#2114: Kesahihan Kisah Sahabat Bertemu Raja Rom dan Terdapat Gambar Para Nabi Dalam Istananya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya pernah terbaca kisah sahabat bertemu Raja Rom dan melihat koleksi gambar 14 nabi dan rasul tetapi saya ragu dengan kesahihan kisah ini. Adakah kisah ini benar Dato’ Seri ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kisah Rasulullah SAW menghantar utusan kepada Pembesar Rom adalah sahih sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَتَبَ إِلَى قَيْصَرَ يَدْعُوهُ إِلَى الإِسْلاَمِ، وَبَعَثَ بِكِتَابِهِ إِلَيْهِ مَعَ دِحْيَةَ الكَلْبِيِّ، وَأَمَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَدْفَعَهُ إِلَى عَظِيمِ بُصْرَى لِيَدْفَعَهُ إِلَى قَيْصَرَ، وَكَانَ قَيْصَرُ لَمَّا كَشَفَ اللَّهُ عَنْهُ جُنُودَ فَارِسَ، مَشَى مِنْ حِمْصَ إِلَى إِيلِيَاءَ شُكْرًا لِمَا أَبْلَاهُ اللَّهُ، فَلَمَّا جَاءَ قَيْصَرَ كِتَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ حِينَ قَرَأَهُ: التَمِسُوا لِي هَا هُنَا أَحَدًا مِنْ قَوْمِهِ، لِأَسْأَلَهُمْ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menulis surat kepada Qaisar untuk menyeru kepada Islam, dan Baginda mengutus suratnya kepada  Qaisar melalui Dihyah al-Kalbi, kemudian Rasulullah SAW memerintahkan kepadanya supaya menyerahkan surat itu kepada pembesar Basrah untuk diberi kepada Qaisar, Dan sesungguhnya ketika Qaisar diberi kemenangan daripada Allah SWT dalam menghadapi tentera Parsi, maka dia berjalan dari Hims hingga ke Iliya’ sebagai tanda syukur atas nikmat kemenangan yang diberikan Allah kepadanya, ketika surat Rasulullah SAW sampai kepada Qaisar, maka dia berkata ketika membacanya: ‘Carikan di sini untukku salah seorang daripada kalangan kaumnya, agar aku boleh bertanya kepada mereka berkenaan Rasulullah SAW.’”

Riwayat al-Bukhari (2940)

Namun begitu terdapat beberapa riwayat yang mengisahkan bahawa beberapa orang sahabat telah melihat gambar para nabi, termasuk gambar Nabi Muhammad SAW di hadapan raja Rom, tetapi kisah ini tidak memiliki kekuatan dalam kesahihannya:

Hal ini kerana riwayat ini melalui empat jalur yang semuanya bermasalah:

Jalur Pertama:

Diriwayatkan oleh Isma’il al-Asbahani dalam Dalail al-Nubuwwah (88) dan juga Imam al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah (1/385), melalui jalur Abdul Aziz bin Muslim bin Idris. Dia berkata: Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Idris, daripada Syurahbil bin Muslim, daripada Abu Umamah al-Bahili, daripada Hisyam bin al-’As al-Umawi. Dia berkata:

بُعِثْتُ أَنَا وَرَجُلٌ آخَرُ مِنْ قُرَيْشٍ إِلَى هِرَقْلَ صَاحِبِ الرُّومِ نَدْعُوهُ إِلَى الْإِسْلَامِ ، فَخَرَجْنَا حَتَّى قَدِمْنَا الْغُوطَةَ – يَعْنِي دِمَشْقَ –  فَنَزَلْنَا عَلَى جَبَلَةَ بْنِ الْأَيْهَمِ الْغَسَّانِيِّ ، فَدَخَلْنَا عَلَيْهِ وَإِذَا هُوَ عَلَى سَرِيرٍ لَهُ ، فَأَرْسَلَ إِلَيْنَا بِرَسُولٍ نُكَلِّمُهُ … ثم ساق حديثا طويلا ، وفيه أنهم دخلوا على هرقل فأراهم صور الأنبياء .

Maksudnya: “Saya dan seorang lelaki daripada suku Quraisy diutus ke Heraclius, Pembesar Rom, untuk mengajaknya memeluk Islam. Kami pergi sampai tiba di daerah Ghautah – iaitu Damsyiq – dan kami turun di Jabalah bin Aiham al-Ghassani. Kami masuk dan dia berada di atas tempat tidurnya. Dia mengirim pesan kepada kami dengan seorang utusan untuk berbicara dengan kami…..” Kemudian dia menceritakan hadith ini dengan panjang lebar, dan dalam cerita itu mereka masuk ke hadapan Heraclius dan melihat gambar para nabi.

Jalur ini sangat lemah, kerana terdapat dalam sanadnya Abdul Aziz bin Muslim bin Idris dan Abdullah bin Idris bin Abdul Rahman yang tidak diketahui terjemahannya, dan tidak ada langsung ulama’ hadith yang mengulas tentang mereka.

Jalur Kedua:

Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim al-Asbahani dalam Dalail al-Nubuwwah 13) melalui jalur Mas’ud bin Yazid al-Qattan. Dia berkata: Telah menceritakan kepada kami Abu Dawud, dia berkata: Telah menceritakan kepada kami Abbad bin Yazid, daripada Musa bin ‘Uqbah al-Qurasyi bahawa Hisyam bin al-’As dan Nu’aim bin Abdullah dan seorang lelaki lainnya yang disebutkan oleh mereka diutus ke pembesar Rom pada zaman Abu Bakar. Dia berkata: 

 فَدَخَلْنَا عَلَى جَبَلَةَ بْنِ الْأَيْهَمِ ، وَهُوَ بِالْغُوطَةِ ، فَإِذَا عَلَيْهِ ثِيَابٌ سُودٌ… ثم ساق الحديث .

Maksudnya: “Kami masuk ke hadapannya ketika dia berada di Jabalah bin Aiham, di Ghautah, dan dia berpakaian hitam…” Kemudian dia menceritakan panjang lebar.

Jalur ini juga sangat lemah, musalsal dengan para perawi yang majhul dan pada sanadnya terdapat Mas’ud bin Yazid al-Qattan Abu Ahmad al-Zamn”. Abu Nu’aim telah mengulas tentangnya dalam “Tarikh Isfahan” (1767), begitu pula al-Zahabi dalam “Tarikh al-Islam” (544), tetapi mereka tidak menyebutkan tentangnya berkenaan Jarh wa Ta’dil, jadi beliau kekal sebagai majhul al-hal.

Di dalam jalur ini juga terdapat Abbad bin Yazid, yang juga majhul, dan tidak ada yang mengulas tentangnya. Hal ini kerana beliau bukan Abbad bin Yazid yang meriwayatkan daripada Ali, dan yang meriwayatkan daripadanya al-Suddi kerana yang terdapat dalam sanad tersebut bukan dalam tabaqatnya. Oleh itu, beliau juga merupakan perawi yang matruk

Imam al-Zahabi berkata: “Abbad bin Yazid, daripada Ali, dan diriwayatkan daripadanya al-Suddi, dengan berita yang munkar yang didatangkan dengannya.” (Lihat al-Muqtana fi Sard al-Kuna, 6745)

Selain itu, sanad hadith ini juga dhaif menurut Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (8/219).

Jalur Ketiga:

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (1/179), Abu Nu’aim dalam Dalail al-Nubuwwah (12), al-Tabarani dalam “al-Mu’jam al-Awsat” (8231), dan al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah (1/384), melalui jalur Ummu Uthman binti Sa’id bin Muhammad bin Jubair bin Mut’im, daripada ayahnya Sa’id, daripada Datuknya Muhammad bin Jubair, daripada Jubair bin Mut’im, katanya:

خرجتُ تاجرا إلى الشام ، فلقيتُ رجلا مِن أهل الكتاب ، فقَالَ: هل عِندكم رجلٌ يَتَنَّبَأُ؟ قلتُ: نعم ، فجاء رجلٌ مِن أهل الكتاب ، فقَالَ: فِيم أنتم؟ فأدخلني منزلا لَهُ ، فإذا فِيهِ صور ، فرأَيتُ النَّبيَّ صَلى اللَّهُ عَلَيه وسَلم ، قَالَ: هُوَ هذا؟ قلتُ: نعم ، قَالَ: إنَّهُ لم يكن نَبِيٌّ إلا كَانَ بعده نَبيٌّ ، إلا هذا النَّبيُّ 

Maksudnya: “Saya pergi sebagai pedagang ke Syam, dan saya bertemu dengan seorang lelaki dari Ahli al-Kitab. Dia berkata, ‘Apakah kamu memiliki seorang peramal?’ Saya berkata, ‘Ya.’ Maka datanglah seorang lelaki dari Ahlu al-Kitab itu. Dia berkata, ‘Di manakah kamu?’ Dia membawaku ke rumahnya, dan di dalamnya ada gambar-gambar. Saya melihat gambar Nabi SAW. Dia berkata, ‘Adakah dia ini?’ Saya berkata, ‘Ya.’ Dia berkata, ‘Sesungguhnya tidak pernah ada seorang nabi kecuali setelahnya ada nabi, kecuali nabi ini.'”

Sanad hadith ini juga sangat lemah, dalam sanadnya terdapat Sa’id bin Muhammad bin Jubair. Ibnu al-Qattan berkata berkenaan dengannya: “Tidak diketahui berkenaan halnya.” (Lihat Bayan al-Wahm wa al-Iyham, 4/503)

Begitu juga dalam sanad ini terdapatnya Ummu Uthman binti Sa’id bin Muhammad bin Jubair, yang tidak dikenali dan tidak diulas oleh mana-mana jarh dan ta’dil.

Jalur Keempat:

Diriwayatkan daripada hadith ‘Ubadah bin Samit R.A dalam dua wajah:

Wajah Pertama: Diriwayatkan oleh al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam (1/797) dengan sanadnya melalui jalur al-Zubair bin Bakkar, katanya: Bapa saudaraku Mus’ab bin Abdullah meriwayatkan kepadaku daripada Datukku Abdullah bin Mus’ab, daripada ayahnya, daripada Datuknya, daripada Ubadah bin Samit, katanya: 

بَعَثَنِي أَبُو بَكْرٍ فِي نَفَرٍ مِنَ الصَّحَابَةِ إِلَى مَلِكِ الرُّومِ لِأَدْعُوَهُ إِلَى الْإِسْلَامِ ، فَخَرَجْنَا نَسِيرُ عَلَى رَوَاحِلِنَا حَتَّى قَدِمْنَا دِمَشْقَ ، فَإِذَا عَلَى الشَّامِ لِهِرَقْلَ جَبَلَةُ ، فَاسْتَأْذَنَّا عَلَيْهِ ، فَأَذِنَ لَنَا … ثم ساق الحديث بطوله

Maksudnya: “Abu Bakar mengutusku bersama sekelompok sahabat ke Raja Romawi untuk mengajaknya masuk Islam. Kami berjalan sampai kami tiba di Damaskus, kemudian kami di Jabalah di Syam. Kami memohon izin untuk menemui Raja Jabalah, dan dia memberikan izin kepada kami…’ Lalu hadith tersebut disampaikan dengan panjang lebar.

Sanad hadith ini sangat lemah, dan musalsal dengan para perawi yang lemah dan yang majhul. Terdapat dalam sanad hadith ini Thabit bin Abdullah bin al-Zubair yang statusnya Majhul al-Hal, Terjemahannya disebut oleh Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (2076), Ibn Abi Hatim dalam al-Jarh wa al-Ta’dil (1828), dan al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam (28), dan mereka tidak menyebutkan penilaian terhadapnya dari sudut Jarh wa Ta’dil.

Begitu juga dengan Mus’ab bin Thabit bin Abdullah bin al-Zubair yang dinilai lemah dan tidak boleh dijadikan hujjah dengannya. Imam Ahmad, Ibn Ma’in juga menilainya sebagai lemah.  Antara komentar ulama’ lain berkenaannya:

  • Abu Hatim mengatakan: “Dia adalah seorang yang jujur tetapi sering keliru dan tidak kuat.” (Lihat al-Jarh wa al-Ta’dil, 8/403). 
  • Ibn Hibban mengatakan: “Munkar al-hadith, dan dia dalam kalangan yang mengingkari hadith yang berbeza daripada majoriti ulama’, dan ketika mana dia terlalu banyak melakukan sedemikian sehingga hadithnya tidak boleh diterima.” (Lihat al-Majruhin, 3/29)

Selain itu, dalam sanadnya juga terdapat Abdullah bin Mus’ab bin Thabit yang dinilai sebagai perawi yang lemah, sebagaimana yang disebut oleh Ibn Ma’in yang dinukilkan oleh al-Khatib al-Baghdadi. (Lihat Tarikh Baghdad, 11/415).

Wajah kedua: Diriwayatkan oleh Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq (40/154) melalui jalur al-Hasan bin Ali bin Zakariya al-‘Adawi Abu Sa’id al-Basri. Dia berkata, “Ahmad bin Muhammad al-Makki Abu Bakr meriwayatkan kepada kami, Muhammad bin Abd al-Rahman al-Madini meriwayatkan kepada kami, daripada Muhammad bin Abdul Wahid al-Kufi, Muhammad bin Abi Bakr al-Ansari menyampaikan kepada kami, daripada ‘Ubadah bin Samit, beliau adalah panglima pasukan di Badr yang terakhir, katanya:

بَعَثَنِى أَبُو بَكْرٍ إِلَى مَلِكِ الرُّومِ يَدْعُوُه إِلَى الإِسْلاَم، وَيُرَغِّبُهُ فيهِ وَمَعِى عَمْرُو بْنُ العاصِ بْنِ وَائِلٍ السَّهْمِىُّ، وَهِشامُ بْنُ العاص بْن وائِلٍ السَّهْمِىُّ، وَعَدِىُّ بْنُ كَعْب، ونُعَيْمُ بْنُ عَبْد الله النَّحَّامُ، فَخَرَجْنَا حَتَّى قَدِمْنَا عَلَى جَبَلَةَ بْنِ الأيْهَم دِمَشْقَ، فَأَدْخَلَنَا عَلَى مَلِكِهِمْ بِهَا الرُّومِىِّ …  ثم ساق الحديث بطوله

Maksudnya: “Abu Bakar telah mengutusku kepada Raja Rom untuk mengajaknya masuk Islam. Aku pergi bersama Amr bin al-’As bin Wa’il al-Sahmiy, Hisyam bin al-’As bin Wa’il al-Sahmiy, Adi bin Ka’ab, dan Nu’aim bin Abdullah bin al-Nahham. Kami pergi sehingga kami sampai di Jabalah bin Al-Aiham di Damsyiq, lalu kami diperkenankan masuk oleh Raja Rom mereka…’ Lalu hadis tersebut disampaikan dengan panjang lebar.

Sanad hadith ini bermasalah kerana padanya terdapat Hasan bin Ali bin Zakariya al-‘Adawi, seorang pendusta yang memalsukan hadith kepada Rasulullah SAW. Imam al-Zahabi berkata, “Ibn Adi mengatakan: Dia sering memalsukan hadith, dan al-Daraqutni mengatakan: Dia ditinggalkan (matruk). Aku katakan: Dia seorang yang berani dalam menambahkan dan memalsukan sanad dan matan.” (Lihat Tarikh al-Islam, 414). 

Oleh sebab itu, sanad ini lemah menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya al-Isabah (4/394).

Kisah yang Sahih 

Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari berkenaan dengan kisah Abu Sufyan dan beberapa sahabat ketika mana mereka diutus oleh Rasulullah SAW untuk bertemu dengan pembesar Rom untuk mengajaknya kepada Islam. Ibn Abbas berkata:

فَأَخْبَرَنِي أَبُو سُفْيَانَ بْنُ حَرْبٍ أَنَّهُ كَانَ بِالشَّامِ فِي رِجَالٍ مِنْ قُرَيْشٍ قَدِمُوا تُجَّارًا فِي المُدَّةِ الَّتِي كَانَتْ بَيْنَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَيْنَ كُفَّارِ قُرَيْشٍ، قَالَ أَبُو سُفْيَانَ، فَوَجَدَنَا رَسُولُ قَيْصَرَ بِبَعْضِ الشَّامِ، فَانْطُلِقَ بِي وَبِأَصْحَابِي، حَتَّى قَدِمْنَا إِيلِيَاءَ، فَأُدْخِلْنَا عَلَيْهِ، فَإِذَا هُوَ جَالِسٌ فِي مَجْلِسِ مُلْكِهِ، وَعَلَيْهِ التَّاجُ، وَإِذَا حَوْلَهُ عُظَمَاءُ الرُّومِ، فَقَالَ لِتَرْجُمَانِهِ: سَلْهُمْ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ نَسَبًا إِلَى هَذَا الرَّجُلِ الَّذِي يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ، قَالَ أَبُو سُفْيَانَ: فَقُلْتُ: أَنَا أَقْرَبُهُمْ إِلَيْهِ نَسَبًا، قَالَ: مَا قَرَابَةُ مَا بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ؟ فَقُلْتُ: هُوَ ابْنُ عَمِّي، وَلَيْسَ فِي الرَّكْبِ يَوْمَئِذٍ أَحَدٌ مِنْ بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ غَيْرِي، فَقَالَ قَيْصَرُ: أَدْنُوهُ، وَأَمَرَ بِأَصْحَابِي، فَجُعِلُوا خَلْفَ ظَهْرِي عِنْدَ كَتِفَيَّ، ثُمَّ قَالَ لِتَرْجُمَانِهِ: قُلْ لِأَصْحَابِهِ: إِنِّي سَائِلٌ هَذَا الرَّجُلَ عَنِ الَّذِي يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ، فَإِنْ كَذَبَ فَكَذِّبُوهُ، قَالَ أَبُو سُفْيَانَ: وَاللَّهِ لَوْلاَ الحَيَاءُ يَوْمَئِذٍ، مِنْ أَنْ يَأْثُرَ أَصْحَابِي عَنِّي الكَذِبَ، لَحَدَّثْتُهُ عَنِّي حِينَ سَأَلَنِي عَنْهُ، وَلَكِنِّي اسْتَحْيَيْتُ أَنْ يَأْثُرُوا الكَذِبَ عَنِّي، فَصَدَقْتُهُ، ثُمَّ قَالَ لِتَرْجُمَانِهِ: قُلْ لَهُ كَيْفَ نَسَبُ هَذَا الرَّجُلِ فِيكُمْ؟ قُلْتُ: هُوَ فِينَا ذُو نَسَبٍ، قَالَ: فَهَلْ قَالَ هَذَا القَوْلَ أَحَدٌ مِنْكُمْ قَبْلَهُ؟ قُلْتُ: لاَ، فَقَالَ: فَهَلْ كُنْتُمْ تَتَّهِمُونَهُ عَلَى الكَذِبِ قَبْلَ أَنْ يَقُولَ مَا قَالَ؟ قُلْتُ: لاَ، قَالَ: فَهَلْ كَانَ مِنْ آبَائِهِ مِنْ مَلِكٍ؟ قُلْتُ: لاَ، قَالَ: فَأَشْرَافُ النَّاسِ يَتَّبِعُونَهُ أَمْ ضُعَفَاؤُهُمْ؟ قُلْتُ: بَلْ ضُعَفَاؤُهُمْ، قَالَ: فَيَزِيدُونَ أَوْ يَنْقُصُونَ؟ قُلْتُ: بَلْ يَزِيدُونَ، قَالَ: فَهَلْ يَرْتَدُّ أَحَدٌ سَخْطَةً لِدِينِهِ بَعْدَ أَنْ يَدْخُلَ فِيهِ؟ قُلْتُ: لاَ، قَالَ: فَهَلْ يَغْدِرُ؟ قُلْتُ: لاَ، وَنَحْنُ الآنَ مِنْهُ فِي مُدَّةٍ، نَحْنُ نَخَافُ أَنْ يَغْدِرَ، – قَالَ أَبُو سُفْيَانَ: وَلَمْ يُمْكِنِّي كَلِمَةٌ أُدْخِلُ فِيهَا شَيْئًا أَنْتَقِصُهُ بِهِ، لاَ أَخَافُ أَنْ تُؤْثَرَ عَنِّي غَيْرُهَا -، قَالَ: فَهَلْ قَاتَلْتُمُوهُ وَ قَاتَلَكُمْ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ كَانَ حَرْبُهُ وَحَرْبُكُمْ؟ قُلْتُ: كَانَتْ دُوَلًا وَسِجَالًا، يُدَالُ عَلَيْنَا المَرَّةَ، وَنُدَالُ عَلَيْهِ الأُخْرَى، قَالَ: فَمَاذَا يَأْمُرُكُمْ بِهِ؟ قَالَ: يَأْمُرُنَا أَنْ نَعْبُدَ اللَّهَ وَحْدَهُ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا، وَيَنْهَانَا عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ آبَاؤُنَا، وَيَأْمُرُنَا بِالصَّلاَةِ، وَالصَّدَقَةِ، وَالعَفَافِ، وَالوَفَاءِ بِالعَهْدِ، وَأَدَاءِ الأَمَانَةِ، فَقَالَ لِتَرْجُمَانِهِ حِينَ قُلْتُ ذَلِكَ لَهُ: قُلْ لَهُ: إِنِّي سَأَلْتُكَ عَنْ نَسَبِهِ فِيكُمْ، فَزَعَمْتَ أَنَّهُ ذُو نَسَبٍ، وَكَذَلِكَ الرُّسُلُ تُبْعَثُ فِي نَسَبِ قَوْمِهَا، وَسَأَلْتُكَ: هَلْ قَالَ أَحَدٌ مِنْكُمْ هَذَا القَوْلَ قَبْلَهُ، فَزَعَمْتَ أَنْ لاَ، فَقُلْتُ: لَوْ كَانَ أَحَدٌ مِنْكُمْ قَالَ هَذَا القَوْلَ قَبْلَهُ، قُلْتُ رَجُلٌ يَأْتَمُّ بِقَوْلٍ قَدْ قِيلَ قَبْلَهُ، وَسَأَلْتُكَ: هَلْ كُنْتُمْ تَتَّهِمُونَهُ بِالكَذِبِ قَبْلَ أَنْ يَقُولَ مَا قَالَ، فَزَعَمْتَ أَنْ لاَ، فَعَرَفْتُ أَنَّهُ لَمْ يَكُنْ لِيَدَعَ الكَذِبَ عَلَى النَّاسِ وَيَكْذِبَ عَلَى اللَّهِ، وَسَأَلْتُكَ: هَلْ كَانَ مِنْ آبَائِهِ مِنْ مَلِكٍ، فَزَعَمْتَ أَنْ لاَ، فَقُلْتُ لَوْ كَانَ مِنْ آبَائِهِ مَلِكٌ، قُلْتُ يَطْلُبُ مُلْكَ آبَائِهِ، وَسَأَلْتُكَ: أَشْرَافُ النَّاسِ يَتَّبِعُونَهُ أَمْ ضُعَفَاؤُهُمْ، فَزَعَمْتَ أَنَّ ضُعَفَاءَهُمُ اتَّبَعُوهُ، وَهُمْ أَتْبَاعُ الرُّسُلِ، وَسَأَلْتُكَ: هَلْ يَزِيدُونَ أَوْ يَنْقُصُونَ، فَزَعَمْتَ أَنَّهُمْ يَزِيدُونَ، وَكَذَلِكَ الإِيمَانُ حَتَّى يَتِمَّ، وَسَأَلْتُكَ هَلْ يَرْتَدُّ أَحَدٌ سَخْطَةً لِدِينِهِ بَعْدَ أَنْ يَدْخُلَ فِيهِ، وَزَعَمْتَ أَنْ لاَ، فَكَذَلِكَ الإِيمَانُ حِينَ تَخَالِطُ  بَشَاشَتُهُ القُلُوبَ، لاَ يَسْخَطُهُ أَحَدٌ، وَسَأَلْتُكَ هَلْ يَغْدِرُ، فَزَعَمْتَ أَنْ لاَ، وَكَذَلِكَ الرُّسُلُ لاَ يَغْدِرُونَ، وَسَأَلْتُكَ: هَلْ قَاتَلْتُمُوهُ وَقَاتَلَكُمْ، فَزَعَمْتَ أَنْ قَدْ فَعَلَ، وَأَنَّ حَرْبَكُمْ وَحَرْبَهُ تَكُونُ دُوَلًا، وَيُدَالُ عَلَيْكُمُ المَرَّةَ وَتُدَالُونَ عَلَيْهِ الأُخْرَى، وَكَذَلِكَ الرُّسُلُ تُبْتَلَى وَتَكُونُ لَهَا العَاقِبَةُ، وَسَأَلْتُكَ: بِمَاذَا يَأْمُرُكُمْ، فَزَعَمْتَ أَنَّهُ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا، وَيَنْهَاكُمْ عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ آبَاؤُكُمْ، وَيَأْمُرُكُمْ بِالصَّلاَةِ، وَالصَّدَقَةِ، وَالعَفَافِ، وَالوَفَاءِ بِالعَهْدِ، وَأَدَاءِ الأَمَانَةِ، قَالَ: وَهَذِهِ صِفَةُ نَّبِيٍّ، قَدْ كُنْتُ أَعْلَمُ أَنَّهُ خَارِجٌ، وَلَكِنْ لَمْ أَظُنَّ أَنَّهُ مِنْكُمْ، وَإِنْ يَكُ مَا قُلْتَ حَقًّا، فَيُوشِكُ أَنْ يَمْلِكَ مَوْضِعَ قَدَمَيَّ هَاتَيْنِ وَلَوْ أَرْجُو أَنْ أَخْلُصَ إِلَيْهِ، لَتَجَشَّمْتُ لُقِيَّهُ، وَلَوْ كُنْتُ عِنْدَهُ لَغَسَلْتُ قَدَمَيْهِ، قَالَ أَبُو سُفْيَانَ: ثُمَّ دَعَا بِكِتَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُرِئَ، فَإِذَا فِيهِ: بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ، إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ، سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الهُدَى، أَمَّا بَعْدُ: فَإِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الإِسْلاَمِ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ، وَأَسْلِمْ يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ، وَإِنْ تَوَلَّيْتَ، فَعَلَيْكَ إِثْمُ الأَرِيسِيِّينَ وَ: {يَا أَهْلَ الكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ، أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا، وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ، فَإِنْ تَوَلَّوْا، فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ}  ، قَالَ أَبُو سُفْيَانَ: فَلَمَّا أَنْ قَضَى مَقَالَتَهُ، عَلَتْ أَصْوَاتُ الَّذِينَ حَوْلَهُ مِنْ عُظَمَاءِ الرُّومِ، وَكَثُرَ لَغَطُهُمْ، فَلاَ أَدْرِي مَاذَا قَالُوا، وَأُمِرَ بِنَا، فَأُخْرِجْنَا، فَلَمَّا أَنْ خَرَجْتُ مَعَ أَصْحَابِي، وَخَلَوْتُ بِهِمْ قُلْتُ لَهُمْ: لَقَدْ أَمِرَ أَمْرُ ابْنِ أَبِي كَبْشَةَ، هَذَا مَلِكُ بَنِي الأَصْفَرِ يَخَافُهُ، قَالَ أَبُو سُفْيَانَ: وَاللَّهِ مَا زِلْتُ ذَلِيلًا مُسْتَيْقِنًا بِأَنَّ أَمْرَهُ سَيَظْهَرُ، حَتَّى أَدْخَلَ اللَّهُ قَلْبِي الإِسْلاَمَ وَأَنَا كَارِهٌ.

