Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum meludah ketika solat, sekiranya boleh, di sebelah kanan atau kiri sekiranya kita ingin meludah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksdunya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

(Surah al-Baqarah: 238)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, daripada Nabi SAW, bersabda:

 إِذَا كَانَ فِي الصَّلاَةِ، فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ، فَلاَ يَبْزُقَنَّ بَيْنَ يَدَيْهِ، وَلاَ عَنْ يَمِينِهِ وَلَكِنْ عَنْ شِمَالِهِ تَحْتَ قَدَمِهِ اليُسْرَى

Maksudnya: “Jika seseorang sedang solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat dengan Tuhannya. Maka janganlah dia meludah ke arah hadapannya atau sebelah kanannya, tetapi hendaklah dia meludah ke arah kiri di bawah kaki kirinya.”

Riwayat al-Bukhari (1214)

Dalam lafaz yang lain, diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَأَى نُخَامَةً فِي الْقِبْلَةِ، فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ، فَقَامَ فَحَكَّهُ بِيَدِهِ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلاَتِهِ، فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ ـ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ ـ فَلاَ يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ، وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ، أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ ‏”‏‏.‏ ثُمَّ أَخَذَ طَرَفَ رِدَائِهِ فَبَصَقَ فِيهِ، ثُمَّ رَدَّ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ، فَقَالَ ‏”‏ أَوْ يَفْعَلْ هَكَذَا

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW terlihat kahak di (dinding) kiblat, dan Nabi tidak menyukai akan hal itu sehingga terpapar (kemarahan) pada wajahnya. Lalu Baginda SAW pun bangun dan membuang (kahak) dengan tangannya. Lalu Baginda bersabda “Apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada tuhan-Nya, atau Tuhan-Nya berada di antara dirinya dan qiblat, maka tidak patut seorang pun meludah ke arah kiblat, tetapi (ludahlah) di sebelah kirinya atau di bawah kakinya”. Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendangnya, dan meludah kemudian melipat bahagian itu kemudian bersabda “Atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini”

Riwayat al-Bukhari (405)

Imam al-Nawawi berkata: “Meludah di bawah tapak kaki dan di sebelah kiri ketika solat hanyalah bagi mereka yang mendirikan solat di luar masjid (di tanah lapang). Bagi yang mendirikan solat di masjid, maka hendaklah menggunakan cara menyapu di baju seperti mana yang dianjurkan oleh Baginda SAW.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/39)

Badr al-Din al-A’ini menyatakan: “Larangan untuk meludah di dalam masjid adalah untuk memuliakannya daripada perkara yang kotor dan juga memuliakan arah kiblat. Selain itu, sebaiknya meludah di sebelah kiri dan jangan meludah di hadapan sesuatu benda yang mulia.” (Lihat Umdah al-Qari, 4/149)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Solat sama ada fardhu atau sunat adalah satu masa di mana kita berkomunikasi dengan Allah Yang Maha Tinggi dan menghubungkan diri kita dengan Tuhan kita. Allah berfirman dalam Surah Taha ayat 14, “Dan dirikanlah solat kerana mengingati Aku.” Oleh itu, tidak sesuai bagi orang yang sedang mengerjakan solat untuk meludah di hadapannya, kerana saat itu adalah waktu bermunajat dengan Allah. Dalam sebuah riwayat yang lain dalam Sahih al-Bukhari, dikatakan, “Sesungguhnya Tuhan-Nya (Allah) berada di antara dirinya (orang yang solat) dan kiblat.” Ini adalah satu pengkhususan daripada Allah Yang Maha Tinggi ketika seseorang bermunajat kepadanya sebagaimana dalam hadith yang lain yang menyebut, “Waktu seseorang hamba paling dekat dengan Tuhan-Nya adalah ketika dia sujud.” Allah Yang Maha Tinggi mendekati dan menghadiri hamba-Nya dengan sifat ketinggian-Nya.

Dan janganlah dia (orang yang sedang solat) meludah ke arah kanannya, kerana dalam hadith yang sahih disebutkan, “Sesungguhnya di sebelah kanannya ada seorang malaikat.” Dan menurut Ibnu Abi Syaibah, “Sesungguhnya di sebelah kanannya ada penulis kebaikan.” Demikian pula, di sebelah kirinya terdapat malaikat yang mulia, sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran:

إِذْ يَتَلَقَّى ٱلْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ ٱلْيَمِينِ وَعَنِ ٱلشِّمَالِ قَعِيدٌۭ

Maksudnya: Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.

 (Surah Qaf: 17)

Al-Baghawi mengeluarkan dalam tafsirnya daripada hadith Abu Umamah yang menyatakan: Rasulullah SAW bersabda, “Penulis kebaikan adalah pemimpin bagi penulis dosa.” Apabila ditanya: Bagaimana mungkin berbicara mengenai meludah ke arah kiri ketika ada malaikat di situ? Jawapannya, wallahu a’lam, dan adalah seperti berikut:

  • Orang yang sedang solat sepatutnya tidak meludah semasa solat, kecuali dalam keadaan ada keperluan, dan keperluan menghalalkan perkara-perkara yang biasanya dimakruhkan.
  • Arah ke kanan adalah lebih mulia daripada arah ke kiri, jadi kita menggunakan arah kanan untuk perkara-perkara yang baik, manakala arah kiri untuk perkara-perkara yang kurang baik.
  • Malaikat yang berada di sebelah kanan adalah lebih mulia daripada malaikat yang berada di sebelah kiri.
  • Syara’ menasihati orang yang sedang solat untuk meludah di bawah tapak kaki sebelah kiri, bukan ke arah malaikat. Jadi, ia bukan mengarahkan ludah ke arah malaikat, tetapi ke bawah kaki dan di bawah tapak, dan seorang Muslim berusaha menjauhi dosa sejauh yang mampu olehnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/93-94)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa meludah ketika solat, jika ada keperluan seperti kahak atau seumpamanya, adalah dibolehkan, tetapi mestilah diludah di bahagian kirinya, kerana ia adalah anjuran daripada Nabi SAW. Adapun meludah di bawah tapak kaki dan di sebelah kiri ketika solat hanyalah bagi mereka yang mendirikan solat di luar masjid atau di tempat selain masjid. Bagi yang mendirikan solat di masjid, maka hendaklah menggunakan cara menyapu di baju seperti mana yang dianjurkan oleh Baginda SAW.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply