Soalan

Assalamualaikum ustaz. Benarkah tiada bacaan wa’afini dan wa’fu ‘anni dalam bacaan ketika duduk antara dua sujud? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kedudukan Bacaan Ketika Duduk Antara Dua Sujud

Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam mensyarahkan kalam Imam al-Nawawi berkata:

قَائِلًا رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافَنِي لِلِاتِّبَاعِ فِي الْكُلِّ وَسَنَدُهُ صَحِيحٌ زَادَ فِي الْإِحْيَاءِ وَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “Disunatkan seseorang membaca: رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافَنِي’ (Wahai Tuhanku, ampunkan dosaku, rahmati aku, bantulah aku, tinggikan darjatku, berikan rezeki kepadaku, berikan petunjuk kepada ku, lindungi aku) kerana ittiba` (mengikut Sunnah Nabi) bagi setiap permohonan itu, dan sanadnya sahih, ditambah dalam (kitab) al-Ihya’: ampunkan aku.”[1]

Hadis-hadis yang diriwayatkan menyebut tentang bacaan semasa duduk antara dua sujut ini pelbagai. Para ulama menyusunnya agar lebih banyak fadhilat dan lebih berhati-hati. Perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dengan katanya: “Adapun hadis Ibn `Abbas maka meriwayatkannya oleh Abu Daud, al-Tirmizi dan selain mereka berdua dengan sanad yang baik dan al-Hakim meriwayatkannya dalam al-Mustadrak dan katanya, “Sahih Isnadnya.” Dan lafaz oleh Abu Daud:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي

Dan lafaz al-Tirmizi seumpamanya tetapi dia menyebut “bantulah aku dan tinggikan darjatku”, dalam riwayat Ibn Majah ‘وَارْفَعْنِي’ mengganti ‘وَاهْدِنِي’. Dan dalam riwayat al-Baihaqi:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي‏ وَاهْدِنِي

Maka pendapat yang berhati-hati dan lebih terpilih ialah dengan menghimpunkan semua riwayat itu dan menyebut semua lafaznya yang tujuh iaitu:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَأَجِرْنِي وَارْفَعْنِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي

Imam al-Nawawi menyebut: “Pengarang kitab al-Tatimmah (Imam Abu Sa`d al-Mutawalli) berkata bahawa tidak dita`yinkan (ditentukan) dengan doa ini sahaja bahkan apa-apa doa yang dibaca padanya maka berhasillah sunat tetapi lebih afdal jika dibaca apa yang ada dalam hadis.”[2]

Maka jelas kepada kita bahawa tambahan wa`afani (وَعَافِنِي) itu adalah sabit dalam Sunnah Rasulullah ﷺ dan bukan rekaan yang tertolak.

Bagaimana dengan tambahan wa`fu`anni (وَاعْفُ عَنِّي)?

Sepertimana yang telah dijelaskan di atas, tambahan wa`fu`anni (وَاعْفُ عَنِّي) disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulum al-Din (1/155). Tambahan ini juga bukan tambahan yang tertolak kerana duduk ketika duduk adalah waktu berdoa dengan apa-apa pun doa seperti mana yang disebut oleh Imam al-Mutawalli. Tambahan lagi, penambahan tersebut tidak mendahului Sunnah sehingga dikatakan kurang afdhal kerana dibaca selepas dibaca doa-doa yang ma`thur ketika duduk antara dua sujud. Makna wa`fu`anni (وَاعْفُ عَنِّي) juga bukan bermaksud buruk sebaliknya meminta agar Allah memadamkan kesalahan-kesalahan kita.

Perbezaan di antara “العفو” dan “المغفرة”

Para ulama berselisih pendapat dalam masalah ini iaitu dalam menentukan kalimah mana yang lebih ablagh (lebih mendalam maksudnya). Sebahagian mereka menyatakan bahawa kalimah “العفو” lebih ablagh berbanding “المغفرة”. Antaranya ialah Imam al-Ghazali di dalam kitabnya ada menyatakan berkaitan perbezaan di antara dua kalimah ini iaitu “العغو” adalah memohon agar Allah SWT memadamkan dosa-dosa serta berlepas daripada segala maksiat. Ia hampir kepada “الغفور” tetapi kalimah ini lebih ablagh berbanding “الغفور” kerana “الغفور” adalah memohon agar Allah SWT menutup (bukannya memadam).[3]

Selain itu juga, Syeikh Muhammad Munir al-Dimasyqi berkata di dalam kitabnya, bahawa “العفو” pada hak Allah diibaratkan menghapuskan kesan-kesan dosa keseluruhannya daripada buku catatan amalan dan ia tidak akan dituntut lagi di hari Akhirat kelak. Di samping itu juga, ia dilupakan daripada hati-hati mereka supaya dengan itu mereka tidak akan malu apabila disebut akannya serta ditukar setiap tempat dosa itu dengan kebaikan. Untuk itu, “العفو” lebih ablagh berbanding “المغفرة” kerana “المغفرة” adalah menutup (dosa-dosa). Adapun, “العفو” adalah memadam atau menghapuskan.[4]

Pandangan yang kedua menyatakan sebaliknya iaitu “المغفرة” lebih ablagh berbanding “العفو” kerana “المغفرة” adalah menutup dan juga menggugurkan hukuman serta akan mendapat pahala. Adapun “العفو” tidak menutup (dosa yang dilakukan) serta tidak semestinya akan memperolehi pahala atau ganjaran. Antaranya ulama yang cenderung kepada pandangan ini ialah Imam Ibn Rejab al-Hanbali. Beliau menyatakan bahawa “المغفرة” ini tidak akan terhasil melainkan dengan digugurkan hukuman serta tidak akan tuntut lagi. Ini kerana, “المغفرة” sebagai pelindung daripada keburukan dosa secara keseluruhannya dan pengampunan itu biasanya berlaku selepas daripada hukuman. Untuk itu, segala musibah-musibah dunia ini adalah penghapus kepada dosa-dosa dan itu dinamakan sebagai hukuman. Adapun “العفو” boleh berlaku bersama dengan hukuman atau tanpa hukuman.[5]

Daripada sudut hadis, lafaz wa`fu`anni (وَاعْفُ عَنِّي) sebagai doa adalah ma`thur yakni berasal daripada hadis-hadis yang disandar kepada Rasulullah dan boleh diamalkan. Daripada Ibn Abi `Aufa RA bahawa seorang lelaki berjumpa Rasulullah untuk mengajarnya bacaan dalam solat sedangkan dia adalah seorang tidak mampu membaca al-Quran dengan baik, lalu Baginda mengajarnya doa berikut:

اللهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Lalu Baginda bersabda: “Maka dengan itu, penuhlah kedua tangannya dengan kebaikan.”[6]

 

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan dan fakta di atas, maka kami cenderung kepada pendapat bahawa dibenarkan membaca doa wa`afini (وَعَافِنِي) dan wa`fu `anni (وَاعْفُ عَنِّي) dalam bacaan doa duduk antara dua sujud kerana sabitnya bacaan yang pertama dalam Sunnah Rasulullah , dan umumnya keharusan berdoa ketika duduk antara dua sujud dengan apa-apa doa, selagi mana tidak meninggalkan Sunnah yang sabit. Jika tidak, maka kurang fadilatnya. Semoga penjelasan ini memberikan kita kekuatan untuk beristiqamah dalam mempelajari ilmu dan beramal.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/77

[2] Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 3/436-438

[3] Lihat al-Maqsad al-Asna, hlm.140

[4] Lihat al-Nafahat al-Salafiyyah, hlm. 87

[5] Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/526

[6] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (2/532)

-29%

Siri Kematian

eBook 7 Siri Kematian

Rated 0 out of 5
RM30.00
-17%
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
-58%
RM50.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
-60%

Kajian Ilmiah

Fiqh Banjir

Rated 0 out of 5
RM2.00

Leave a Reply

Your email address will not be published.