Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya pernah dengar ada seorang ustaz sebut tentang hauqalah. Tetapi saya lupa apakah yang dimaksudkan dengannya. Boleh ustaz jelaskan maksud dan lafaz hauqalah

Jawapan: 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, hauqalah adalah kalimah لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’. 

Berkenaan maksud لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’, ia dapat difahami melalui riwayat Abdullah bin Mas’ud di mana beliau berkata:

كُنْتُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَدْرِي مَا تَفْسِيرُهَا؟» ، قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: «لَا حَوْلَ عَنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِلَّا بِعِصْمَةِ اللَّهِ، وَلَا قُوَّةَ عَلَى طَاعَةِ اللَّهِ إِلَّا بِعَوْنِ اللَّه

Maksudnya: “Ketika aku bersama Nabi SAW, aku menyebut zikir dengan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’. Lantas Rasulullah SAW bertanyaku: Adakah kamu tahu apakah tafsirannya? Jawabku : Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Sabdanya: ‘لَا حَوْل’ (tiada daya) untuk (menghindari) maksiat kepada Allah SWT kecuali dengan pemeliharaan Allah SWT. Dan ‘وَلَا قُوَّة’ (tiada kekuatan) untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT kecuali dengan pertolongan Allah SWT.

Riwayat al-Bazzar dalam Musnadnya (2004). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (10/102) menyatakan hadith ini diriwayatkan dengan dua sanad, salah satu sanadnya terputus dan terdapat Abdullah bin Kharasy yang pada kebiasaannya dinilai sebagai dhaif, manakala satu lagi sanadnya bersambung dan dinilai sebagai hasan

Al-San’ani dalam Subul al-Salam menyatakan maksud kalimah ini sehingga mendapat pahala dan anugerah yang besar di sisi Allah SWT kerana kalimah ini melambangkan penyerahan, berserah kepada Allah SWT, mengiktiraf dengan tunduk dan patuh kepada-Nya. Begitu juga bahawa tiada di sana pembuat dan pencipta selain dari-Nya. Tiada yang boleh menolak dan membangkang segala kehendak dan perintah-Nya. Hamba sekali-kali tidak memiliki sesuatu dari sebarang urusan dan perkara. Kekuasaan, pergerakan dan helah tiada mungkin berlaku kecuali dengan kehendak Allah SWT. (Lihat Subul al-Salam, 2/706)

Justeru tafsiran secara marfu’ seperti di atas iaitu dengan maksud tiada daya dan upaya daripada menghindari maksiat kecuali dengan pemeliharaan Allah SWT. Begitu juga tiada kekuatan dalam mentaati Allah kecuali dengan izin Allah SWT. Inilah yang dikhabarkan Jibril AS kepada Nabi SAW daripada Allah SWT.

Hal yang sama juga dijelaskan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani, di mana beliau menyebut bahawa maksudnya, tidak ada yang menghalang daripada maksiat pada Allah melainkan dengan pertolongan Allah. Tidak ada juga kekuatan untuk melakukan ketaatan kepada Allah selain dengan pertolongan Allah. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 33)

Dr. Muhammad Luqman al-Silafi berkata, maksud لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ iaitu bahawa bagi hamba mempunyai kehendak, kudrat dan perbuatan pada hakikat dilakukannya mengikut kehendaknya. Tetapi kehendak dan nawaitunya itu tidak keluar dari daerah kehendak Allah SWT dan iradah-Nya. Maka Allah SWT meminta supaya kita ,melakukan amalan soleh sedangkan hamba menghendaki dan melakukannya di samping memohon daripada Allah pertolongan dengan kalimah لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ dan tiadalah boleh digantung dan disandarkan atas kekuatan sendiri dan kudratnya semata-mata.

