Soalan:

Saya baru tahu yang saya telah salah mengira hari istihadah. Contohnya, saya mula period 1/5. Mengikut pengiraan haid 15 hari 15 malam, saya sepatutnya dikira haid sampai 16/5. Tapi saya telah mandi wajib 15/5 kerana sebelum ini, saya mengira 1/5 sebagai hari pertama haid. Bukan selepas 24 jam dari waktu saya sedar saya period. Jadi macam mana dengan puasa dan solat saya pada 16/5 (hari masih dikira haid) dan selepasnya (hari dikira istihadah)? Adakah tidak sah kerana saya telah mandi wajib awal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Haid dari segi istilah syarak ialah darah tabi’i yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya sihat dalam tempoh tertentu.( al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1:118 )

Firman Allah SWT :

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah : 222)

Tempoh Haid Dan Tempoh Suci

Tempoh haid terbahagi kepada tiga bahagian iaitu minimum, maksimum dan kebiasaan. Tempoh minimum haid sehari semalam iaitu 24 jam, tempoh maksimum haid ialah 15 hari 15 malam dan kebiasaan haid adalah 6 atau 7 hari. Tempoh minimum suci antara dua haid ialah 15 hari,  maksimum suci antara dua haid ialah tiada had dan  tempoh suci kebiasaan haid ialah menyempurnakan baki sebulan selepas haid  iaitu 23 atau 24hari) ( Lihat Raudah al-Talibin wa Umdatun Muftin, 1/134).

Perbezaan wanita Istihadah dan wanita yang menyempurnakan baki suci

  • Wanita istihadah ialah apabila darah keluar melepasi tempoh sebanyak-banyak haid (15 hari 15malam) kemudian bersambung sehingga hari ke-16 atau dikenali wanita mustahadah yang darah haid bercampur istihadah. Apabila situasi ini berlaku, istihadah dapat ditentukan berdasarkan 7 kategori istihadah iaitu mubtadaah ghairu mumaiyizah, mubtadaah mumaiyizah, mu’taadah ghairu mumaiyizah mu’taadah mumaiyizah, mutahayyirah al-mutlaqah,  mutahayyirah al-dzakirah li-waqt al-nasiah li ‘adad  dan mutahayyirah al-dzakirah li ‘adad al-nasiah  li-waqt. 
  • Wanita yang menyempurnakan baki suci apabila darah keluar semula selepas melepasi tempoh maksimum 15 hari  haid dan tidak bersambung dengan darah sebelumnya iaitu  hari ke 15 dan hari ke 16.  Setelah sempurna baki suci (minimum 15 hari) selebihnya adalah darah haid yang baru (Lihat Ibanah wa Ifadah, 25 )

Menjawab bagi persoalan di atas, dapat kami nyatakan di sini tempoh maksimum haid adalah 15 hari 15 malam. Dalam situasi ini  Sekiranya haid telah berhenti pada hari yang ke 15 maka bolehlah mandi wajib dan melakukan solat atau puasa. Manakala sekiranya, saudari telah mandi wajib sebelum mencukupi 24 jam hari yang ke 15 kemudian keluar lagi darah pada hari yang ke 16 maka solat atau puasa yang dilakukan tersebut adalah tidak sah dan wajib meninggalkan ibadat tersebut kerana masih lagi dalam tempoh haid mengikut kiraan saudari kerana Wanita yang mengalami haid diharamkan berpuasa dan diwajibkan menggantikan puasa fardu yang ditinggalkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh  Mu’azah al-‘Adawiyyah berkata:

سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلتُ: ما بَالُ الحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ، ولَا تَقْضِي الصَّلَاةَ. فَقالَتْ: أحَرُورِيَّةٌ أنْتِ؟ قُلتُ: لَسْتُ بحَرُورِيَّةٍ، ولَكِنِّي أسْأَلُ. قالَتْ: كانَ يُصِيبُنَا ذلكَ، فَنُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّوْمِ، ولَا نُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّلَاةِ.

Maksudnya: “Aku pernah bertanya kepada Aisyah RA lantas aku berkata: Mengapakah wanita haid itu perlu menggantikan puasanya tetapi tidak menggantikan solatnya? Lantas Aisyah menjawab: Adakah kamu haruriyah (khawarij)? Aku berkata: Saya bukan seorang Haruriyah, tetapi saya hanya ingin bertanya. Kemudian Aisyah menjawab:  Kami telah didatangi haid dan kami diperintahkan untuk menggantikan puasa (yang ditinggalkan kerana haid) tetapi tidak diperintahkan untuk menggantikan solat”.

Riwayat Muslim (335)

Justeru, hendaklah saudari cuba mengikut apa yang telah dinyatakan di atas dan seterusnya sentiasa mempelajari ilmu agar kefahaman berkenaan dengan agama kita begitu jelas dan terang. Semoga saudari termasuk di kalangan orang-orang yang faqih dalam ilmu.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Wallahua’lam

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply