Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ada satu jenis durian yang dipanggil  sebagai XO Durian. Apakah hukum makan durian jenis ni? Sebabnya, lepas makan akan rasa pening-pening sikit. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.”

(Surah al-Baqarah: 172)

Menurut Imam al-Hafiz Ibn Kathir, ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman agar memakan makanan yang baik (halal) daripada apa yang telah Allah SWT rezekikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan tersebut jika benar mereka itu adalah hamba Allah SWT. Tambahan pula, memakan daripada apa yang halal merupakan sebab diterimanya doa dan ibadah, sepertimana memakan daripada apa yang haram akan menghalang diterimanya doa dan ibadah. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/480)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT memerintahkan kepada keseluruhan umatnya yang beriman untuk mencari sumber rezeki yang paling baik dan halal. (Lihat Taisir  al-Karim al-Rahman, 1/81)

Kami mulakan dengan menerangkan secara ringkas berkenaan durian tersebut. Durian ialah buah daripada beberapa spesies pokok dalam genus Durio. Buah yang dihasilkan ini bersaiz besar, beraroma kuat dan isinya dilindungi oleh kulit yang berserat dan penuh duri, daripada duri-duri kulit buah itulah durian mendapat namanya. Ia amat terkenal di Asia Tenggara dengan gelaran “raja buah.” Buah durian boleh membesar sehingga 30 sentimeter (12 inci) panjang dan 15 sm (6 in) diameter, dan lazimnya seberat satu hingga tiga kilogram (2 hingga 7 paun). Bentuknya berbeza daripada bujur hingga bulat, warna kulitnya daripada hijau hingga perang, dan isinya daripada kuning pucat hingga merah, bergantung kepada spesies.[1]

Seterusnya, berkenaan Durian XO, ia ditanam di kawasan tanah tinggi dengan tanah yang mempunyai saliran yang baik. Sama seperti D24, durian XO juga berasal dari Pahang, Genting, dan Cameron Highlands, yang kebanyakannya terletak di kawasan yang tinggi. Durian yang pahit ini dinamakan sempena minuman beralkohol kerana isinya mempunyai rasa seperti ditapai yang menjadikannya hampir seperti alkohol, oleh itu ia diberi nama Durian XO.[2]

Dikatakan, mereka yang menggemari bau durian yang kuat dan rasa selepas seperti alkohol yang lebih kuat daripada versi D24 boleh mencuba isi durian XO. Ini kerana Durian XO ditapai di dalam kulitnya untuk tempoh yang sedikit lebih lama, itulah sebabnya mereka yang memakan buah ini mungkin berasa sedikit mengantuk.[3]

Kemudian, dalam menjawab soalan ini, secara umumnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudharatan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan — dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Selain itu, al-Qarafi juga ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal — berlepas daripada hukum haram.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa durion XO adalah halal dan harus dimakan sebagaimana hukum asalnya, jika ia tidak memabukkan, meskipun ia mengandungi alkohol kerana alkohol yang terhasil dalam buah tersebut bukanlah tujuan utamanya, sebaliknya hanya kesan sampingan yang terhasil daripadanya. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Lebih-lebih lagi, kadang-kadang alkohol yang terdapat dalam kebanyakan buah-buahan berlaku secara semulajadi dan bukannya hasil tindak balas yang dilakukan oleh seseorang.

Ini sebagaimana dinyatakan oleh Dr. Basri bin Ibrahim ketika beliau membahaskan berkenaan penggunaan alkohol ada menyatakan, alkohol antara bahan yang digunakan di dalam memproses kebanyakan makanan dan minuman halal. Cuma kandungannya sahaja yang kecil iaitu sekitar 5%. Kadang-kadang lebih dari kuantiti ini. Itupun berlaku secara semulajadi dan bukannya hasil tindak balas yang dilakukan oleh seseorang. Misalnya seluruh jenis perahan buah-buahan, susu pekat (Zabadi) dan bahan-bahan pengawet. Tidak ada satupun daripada makanan dan lain-lain yang kita sebutkan di sini dari segi saintifiknya boleh diletakkan dibawah kategori benda-benda yang memabukkan atau minuman beralkohol. Tidak ada seorangpun yang mengatakan, ia merupakan bahan-bahan yang mengandungi alkohol. Di kalangan para ulama pula, tidak ada perselisihan di kalangan mereka dari segi kebolehan menggunakan bahan-bahan ini. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa oleh Dr. Basri bin Ibrahim, hlm. 599).

Bahkan di sana terdapat beberapa keputusan atau pandangan hukum Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dari 1988 hingga 2011 berkenaan isu alkohol dalam makanan dan minuman. Kami rangkumkan keputusannya sebagaimana berikut:

  • Kordial yang mengandungi bahan perisa (flavour) yang dimasukkan alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:
  • Alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak.
  • Bahawa kuantiti alkohol dalam perisa (flavour) itu adalah sedikit iaitu tidak memabukkan.
  • Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
  • Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  • Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
  • Tapai halal dimakan
  • Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan
  • Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan
  • Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh ) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh
  • Minuman ringan yang diproses bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum
  • Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum
  • Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

Sekalipun begitu, kami juga ingin menegaskan bahawa jika memakan durian itu menjadikan seseorang itu mabuk, maka tidak syak lagi ia adalah diharamkan sepertimana hukum arak. Ini kerana apa-apa makanan dan minuman yang memabukkan adalah haram untuk dimakan dan diminum. Dalilnya adalah sebagaimana riwayat Ummul Mukminin, Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah haram.”

Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)

 Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyatakan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.” (Lihat Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul, hlm. 360).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Durian. Diakses pada 21 Ogos 2024.

[2] Lihat https://www.duriaddict.my/durian-xo/. Diakses pada 21 Ogos 2024.

[3] Lihat https://www.emicakes.com.sg/post/different-types-of-durians. Diakses pada 21 Ogos 2024.

Leave a Reply