Fadhilat dan Kelebihan  Hauqalah (لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه)

Terdapat banyak fadhilat zikir dengan ‘لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه’. Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid telah menyenaraikan beberapa fadhilat fadhilat tersebut. Antaranya:

Pertama: Daripada Mu’az bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏‏ أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ ‏؟‏‏ قُلْتُ: بَلَى‏.‏ قَالَ :‏ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ ‏

Maksudnya: “Adakah kamu mahu aku tunjukkan kepadamu pintu dari pintu-pintu syurga?” Beliau bertanya: “Apakah itu?” Sabda Rasulullah SAW: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’.

Riwayat al-Tirmizi (3581), Ahmad (21996), dan al-Nasa’i dalam Sunan al-Kubra (10189). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam kitabnya Takhrij al-Musnad (1438) menyatakan hadith ini Hasan li ghairih.

Kedua: Daripada Abu Musa R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ، أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى كَنْزٍ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ ؟ فَقُلْتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ : قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ .

Maksudnya: “Wahai Abdullah bin Qais, mahukah engkau aku beritahu tentang salah satu tabungan/simpanan dari simpanan-simpanan syurgawi?” Aku menjawab: ‘Tentu, wahai Rasulullah’. Baginda bersabda: ‘Ucapkanlah: ‘لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ’.

Riwayat al-Bukhari (4205) dan Muslim (7037)

Syeikh al-Islam Taqiy al-Din Abu al-Abbas berkata: Nabi SAW menyebut, ‘salah satu tabungan/simpanan daripada simpanan syurgawi.’ Lafaz al-kanz (الكَنْزُ) maksudnya adalah harta yang terkumpul dan tidak memerlukan lafaz jama’ (كنوز). Hal tersebut adalah kerana hauqalah mengandungi makna tawakkal dan iftiqar (memerlukan dan berhajat) kepada Allah SWT. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 13/321)

Ketiga: Daripada Abu Zar R.A, katanya:

أَوْصَانِي خَلِيلِي بِسَبْعٍ: بِحُبِّ الْمَسَاكِيْنِ وَأَنْ أَدْنُوَ مِنْهُمْ، وَأَنْ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلُ مِنِّي وَلاَ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ فَوقِيْ، وَأَنْ أَصِلَ رَحِمِيْ وَإِنْ جَفَانِيْ، وَأَنْ أُكْثِرَ مِنْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ، وَأَنْ أَتَكَلَّمَ بِمُرِّ الْحَقِّ، وَلاَ تَأْخُذْنِيْ فِي اللهِ لَوْمَةُ لاَئِمٍ، وَأَنْ لاَ أَسْأَلَ النَّاسَ شَيْئًا.

Maksudnya: “Kekasihku (Rasulullah) SAW berwasiat kepadaku dengan tujuh perkara: (1) supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka, (2) Baginda memerintahkan aku agar aku melihat kepada orang yang berada di bawahku dan tidak melihat kepada orang yang berada di atasku, (3) Baginda memerintahkan agar aku menyambung silaturrahim meskipun mereka berlaku kasar kepadaku, (4) aku dianjurkan agar memperbanyak ucapan ‘لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ’ (tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah), (5) aku diperintah untuk mengatakan kebenaran meskipun pahit, (6) Baginda berwasiat agar aku tidak takut celaan orang yang mencela dalam berdakwah kepada Allah, dan (7) Baginda melarang aku supaya tidak meminta-minta sesuatu pun kepada manusia.”

Riwayat Ahmad (21415) dan Ibn Hibban (449). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (449)

Keempat: Daripada Abu Ayyub al-Ansari, bahawa Rasulullah SAW pada malam di Isra’kan telah melintasi Ibrahim AS dan Ibrahim AS berkata kepada Baginda SAW:

مُرْ أُمَّتَكَ فَلْيُكْثِرُوا مِنْ غِرَاسِ الْجَنَّةِ، فَإِنَّ تُرْبَتَهَا طَيِّبَةٌ، وَأَرْضَهَا وَاسِعَةٌ قَالَ: وَمَا غِرَاسُ الْجَنَّةِ؟ قَالَ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ. 

