Soalan

Assalamualaikum ustaz. Sesetengah peniaga meletakkan benda-benda fizikal seperti beras, syiling, garam dan seumpamanya di premis perniagaan mereka, dengan tujuan untuk menarik pelanggan. Ia boleh disebut sebagai amalan pelaris juga. Mohon pandangan ustaz terhadap perkara ini.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perniagaan dan Rezeki dalam Islam

Perniagaan merupakan pekerjaan mulia dalam usaha mencari rezeki. Islam menggalakkan umatnya berusaha mencari rezeki antaranya melalui jalan perniagaan. Allah SWT berfirman:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

MaksudnyaKemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

(Surah al-Jumu’ah: 10)

Ibnu Kathir berkata: Ketika Allah melarang mereka berjual beli setelah terdengar suara azan dan memerintahkan mereka untuk berkumpul, maka Allah mengizinkan mereka setelah selesai menunaikan solat untuk bertebaran di muka bumi dan mencari kurnia Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim8/183)

Imam al-Baghawi berkata: Iaitu apabila telah selesai daripada solat maka bertebaranlah di muka bumi untuk melakukan perniagaan dan menyelesaikan urusan-urusan kamu. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 8/123)

Allah SWT juga berfirman:

وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِن فَضْلِ اللَّـهِ ۙ وَآخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ

Maksudnyadan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamaNya).

(Surah al-Muzzammil: 20)

Ibn Kathir berkata: (antara lain, mereka yang) melakukan perjalanan (musafir) di muka bumi untuk mencari kurnia Allah melalui usaha dan perdagangan. Manakala yang lain pula sibuk dengan sesuatu yang lebih penting dalam pandangan mereka, iaitu berperang di jalan Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/331)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Miqdam R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ

Maksudnya“Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang itu, lebih baik daripada ia memakan makanan yang hasil dari usaha tangannya sendiri dan sesungguhnya adalah Nabi Allah Daud AS memakan makanan yang hasil dari usaha tangannya sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (2072)

Nabi SAW sendiri pernah terlibat dalam bidang perniagaan secara langsung. Malah sahabat-sahabat besar Baginda sendiri turut terlibat dalam dunia perniagaan sepertimana sahabat Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf.

Meskipun begitu, perniagaan yang dilakukan hendaklah mengikut garis-garis dan etika perniagaan yang telah ditetapkan oleh Islam. Usaha yang dilakukan hendaklah dipastikan tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Islam. Antaranya peniaga diminta supaya tidak melibatkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada mensyirikkan Allah SWT dalam usaha meraih rezeki dan keuntungan dalam perniagaan.

Definisi Pelaris

Menurut Kamus Dewan, pelaris ditakrifkan sebagai ilmu hikmat atau jampi penawar dan lain-lain, yang boleh menjadikan jualan dan sebagainya laris. Dalam Kamus Pelajar pula, pelaris bermaksud mantera dan sebagainya yang dapat menjadikan sesuatu itu laris.[1]

Hukum Meletakkan Benda-benda Tertentu Sebagai Pelaris

Menjawab soalan yang timbul, meletakkan benda-benda fizikal sebagai pelaris bagi menarik pelanggan serta melariskan perniagaan adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini kerana pergantungan seseorang akan beralih kepada pelaris, bukannya kepada Allah SWT. Ia adalah satu amalan yang khurafat yang boleh membawa kepada mensyirikkan dan menyekutukan Allah SWT dengan pelaris.

Dalam Islam, perbincangan berkenaan hal ini sering dikaitkan dengan al-tamimah (tangkal). Meletakkan benda-benda fizikal tersebut di premis perniagaan dengan harapan dapat menarik pelanggan dan melariskan perniagaan termasuk dalam perkara menggunakan tangkal. Sesungguhnya Islam melarang sebarang penggunaan tangkal. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

Maksudnya“Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan ‘tiwalah’ itu adalah syirik.”

Riwayat Imam Ahmad (3615), Abu Daud (3883) dan Ibnu Majah (3530)

Imam al-Munawi berkata: Menggunakan tangkal dianggap syirik kerana bererti seseorang itu meyakini ia dapat memberi pengaruh (ta’thir) dan ini boleh membawa syirik kepada Allah.

Al-Tibi pula berkata: Maksud syirik pada hadis di atas adalah apabila seseorang meyakini bahawa ia (jampi, tangkal dan tiwalah) mempunyai kekuatan dan mampu memberi kesan (dalam mempengaruhi/mengubah sesuatu) dan perkara tersebut adalah jelas bertentangan dengan tawakkal kepada Allah. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/121)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً فَلاَ أَتَمَّ اللَّهُ لَهُ وَمَنْ عَلَّقَ وَدَعَةً فَلاَ وَدَعَ اللَّهُ لَهُ

Maksudnya“Siapa yang menggantungkan tangkal, nescaya Allah SWT tidak akan selamatkannya dari tangkal itu. Dan siapa yang memakai azimat, nescaya Allah SWT tidak sempurnakan azimat itu.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (20090), al-Hakim dalam al-Mustadrak (7501) dan Ibn Hibban (6096)

Di dalam sebuah hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ

Maksudnya“Sesiapa yang menggantung sesuatu nescaya dia akan diserahkan kepadanya (benda yang digantung).”

Riwayat al-Tirmizi (2072)

Ibn al-Athir sepertimana dinukilkan oleh Syeikh Mulla ‘Ali Al-Qari, berkata: Sesiapa yang menggantungkan sesuatu ke atas dirinya daripada pelindung-pelindung, tangkal, dan yang seumpama dengan keduanya dengan beriktikad bahawa kesemua itu mendatangkan manfaat atau menghalang kemudaratan nescaya dia akan diserahkan kepadanya. Iaitu dia akan dibiarkan bersama benda yang dijadikan pelindung itu dan akan ditinggalkan bersamanya. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 7/2882)

Syeikh ‘Atiyyah Saqar dalam fatwanya pernah menyebut: “Sesiapa yang mempercayai sesuatu khurafat seperti kayu kokka (sebagai tangkal pelindung yang) dapat menghindarkan syaitan dan iblis, memurahkan rezeki dan menyembuhkan penyakit, ia adalah pelaku syirik kerana segala itu adalah hak Allah SWT semata-mata.”

Sesungguhnya bukanlah dengan meletakkan objek tertentu itu, yang dapat menarik keuntungan berkali ganda. Akan tetapi, ia dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan kerja keras serta sifat taqwa yang sesungguhnya kepada Allah SWT. Firman-Nya:

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnyadan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

(Surah al-Talaq: 2-3)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, sesiapa yang bertakwa kepada Allah dalam seluruh perintah-Nya dan menjauhi seluruh larangan-Nya, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Yakni, dari arah yang tidak pernah terlintas dalam hatinya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/31)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ , اتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ ، فَإِنَّ نَفْسًا لَنْ تَمُوتَ حَتَّى تَسْتَوْفِيَ رِزْقَهَا , وَإِنْ أَبْطَأَ عَنْهَا ، فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ ، خُذُوا مَا حَلَّ ، وَدَعُوا مَا حَرُمَ.

Maksudnya: “Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Allah dan berusahalah dengan cara yang baik! Sesungguhnya satu jiwa itu tidak akan mati sehingga rezekinya diberikan secara sempurna, walaupun lambat. Oleh kerana itu bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan berusahalah dengan cara yang baik! Ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.”

Riwayat Ibnu Majah (2144)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, meletakkan benda-benda fizikal seperti beras, syiling, garam dan sebagainya sebagai amalan pelaris untuk menarik pelanggan adalah termasuk dalam perkara-perkara khurafat dan boleh membawa kepada mensyirikkan Allah SWT.

Hindarilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kepercayaan khurafat dan syirik dalam usaha kita mencari rezeki yang berkat. Sebaliknya, berusahalah dengan cara yang baik serta lazimi dan amalkanlah ayat-ayat Quran di samping bermohon kepada Allah agar dikurniakan rezeki dan keuntungan yang berganda dalam perniagaan.

Kami juga mengesyorkan supaya banyakkan beristighfar memohon ampun kepada-Nya sepertimana nas Ilahi:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

(Surah Nuh: 10-12)

Semoga kita sentiasa diberi petunjuk dalam mengamalkan ajaran-ajaran Islam yang sebenarnya serta dijauhkan daripada kebatilan dan saya juga berdoa agar Allah kurniakan kepada kita rezeki yang halal dan dimurahkan serta diberkati-Nya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pelaris

Leave a Reply