SOALAN

Bolehkah lelaki solat dengan memakai singlet?

JAWAPAN

Solat dengan memakai singlet, atau memakai baju yang mendedahkan kedua-dua bahu, atau tidak berbaju, hukumnya adalah makruh namun sah solatnya. Rasulullah SAW bersabda

لاَ يُصَلِّي أَحَدُكُمْ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ مِنْهُ شَىْءٌ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang dari kamu solat dengan pakaian yang satu, yang mana tidak ada sesuatu di atas dua bahunya.”

Riwayat al-Bukhari (359) dan Muslim (516)

Menurut Imam al-Nawawi, “Hikmahnya adalah, jika dia memakai baju dan tidak ada sesuatu di atas bahunya, maka tidak selamat daripada terdedah bahagian auratnya, berbeza dengan jika diletakkan pakaian di atas bahu. Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie serta jumhur berpendapat: Larangan itu menunjukkan kepada makruh tanzih, bukannya kepada pengharaman. Jika seseorang itu solat hanya dengan memakai satu pakaian yang menutup auratnya, tetapi tidak menutup bahagian bahunya maka solatnya dikira sah berserta hukum makruh, sama ada dia mampu meletakkan sesuatu di atas bahunya ataupun tidak. (Lihat Syarḥ al-Nawawī ʿalā Muslim, 2/274).

Walaupun sah solatnya, sebaiknya pakailah pakaian yang sesuai dan kemas ketika ingin menunaikan solat.  Hayatilah firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).”

(Surah al-A’raf: 31)

Imam Al-Tabari dalam tafsirnya menyatakan bahawa perkataan خُذُوا زِينَة di dalam ayat bererti pakaian yang menutup aurat. Kami berdoa semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Wallahu a’lam.

0 thoughts on “#15 Solat dengan Memakai Singlet / Tidak Berbaju

Leave a Reply