#1759: Nama Yang Baik Untuk Anak Perempuan

Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya nak bertanya nama-nama  yang baik untuk anak perempuan saya. Saya dan isteri ingin memberi nama anak saya dengan nama NUR HAFIYAH BINTI MUHAMMAD HAFIY. Boleh saya nak minta tolong Datuk beri maksud NUR HAFIYAH dan ejaan dalam bahasa  arab ?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Menurut Imam al-Nawawi, mazhab Syafi’e dan jumhur ulama mengharuskan memberi nama anak dengan nama-nama para anbiya’ dan malaikat, dan tiada larangan yang tsabit daripada Nabi SAW berkenaan perkara ini. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 8/417) Imam al-Buhuti daripada mazhab Hanbali juga sependapat dengan mazhab Syafi’e yang menafikan kemakruhan menamakan anak dengan nama malaikat. (Lihat Kasyaf al-Qina’ 3/27)

Namun terdapat juga para ulama yang memakruhkannya, antaranya ialah Imam Malik yang memakruhkan penggunaan nama Jibril. Imam Ibn al-Qayyim pula memakruhkan penggunaan semua nama malaikat, dengan berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Jarrad R.A:

صحبني رجل من مزينة فَأتى النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم وَأَنا مَعَه فَقَالَ يَا رَسُول الله ولد لي مَوْلُود فَمَا خير الْأَسْمَاء قَالَ إِن خير الْأَسْمَاء لكم الْحَارِث وَهَمَّام وَنعم الِاسْم عبد الله وَعبد الرَّحْمَن وتسموا بأسماء الْأَنْبِيَاء وَلَا تسموا بأسماء الْمَلَائِكَة قَالَ وباسمك قَالَ وباسمي وَلَا …تكنوا بكنيتي

Maksudnya: Seorang lelaki dari Mazinah bersamaku, dan Nabi SAW datang sedang aku bersama rakanku itu, lalu dia bertanya kepada Rasulullah SAW “apakah sebaik-baik nama?” Nabi SAW menjawab “sebaik-baik nama bagi kalian ialah al-Harith dan Hammam, dan dan seelok-elok nama ialah Abdullah dan Abdurrahman. Namakanlah anak-anak dengan nama para anbiyaa’, dan jangan namakan mereka dengan nama para malaikat. Kawanku bertanya lagi “bolehkah kami menggunakan nama kamu (wahai Rasulullah)? Nabi SAW menjawab “ya, kalian boleh menggunakan namaku, namun jangan kamu menggunakan kuniyah aku.”

Riwayat Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (5/35) dan Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (8268). Menurut Imam al-Bukhari dan Imam al-Baihaqi, terdapat sedikit perbincangan pada isnadnya. Syeikh al-Albani mengkategorikannya sebagai hadith yang teramat lemah (dha’if jiddan). (Lihat Tuhfah al-Maulud, hlm. 119-120)

Berkenaan persoalan saudara, nama yang terbaik adalah nama yang dimulakan dengan Abdullah, Abdul Rahman atau Ahmad, Muhammad dan lain-lain. Nama yang saudara pilih  Nur Hafiyah, saya berpendapat tidak menjadi kesalahan kerana dalam Bahasa Arab ditulis: ‘نور حفية’. Perkataan Hafiyah memberi beberapa maksud antaranya:

  • Menerima tetamu dengan penuh kegembiraan dan kemuliaan.
  • Maksudnya, berjalan tanpa selipar dan sepatu.
  • Dengan maksud pecah atau lembut dengan sebab banyak berjalan.
  • Kalau dibaca dengan hafiyy (حَفِيّ) atau hafiyyah (حَفِيَّة) ia bermaksud seorang yang alim yang menguasai secara mendalam satu-satu bidang ilmu. Ia juga memberi makna sifat musyabahah bagi fi’il hafi.

Justeru, boleh jadi maksud yang anda pilih seorang yang cerdik atau suka memuliakan tetamu dengan sebaik-baiknya. Saya cadangkan daripada Nur Hafiyah ditukar kepada Nur Hafiyyah ‘ نورحَفِيَّة’.

Marilah kita berdoa semoga Allah kurniakan zuriat kita sebagai zuriat yang soleh dan solehah. 

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 2 Jun 2023 bersamaan 13 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *