Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Saya berusia awal 20-an dan saya bekerja di kedai kosmetik. Ada sesetengah orang cakap kerja di kedai kosmetik ini haram. Betul ke? Saya jadi was-was sekarang. Saya pernah terfikir untuk mencari kerja lain tetapi susah sebab tiada kerja kosong sekarang. Mohon pencerahan dari ustaz. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.”

Surah al-Baqarah (172)

Menurut Imam al-Hafiz Ibn Kathir, ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman agar memakan makanan yang baik (halal) daripada apa yang telah Allah SWT rezekikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan tersebut jika benar mereka itu adalah hamba Allah SWT. Tambahan pula, memakan daripada apa yang halal merupakan sebab diterimanya doa dan ibadah, sepertimana memakan daripada apa yang haram akan menghalang diterimanya doa dan ibadah. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/480) 

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan hukum bagi setiap pekerjaan bergantung dengan perkara/ tugas yang dilakukan. Sekiranya perkara yang dilakukan itu mengandungi perkara yang diharamkan oleh syarak seperti pembedahan plastik untuk kecantikan, mengubah ciptaan Allah, membuat tatu dan seumpamanya, maka hukumnya haram. Namun, jika perkara yang dilakukan itu, suatu perkara yang tidak diharamkan oleh syarak, maka hukum bekerja di situ adalah harus. Sebagaimana kaedah menyebut:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut). (Lihat al-Asybah wa al-Nazhoir, hlm.60)

Justeru itu, kami nyatakan hukum bekerja di kedai kosmetik adalah harus selagi mana tidak bertentangan dengan syarak. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga dikurniakan rezeki yang halal dan diberkati di samping amalan yang diterima, sebagaimana Rasulullah SAW selalu membaca doa pada solat Subuh:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H

Leave a Reply