Maksudnya: Abu Sufyan mengkhabarkan kepadaku, ketika dia berada di Syam bersama beberapa orang Quraisy, datang untuk berdagang ketika masa perjanjian damai di antara Rasulullah SAW dengan kaum kafir Quraisy, Abu Sufyan berkata: “Kami bertemu dengan utusan Qaisar ketika berada di satu tempat di Syam, lalu dia membawaku bersama para sahabatku sehingga kami sampai ke Iliya.” Lalu kami dibawa masuk bertemu dengannya. Ternyata dia (Qaisar) sedang duduk di takhta singgahsananya dengan memakai mahkota, di sampingnya terdapat para pembesar Rom lalu dia berkata kepada penterjemahnya: “Tanyakanlah kepada mereka sesiapa di antara mereka yang paling dekat nasab keturunannya dengan lelaki ini yang mendakwa dirinya sebagai Nabi. Abu Sufyan berkata: Lalu aku berkata: “Aku yang paling hampir hubungan nasab dengannya.” Kemudian Qaisar berkata: “Apakah hubungan di antara kamu dengannya?” Abu Sufyan berkata: “Dia adalah sepupuku,” – tidak ada di antara rombongan pada hari ini seorang pun yang berasal daripada Bani ‘Abd Manaf, kecuali aku – lalu Qaisar berkata: “Dekatkanlah dia kepadaku.” Kemudian dia memerintahkan para sahabatku ditempatkan di belakangku; dekat dengan bahuku. Lalu dia berkata kepada penterjemahnya: “Katakanlah kepada para sahabatnya, “Bahawa sesungguhnya aku akan bertanya kepada lelaki ini berkenaan dia yang mendakwa dirinya Nabi. Sekiranya dia berdusta maka kamu hendaklah mendustakannya.” Abu Sufyan berkata: “Demi Allah, pada hari itulah kalau bukan kerana perasaan malu bahawa para sahabatku akan meriwayatkan tentang diriku, yang aku berdusta, nescaya aku akan mereka-reka cerita tentangnya (dengan cerita yang aku reka) daripada pihakku, ketika dia bertanyakanku tentang Baginda SAW. Namun aku berasa malu bahawa mereka akan meriwayatkan tentang diriku yang berdusta mengetahui aku berdusta, oleh kerana itu aku pun berkata benar. Kemudian Qaisar berkata kepada penterjemahnya, katakanlah kepadanya:  “Bagaimanakah nasab keturunan lelaki ini di kalangan kamu?” Aku berkata: “Dia mempunyai nasab keturunan yang baik di kalangan kami.” Qaisar berkata: “Adakah ada seorang di kalangan kamu pernah berkata dengan perkataan ini (yakni dakwaan sebagai Rasul) sebelumnya?” Aku berkata: “Tidak ada.” Qaisar berkata: “Adakah kamu pernah menuduhnya berdusta sebelum dia berkata apa yang dia kata?” Aku berkata: “Tidak pernah.” Qaisar berkata: “Adakah ada di kalangan nenek moyangnya seorang raja?” Aku berkata: “Tidak ada.” Qaisar berkata: “Adakah golongan bangsawan mengikutinya atau hanya golongan yang lemah di kalangan mereka?” Aku berkata: “Bahkan golongan lemah dalam kalangan mereka yang mengikutinya.” Qaisar berkata: “Adakah pengikutnya bertambah atau berkurang?” Aku berkata: “Bahkan semakin bertambah.” Qaisar berkata: “Adakah ada di kalangan mereka seseorang yang murtad kerana benci agamanya setelah menganut agama itu?” Aku berkata: “Tidak ada.” Qaisar berkata: “Adakah dia pernah melanggar perjanjian?” Aku berkata: “Tidak pernah, dan sekarang kami berada pada masa perjanjian damai yang kami risau dia akan mengkhianatinya,” – Abu Sufyan berkata: “Tidak ada satu pun ayat yang aku mampu masukkan ke dalamnya sesuatu yang aku boleh merendahkan Baginda SAW dengannya, yang aku tidak khuatir perkara itu akan diriwayatkan daripadaku, selain daripada itu,” – Qaisar berkata: “Adakah kamu memeranginya, dan dia yang memerangi kamu?” Aku berkata: “Benar.” Qaisar berkata: “Bagaimanakah kesudahan peperangannya dengan kamu?” Aku berkata: “Seimbang dan kemenangan silih berganti, sesekali dia mengalahkan kami dan dalam peperangan yang lain kami mengalahkannya.” Qaisar berkata: “Apakah yang diperintahkannya ke atas kamu?” Aku berkata: “Dia memerintahkan kami menyembah Allah sahaja dan tidak mempersekutukan-Nya dengan yang lain dan melarang kami menyembah apa yang disembah oleh nenek moyang kami. Dia memerintahkan kami supaya solat, sedekah, menjaga kehormatan diri, menunaikan perjanjian dan menunaikan amanah.” Qaisar berkata kepada penterjemahnya ketika aku menyebut berkenaan hal ini kepadanya: “Katakanlah kepadanya sesungguhnya aku bertanya kepada engkau berkenaan nasab keturunannya di antara kamu, maka engkau menyatakan bahawa dia memiliki nasab keturunan yang baik, begitulah juga para Rasul diutuskan daripada nasab keturunan yang baik di kalangan kaumnya. Aku bertanya kepada engkau adakah pernah ada orang yang mengucapkan seperti ini (yakni mendakwa diri sebagai Rasul) sebelumnya daripada kalangan kamu kemudian engkau menyatakan bahawa tidak ada, maka aku katakan sekiranya ada orang yang menyatakan ucapan sepertinya maka orang itu mengikut ucapan orang sebelumnya. Aku bertanya kepada engkau, ‘adakah kamu pernah menuduhnya sebagai pendusta sebelum dia mendakwa dirinya sebagai Rasul,’ lalu engkau menjawab tidak pernah, maka aku mengetahui bahawa tidak mungkin dia yang tidak pernah berdusta kepada manusia lalu dia berdusta terhadap Allah. Aku bertanya kepada engkau, ‘adakah di kalangan nenek moyangnya yang ada menjadi raja,’ lalu engkau menyatakan tidak ada, maka aku katakan sekiranya ada di antara nenek-moyangnya yang menjadi raja maka aku berkata dia akan menuntut kerajaan itu. Aku bertanya kepada kamu, ‘adakah golongan bangsawan atau golongan yang lemah yang mengikutinya di kalangan kamu, lalu kamu katakan, ‘bahawa pengikutnya adalah daripada golongan yang lemah,’ dan merekalah pengikut-pengikut para Rasul. Aku bertanya kepada engkau, ‘adakah jumlah mereka semakin bertambah atau berkurang,’ lalu engkau nyatakan, ‘jumlah mereka semakin bertambah,’ dan beginilah iman yang semakin bertambah hingga mencapai tahap kesempurnaan. Aku bertanya kepada engkau, ‘adakah pernah seseorang yang murtad kerana perasaan benci terhadap agamanya setelah menganutinya,’ lalu engkau katakan tidak ada, maka demikian itulah iman, apabila keindahannya apabila menusuk di dalam hati tidak ada seorang yang akan membencinya. Aku katakan kepada kamu, ‘adakah dia pernah melanggar janji,’ lalu engkau menyatakan tidak pernah,’ dan demikianlah para Rasul tidak pernah melanggar perjanjian. Aku bertanya kepada engkau, ‘adakah kamu semua memeranginya dan dia memerangi kamu,’ lalu engkau katakan hal itu pernah terjadi dan peperangan di antara kamu adalah seimbang; satu ketika dia menang ke atas kamu dan pada waktu yang lain kamu menang ke atasnya, maka demikianlah ujian yang diberikan kepada para Rasul, akan tetapi pada akhirnya kemenangan adalah milik mereka. Aku bertanya kepada engkau, ‘apakah yang diperintahkan terhadap kamu,’ lalu kamu nyatakan bahawa dia memerintahkan kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain, melarang kamu menyembah apa yang disembah oleh nenek moyang kamu, memerintahkan kamu supaya mengerjakan solat, sedekah, menjaga kehormatan diri, mennyempurnakan janji dan menunaikan amanah.” Qaisar berkata: “Inilah sifat-sifat para Nabi, sesungguhnya aku telah mengetahui bahawa dia akan keluar, akan tetapi aku tidak mengetahui bahawa dia berasal dari kalangan kamu, sekiranya apa yang engkau katakan itu benar, maka telah hampir masa bahawa dia akan menguasai tanah yang berada di bawah tapak kakiku ini. Sekiranya ada harapan untukku untuk pergi menemuinya, maka aku akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menemuinya, kalau aku berada di sampingnya maka aku akan mencuci kedua-dua kakinya.” Abu Sufyan berkata: “Kemudian diberikan surat Rasulullah SAW dan dibacakan, dan ternyata di dalam surat itu tertulis:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ، إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ، سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الهُدَى، أَمَّا بَعْدُ: فَإِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الإِسْلاَمِ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ، وَأَسْلِمْ يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ، وَإِنْ تَوَلَّيْتَ، فَعَلَيْكَ إِثْمُ الأَرِيسِيِّينَ 

‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, dari Muhammad hamba Allah dan utusan-Nya, kepada Hercules, pembesar Rom, salam sejahtera bagi mereka yang mengikut petunjuk. Amma ba’d, Sesungguhnya aku mengajakmu dengan seruan Islam, hendaklah engkau masuk Islam maka engkau akan selamat, hendaklah engkau masuk Islam maka Allah akan memberikan kepada engkau pahala dua kali ganda, dan sekiranya engkau berpaling maka tanggunglah segala dosa Arissiyyin:

 “يَا أَهْلَ الكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ، أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا، وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ، فَإِنْ تَوَلَّوْا، فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ” 

(Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan tuhan-tuhan yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.’ Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.”)

[Surah Ali ‘Imran: 64].’”

Abu Sufyan berkata: “Ketika dia selesai segala ucapannya maka mulalah kedengaran dengan kuat suara para pembesar Rom yang berada di sekelilingnya (yakni Qaisar) dengan banyaknya bunyi bising dan pekikan dari mereka. Aku tidak mengetahui apa yang mereka katakan, dan kami diperintahkan supaya dikeluarkan. Maka apabila aku keluar bersama para sahabatku, dan menyendiri bersama mereka, aku katakan kepada mereka: “Sesungguhnya telah besarlah urusan Ibn Abi Kabsyah (Rasulullah SAW). Raja Bani Asfar (Bangsa Kaukasia) ini juga takut kepadanya!” Abu Sufyan berkata lagi: “Demi Allah, sentiasalah aku dalam keadaan yang hina dan aku meyakini bahawa urusan (agama) Baginda pasti akan menguasai pada akhirnya, sehinggalah Allah telah memasukkan ke dalam hatiku menerima Islam, sedangkan aku tidak menginginkannya.”

Riwayat al-Bukhari (2941)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, riwayat yang menceritakan berkenaan para sahabat melihat gambar-gambar pada Nabi dalam istana Rom dan salah satunya adalah gambar Nabi Muhammad SAW adalah tidak sahih sebagaimana pendapat yang kami sebutkan berkenaan dengan kelemahan yang berat pada riwayat-riwayat tersebut.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *