada dirinya sendiri. Nabi Dawud A.S ialah seorang yang suaranya sangat baik. Al-Qadhi berkata bahawa para ulama’ bersepakat bahawa galakan supaya memperelokkan suara bacaan al-Quran dan membacanya dengan tartil. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/80)
Justeru, dalam hal ini, sekiranya seorang imam itu meniru bacaan seseorang yang baik bacaannya dengan tujuan untuk memperelokkan bacaan al-Qurannya, maka hal ini merupakan perkara yang harus dalam syara’ untuk dirinya dan juga untuk orang lain. Ia kerana bacaannya yang bagus itu akan menyebabkan kesungguhan kepada orang-orang yang solat di belakangnya dan menyebabkan khusyuknya hati mereka mendengar al-Quran yang dibaca dengan baik dan merdu. Kelebihan yang Allah SWT berikan ini boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.
Namun begitu, kami menasihati bagi para imam yang memerdukan al-Quran dengan suara mereka supaya menjaga hukum-hakam tajwid dan juga makhraj kerana ia merupakan perkara yang paling penting dalam bacaan al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:
وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا
Maksudnya: “Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”
(Surah al-Muzammil: 4)
Al-Syeikh al-Tantawi di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan ‘وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا’ itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Wasit, 15/155)
Berdasarkan hadith ‘يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءَةً’ (Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran), maka difahami bahawa ‘أقرأ’ adalah bermaksud bacaan yang terbaik. Justeru, marilah kita mempelajari al-Quran sama ada bacaan atau kandungannya untuk diamalkan.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H