Maksudnya: Perintahkanlah umatmu dan perbanyakkan dari tanaman syurga kerana tanahnya baik dan tempatnya luas. Tanya Baginda SAW : “Apakah tanaman syurga?” Jawabnya: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’.

Riwayat Ahmad (23552) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (648). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (10/100) menyatakan Rijal hadith ini semuanya sahih kecuali Abdulllah bin Abd al-Rahman bin Abdullah bin Umar bin al-Khattab, dia adalah thiqah yang tidak dibincangkan oleh sesiapapun dan Ibn Hibban menthiqahkannya.

Kelima: Daripada Abdullah bin Amr, katanya : Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَلَى الأَرْضِ أَحَدٌ يَقُولُ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، إِلَّا كُفِّرَتْ عَنْهُ خَطَايَاهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

Maksudnya: Tidak ada sesiapa pun di Bumi ini apabila dia berkata, Tiada Tuhan selain Allah dan Allah maha besar dan “‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’” kecuali diampunkan kesalahan-kesalahannya walaupun ianya seluas lautan.

Riwayat al-Tirmizi (6460), al-Nasa’i dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (124) dan Ahmad (6479). Pengarang kitab Sahih al-Jami’ (6536) menilai hadith ini sebagai hasan.

Keenam: Daripada Ibn Umar katanya, Rasulullah SAW bersabda:

أَكْثِرُوا مِنْ غَرْسِ الْجَنَّةِ فَإِنَّهُ عَذْبٌ مَاؤُهَا طَيِّبٌ تُرَابُهَا، فَأَكْثِرُوا مِنْ غِرَاسِهَا، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Maksudnya:Perbanyakkanlah daripada tanaman syurga kerana airnya tawar dan tanahnya baik serta subur. Maka perbanyakkanlah daripada tanamannya dengan menyebut: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (12/364). Imam al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (1407) menilai hadith ini sebagai hasan.

Ketujuh: Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، كَانَ دَوَاءً مِنْ تِسْعَةٍ وَتِسْعِينَ دَاءً، أَيْسَرُهَا؛ الْهَمُّ

Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’, maka ia adalah penawar daripada 99 penyakit, dan yang paling ringan adalah perasaan bimbang dan keluh kesah.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1990), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5028) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (178). Al-Hakim menyatakan hadith ini sahih. Manakala pengarang kitab Dha’if al-Jami’ (6286) menilai hadith ini sebagai dha’if.

Syeikh Ubaidullah al-Rahmani al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam al-Syaukani berkata: Zahirnya, sesungguhnya zikir ini adalah penawar dengan bilangan yang disebutkan, dan boleh jadi ia adalah lebih daripada itu. Maka maksudnya, ia adalah penawar kepada seluruh penyakit di mana seringan-ringannya ialah al-Hamm (yakni keluh kesah). Penyakit tersebut merangkumi penyakit-penyakit batin seperti takabbur, ‘ujub, syirik tersembunyi, dan hawa nafsu, ataupun yang lebih umum daripada itu. Dan inilah yang jelas.

Manakala al-Qari berkata, iaitu daripada penyakit-penyakit duniawi dan ukhrawi. Maksud yang paling ringan adalah yang paling sedikit dan paling mudah. Al-Hamm (keluh kesah) di sini merangkumi jenis yang berhubung dengan agama atau dunia, atau keresahan kehidupan dan dukacita hari akhirat.

Al-Munawi pula berkata: Demikian itu kerana seorang hamba, apabila terlepas daripada asbab, maka hatinya akan gembira dan bahagia, dukacitanya akan terlerai, serta akan datang kepadanya kekuatan, pertolongan dan dokongan. (Lihat Mir’at al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 17/261)

Begitu juga, al-San’ani ada menjelaskan bahawa penawar daripada 99 penyakit dan seringan-ringannya ialah al-Hamm. Akan tetapi, penawar ini tidak akan memberi manfaat kecuali bagi sesiapa yang beriktikad  dengannya, serta melakukan dengan hati yang hadir, yang kuat dan membenarkan. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 11/146)

Kelapan: Daripada Ali bin Abu Talib RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِ بِنِعْمَةٍ فَلْيَحْمَدِ اللهَ وَمَنِ اسْتَبْطَأَ الرِّزْقَ فَلْيَسْتَغْفِرِ اللهَ وَمَنْ حَزَبَهُ أَمْرٌ فَلْيَقُلْ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Maksudnya:Siapa yang dikurniakan kepadanya nikmat, maka hendaklah ia memuji Allah SWT, dan siapa yang rezekinya payah maka hendaklah beristighfar kepada Allah SWT, dan siapa yang dilanda kerunsingan maka hendaklah ucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (642). Hadith ini dinilai dhaif sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab al-Silsilah al-Dha’ifah (4565)

Kesembilan: Daripada Anas bin Malik RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَى عَبْدٍ نِعْمَةً فِي أَهْلٍ أَوْ مَالٍ، أَوْ وَلَدٍ، فَقَالَ: مَا شَاءَ اللَّهُ، لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، فَيَرَى فِيهِ آفَةً، دُونَ الْمَوْتِ

Maksudnya: “Tiada suatu nikmat pun yang diberikan oleh Allah kepada seseorang hamba dalam keluarga, harta dan anak, maka dia berkata ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’. maka tiada suatu malapetaka pun yang akan menimpanya selain dari kematian.”

Kemudian Rasulullah SAW membaca firman Allah SWT:

وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ ۚ إِن تَرَنِ أَنَا أَقَلَّ مِنكَ مَالًا وَوَلَدًا ‎

Maksudnya : “Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah apa yang dikehendaki Allah)! (Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)?” (Surah al-Kahfi: 39)

Riwayat Ibn Abi Dunya dalam al-Syukr (1), al-Tabarani dalam al-Awsat (5995). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (10/143) menyatakan pada sanad ini terdapat Abd al-Malik bin Zirarah dan dia perawi yang dha’if.

Berdasarkan hadith-hadith di atas, meskipun sebahagiannya daif, tetapi dalam bab Fadhail A’mal, kebanyakan ulama’ mengharuskan untuk beramal seperti pendapat Abu Daud dan Imam Ahmad. Begitu juga mengikut pendapat yang muktamad daripada imam-imam yang muhaqqiqin. Antaranya: al-Maimuni daripada Imam Ahmad, al-Baihaqi, daripada Ibn Mahdi, Ibn Mubarak, Ibn Abd al-Bar dan Imam al-Nawawi.

Hadith-hadith di atas menunjukkan betapa besarnya fadhilat dan kelebihan bagi sesiapa yang memahami, menghayati, tadabbur dan meyakini berkenaan dengan zikir لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ’. 

Secara ringkasnya, dapatlah dinyatakan kelebihan kalimah zikir ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ’ ini ialah:

  • Sebagai pintu syurga iaitu dengan mengamalkannya akan membawa kepada masuk syurga.
  • Sebagai khazanah daripada khazanah syurga iaitu besarnya nikmat dan nilai kalimah dan zikir ini di sisi Allah SWT.
  • Kalimah zikir ini merupakan sebagai tanaman syurga yang sudah tentu memberi penambahan nikmat yang sudah ada dengan sebab melazimi zikir ini.
  • Kalimah ini boleh meringankan dan menyembuh pelbagai jenis penyakit seperti dalam riwayat yang menyebut penawar 99 jenis penyakit dengan izin Allah SWT dan yang paling ringan ialah dukacita.
  • Betapa Rasulullah SAW mengajar para sahabatnya sebagai bukti betapa kalimah ini mempunyai nilai yang agung di sisi Allah SWT.

Semoga kita semua sentiasa menjadi ahli zikir dengan sebanyak-banyaknya yang seterusnya melayakkan kita menghuni syurga Firdaus pada hari akhirat kelak. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply