Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika seseorang itu terlanjur dan telah menyebabkan perempuan itu mengandung, apakah tindakan seterusnya yang wajar dilakukan? Adakah berdosa jika digugurkan kandungan tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Surah al-Isra’ (32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/72)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1821: Penzina Lelaki Berkahwin Dengan Penzina Perempuan[1]

#1820: Perkara Yang Perlu Dilakukan Sekiranya Mengandung Anak Zina[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan zina adalah salah satu dosa besar dan wajib baginya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT. Jika orang yang melakukan zina bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan seikhlasnya, maka Allah akan mengampuninya dan mengampunkan dosanya. Allah SWT berfirman, setelah menyebutkan peringatan kepada orang yang melakukan zina:

إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ‎﴿٧٠﴾‏ وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَإِنَّهُ يَتُوبُ إِلَى اللَّهِ مَتَابًا

Maksudnya: “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;”

(Surah al-Furqan: 70-71)

Kami nasihatkan sekiranya perkara sebegini terjadi, maka sebagai seorang lelaki, bertanggungjawablah atas apa yang telah terjadi. Antaranya dengan berkahwin kerana dibolehkan berkahwin dengan syarat mereka redha akan perkahwinan tersebut dan bertaubat dengan taubat yang nasuha atas dosa zina yang telah mereka lakukan. Hal ini sepertimana diriwayatkan daripada Abu Bakar, Umar, Ibn Umar, Ibn Abbas, dan Jabir R.Anhum. Diriwayatkan dari Abu Bakar R.A, beliau berkata:

إِذَا زَنَى رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ لَمْ يَحْرُمْ عَلَيْهِ نِكَاحُهَا

Maksudnya: ‘Jika seorang lelaki berzina dengan seorang wanita, tidaklah diharamkan baginya untuk menikahinya.’

Manakala, berkenaan menggugurkan kandungan zina, haram bagi penzina yang mengandung anak luar nikah untuk menggugurkan anak tersebut disebabkan oleh dosa zina tersebut. ِHal ini kerana sekiranya dia membunuh janin tersebut, dia telah melakukan dosa yang bertingkat, iaitu berzina dan juga membunuh janin yang tidak bersalah. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).

(Surah al-Isra’: 33)

Cadangan

Kami cadangkan jika berlaku demikian dan telah terlanjur maka buatlah seperti berikut:

  • Hendaklah bertaubat, beristighfar serta memohon ampun kepada-Nya.
  • Bincanglah dengan sebaik-baiknya antara pasangan tersebut tanpa merasa panik, gabra dan rasa takut. Sebaliknya, tenang dan muhasabah diri.
  • Bertemulah dengan orang yang terbaik untuk memberi nasihat agar memilih jalan yang terbaik untuk kembali ke pangkal jalan.
  • Kedua-dua pihak hendaklah melaporkan hal ini kepada kedua ibu bapa dengan penuh rasa sebuah penyesalan dan keinginan untuk bertanggungjawab dengan apa yang terjadi.
  • Seterusnya, pihak ibu bapa hendaklah menerima dengan hati yang terbuka di samping menjadi pendamai antara kedua belah pihak tanpa menuding jari anak kamu yang salah tetapi masing-masing mengakui kesilapannya.
  • Peranan ibu bapa amat penting untuk terus bertindak ke arah kebaikan seperti binalah ikatan pernikahan yang sah serta berilah sokongan dan dokongan kepada pasangan tersebut.
  • Binalah mereka dengan agama Islam dan dekatkanlah mereka ke masjid surau serta majlis-majlis ilmu.
  • Bantulah mereka dalam membina dan melayari bahtera kehidupan dengan penuh aman dan damai tanpa ungkitan kisah yang lalu.
  • Sesungguhnya, saya katakan jika pasangan tersebut telah diberi sebuah pengajaran yang terbaik maka tidak mustahil ia akan menjadi pasangan yang unggul yang amat berterima kasih kepada kedua ibu bapanya dan dapat membina kehidupan boleh jadi jauh lebih baik daripada yang lain.
  • Ingatlah, sehebat mana kita pun pasti diuji tidak kurang yang rebah dalam ujian dan terkandas dan ramai juga yang berjaya menghadapi pelbagai situasi dengan sebab sokongan dan dokongan dari semua pihak.
  • Jadilah golongan yang membina dan mendamaikan bukan golongan yang meruntuh serta merosakkan dan memusnahkan sesebuah kehidupan. Bak kata pepatah Melayu, “Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Kami yakin dan percaya jika peranan seperti ini dapat dimainkan dengan sebaik mungkin oleh semua pihak termasuk kerajaan, para agamawan, NGO, masyarakat, apatah lagi ibu bapa dan pasangan yang terbabit, maka keadaan tidaklah menuju separah itu. Sebaliknya, sebuah kehidupan yang baik dengan pengislahan dapat dibina semula.

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

[1]https://maktabahalbakri.com/1821-penzina-lelaki-berkahwin-dengan-penzina-perempuan/

[2]https://maktabahalbakri.com/1820-perkara-yang-perlu-dilakukan-sekiranya-mengandung-anak-zina/

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply