#1714: Perkara yang boleh Dilakukan Selepas Tawaf Wada’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Tawaf Wada’ wajib dan apakah perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tawaf wada’ merupakan pekerjaan terakhir yang wajib dilakukan sebelum meninggalkan Makkah setelah selesai segala urusan-urusan haji dan umrah bagi pendapat muktamad mazhab Syafi’i.

Ia merupakan amalan terakhir bagi jemaah yang telah melaksanakan ibadah haji sebelum meninggalkan Makkah. Tawaf wada‘ ini juga adalah sebagai penghormatan terakhir pada Masjidil Haram. Walau bagaimanapun, tawaf wada‘ termasuk dalam syarat wajib haji dan bukanlah terdiri daripada perkara rukun haji. Oleh yang demikian, sekiranya ia tidak dilakukan, maka ia tidak merosakkan haji seseorang jemaah itu, akan tetapi ia hendaklah ditampung dengan melakukan sembelihan dam sepertimana perkara wajib haji yang lain. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa AdilIatuhu, 3/157)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan nas daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: “Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: hadith ini mengandungi dalil tentang kewajipan Tawaf Wada’ kerana ada perintah yang dikuatkan dan kerana ungkapan adanya keringanan bagi wanita haid. (Lihat Fath al-Bari, 3/747)

Hadith di atas menunjukkan Tawaf Wada‘ hukumnya wajib dan ia dikecualikan bagi wanita yang sedang mengalami haid. Perintah wajib ini disebabkan ‘arahan perintah’ (فعل الأمر) dalam hadith ini bersifat ‘mutlak’, tiada qarinah menunjukkan ia hanya menunjukkan sunat atau harus. Kaedah menjelaskan (الأمر المطلق) menunjukkan wajib (الأمر المطلق يفيد الوجوب). (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 3/3 dan Syarh Zad al-Mustaqni‘, 13/127)

Dalam hadith yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Makkah). Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya (di Makkah) al-Bait (Tawaf al-Wada`).”

Riwayat Muslim (3283), Ibn Majah (3070)

Imam al-Nawawi berkata, “hadith ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka harus membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 9/79)

Imam al-Nawawi juga berkata: “Ashab kami mengatakan, “Sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Makkah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada’. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Makkah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada’.” (Lihat al-Majmu‘, 8/254)

Imam al-Zarkasyi berkata: Larangan ke atas sesuatu perkara menunjukkan perintah melakukan lawannya (ضده). Berdasarkan kaedah ini lawan kepada larangan meninggalkan Makkah sebelum tawaf wada` ialah melakukan tawaf wada` sebelum meninggalkan Makkah. Oleh itu melakukan tawaf wada` sebelum meninggalkan Makkah adalah wajib. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 2/421)

Imam al-Syaukani ketika menerangkan maksud hadith di atas berkata: “Perkataan Baginda: “Jangan seseorang daripada kamu terus bergerak pulang..” sehingga ke akhirnya, ia merupakan bukti wajibnya Tawaf al-Wada‘. (Lihat Nail al-Awtar, 5/106)

Menurut Syeikh Ibrahim al-Bajuri yang menukilkan kata-kata Imam Ibnu Qasim dan Abu Syuja’ dalam syarahnya berkata: “Bagi pendapat yang lemah menyatakan sunat melakukan Tawaf Wada’ sekiranya ingin keluar bermusafir daripada Makkah, sama ada perjalanan musafirnya jauh mahupun dekat.  Manakala pendapat yang azhar (kuat) ialah wajib melakukan Tawaf Wada’, dan ia  adalah merupakan pendapat yang muktamad.”  (Lihat Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, 1/323)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa sesiapa yang ingin keluar meninggalkan Makkah untuk pulang ke tanah air masing-masing atau ke tempat yang lain, wajib ke atasnya melakukan tawaf wada‘ (sebelum bergerak keluar). Tawaf wada‘ bukanlah sebahagian daripada manasik haji, mahupun umrah, tetapi ia merupakan ibadah yang tersendiri. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/402.)

Terdapat pendapat daripada al-Baghawi bahawa tawaf wada‘ wajib buat mereka yang ingin keluar meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskan qasar solat. Adapun jarak yang kurang daripada itu, tidak wajib melakukan tawaf wada‘. Namun menurut al-Nawawi, pendapat yang sahih dan masyhur ialah sesiapa yang mahu meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskan qasar solat (2 marhalah) atau kurang daripada itu, sama ada dekat, mahupun jauh, wajib melakukan tawaf wada‘. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/256)

Walaupun begitu, Imam al-Nawawi juga telah menyebut: “Para ulama’ al-Syafi’iyyah berbeza pendapat tentang Tawaf Wada’ apakah termasuk ibadah yang khusus bagi ibadah haji atau merupakan ibadah yang tetap dianjurkan di luar ibadah haji. Dalam hal ini, menurut Imam al-Haramain, bahawa Tawaf Wada’ adalah merupakan ibadah yang khusus bagi ibadah haji, yang membawa maksud, bagi para jemaah haji yang sudah meninggalkan Makkah tidak dianjurkan lagi atau tidak berhak lagi melakukan Tawaf Wada’. Dan menurut al-Baghawi, Abu Said al-Mutawalli dan selainnya berkata, bahawa Tawaf Wada’ itu merupakan ibadah yang tidak khusus bagi ibadah haji. Tetapi tetap diperintahkan bagi seseorang yang hendak meninggalkan kota Makkah yang mendapati jarak yang dibolehkannya melakukan qasar solat, sama ada bagi penduduk Makkah atau selainnya.”  (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah, hlm. 409)

 

Perkara yang Boleh Dilakukan Selepas Tawaf Wada’

Berkenaan perkara-perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada’, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi’ul Awwal 1440 Hijrah telah memutuskan berkenaan dengan Perkara-perkara Yang Diharuskan Selepas Tawaf Wada‘, iaitu:

Pertama: Sejurus Selepas Tawaf Wada‘

  • Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya di Masjidil Haram.
  • Berdoa di Multazam.
  • Mengucup Al-Hajar al-Aswad.
  • Menunaikan solat sunat safar.
  • Menunaikan solat fardhu sekiranya bilal telah melaungkan azan atau bilal sedang melaungkan azan.
  • Begitu juga apabila sudah sampai di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram untuk beliau solat fardhu bersama imam di Masjidil Haram.
  • Bergambar atau mengambil gambar dalam kadar yang cepat. Walaupun begitu, tidak digalakkan.

 Kedua: Selepas Tawaf (di Penginapan atau Hotel)

  • Makan dan minum di hotel.
  • Qadha hajat.
  • Menyalin dan menukar pakaian.
  • Zikir dan membaca al-Quran sementara menunggu.
  • Mengambil beg atau barang yang diletakkan / ditinggalkan di bilik penginapan.
  • Mencari isteri, saudara, waris dan rakan yang hilang.
  • Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
  • Tidur dalam bilik hotel sementara menunggu bas atau kenderaan datang.
  • Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik (bagi kes kecemasan dan hajat).
  • Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan dan minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
  • Menunggu kenderaan (lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya).
  • Bersedekah ketika menunggu kedatangan kenderaan di penginapan.
  • Membayar dam. Walaupun begitu, digalakkan untuk membayar sebelum Tawaf Wada‘.

Semoga pencerahan ini dapat merungkai pelbagai isu berkaitan Tawaf Wada‘, apa yang boleh dan apa yang tidak dibolehkan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah, semoga Allah jadikan amalan haji ini diterima oleh Allah SWT:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *