#238: Kedudukan Solat Zohor Jika Haid Datang Waktu Asar

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya sudah solat Zohor. Kemudian didapati haid saya datang pada waktu Asar. Adakah saya perlu qadha’ Zohor dan Asar sekali? Hal ini kerana, dikatakan ada kemungkinan darah sudah kering sejak Zohor lagi. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Antara keistimewaan kaum hawa adalah haid. Ia adalah kitaran normal bagi setiap perempuan apabila sudah mencapai umur akil baligh. Nabi SAW bersabda:

إِنَّ هَذَا شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ

Maksudnya:Ini (kitaran haid) adalah sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan bagi anak cucu perempuan Adam.”

Riwayat Muslim (2976)

Haid  dari segi istilah syarak ialah  darah  tabi’i yang keluar daripada  pangkal rahim perempuan ketika badannya sihat dalam tempoh tertentu. Kebiasaan warna darah ialah kehitaman, merah, kuning atau warna keruh seperti tanah atau air kotor dan berbau. (Lihat al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami, 1/118)

Pendapat yang paling sahih dalam kalangan fuqaha Syafie ialah cecair warna kuning dan keruh yang keluar pada tempoh haid adalah termasuk dalam darah haid. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 88)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula menyebut: “Erti haidh pada bahasa ialah mengalir. Manakala erti haidh pada syara’ ialah darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/77)

Pada hukum asal, wanita yang kedatangan haid tidak wajib melaksanakan solat. Ini kerana haid adalah perkara yang mani` (penghalang) bagi kewajiban solat. Dalilnya adalah hadis Fatimah bin Abu Hubaisyah R.Anha bahawa Rasulullah bersabda:

فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ  فاترُكي الصَّلاَةَ، فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya: Ketika kedatangan haid, hendaklah kamu tinggalkan solat. Maka apabila tempohnya sudah berlalu hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”

Riwayat al-Bukhari (236) dan Muslim (333)

Imam al-Nawawi berkata dalam mensyarahkan hadis ini: “Telah bersepakat para ulama bahawa ke atas wanita itu tidak ditaklifkan (diwajibkan) untuk bersolat dan tidak ditaklifkan untuk menggantikannya.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 4/22-23)

Solat yang ditinggalkan sewaktu haid tidak perlu digantikan apabila wanita itu suci. Ini kerana haid merupakan ketetapan yang telah Allah jadikan bagi wanita. Ini berdalil hadis yang diguna pakai adalah hadis Aisyah R.Anha:

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Perkara itu (yakni haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid).”

Riwayat Muslim (335)

Imam al-Nawawi berkata lagi: “Sesungguhnya solat itu banyak dan berulang-ulang maka akan menyukarkan wanita untuk menggantikannya, berbeza dengan puasa, yang diwajibkan dalam setahun itu sekali sahaja, dan mungkin seseorang wanita itu haid hanya satu atau dua hari sahaja. Berkata ashab kami (ulama Syafieyyah) setiap solat yang luput pada zaman haid tidak diqadhakan melainkan dua rakaa (solat sunat) tawaf.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/26)

Berbalik kepada persoalan di atas, sebenarnya, wajib bagi wanita yang berhenti haidnya pada waktu Asar atau Isyak untuk menunaikan solat fardhu tersebut serta mengqadhakan solat fardhu yang sebelumnya yakni solat Zuhur atau Maghrib, jika mereka sempat berada dalam waktu kedua itu sekadar takbiratul ihram, bukannya bagi wanita yang baru datang haid.

Kata Imam al-Nawawi: “Yang sahih di sisi kami (mazhab al-Syafie) bahawa mereka yang uzur wajib untuk melaksanakan solat Zuhur jika dia sempat melaksanakan apa yang wajib dengannya dalam solat Asar (apabila hilang uzurnya). Inilah pendapat Abdurrahman bin Auf, Ibn Abbas, ahli fiqh Madinah yang tujuh, Ahmad, dan selain mereka. Manakala kata al-Hasan, Qatadah, Hammad, al-Thauri, Abu Hanifah dan Malik, tidak wajib ke atas orang itu.)” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/66)

Ini kerana waktu Asar adalah waktu uzur bagi solat Zuhur dan waktu Isyak adalah waktu uzur bagi solat Maghrib. Waktu uzur di sini boleh diertikan sebagai ‘waktu kecemasan’ yakni waktu yang dibenarkan penangguhan solat fardu ke waktu solat fardu yang lain disebabkan suatu keuzuran dan kepayahan seperti musafir.  Dalam konteks haid dalam soalan di atas, wajib qadha waktu pertama bukan hanya bersifat afdhal (lebih baik) tetapi wajib kerana waktu kedua adalah waktu uzur bagi solat pertama.

Hal ini juga boleh dilihat sepertimana kata Imam al-Syirazi dalam kitab al-Muhazzab: “Dalilnya ialah bahawa waktu Asar bersama waktu Zuhur, dan waktu Isyak bersama waktu Maghrib adalah hak orang yang uzur yakni musafir. Maka, mereka yang berada dalam kategori uzur (seperti wanita berhaid apabila suci, orang gila apabila sedar dan lain-lain), waktu kedua itu adalah waktu solat pertama di sisi mereka.”

Imam al-Nawawi kemudian menghuraikan dengan katanya: “Sekiranya solat (kedua) yang sempat itu adalah Subuh, Zuhur, atau Maghrib maka tidak wajib solat melainkan solat itu sendiri. Sekiranya solat Asar dan Isyak, maka wajib melaksanakan solat Zuhur dengan Asar, dan solat Isyak dengan Maghrib tanpa khilaf (dalam mazhab al-Syafie).” Pendapat yang azhar (tepat) bahawa waktu solat yang sempat itu ialah seseorang itu berada dalam suatu waktu solat tidak kurang masanya daripada kadar takbiratul ihram, manakala pendapat lain ialah satu rakaat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/65)

Kesimpulan

Dalam kes di atas, jika seorang wanita itu bermula haidnya pada waktu Asar, sedangkan dia sudah menunaikan solat fardu Zuhur, maka dia hanya wajib untuk menunaikan solat fardhu Asar, atau mengqadhanya selepas suci jika dia tidak sempat solat sebelum datangnya haid. Begitu juga jika dia sudah melaksanakan solat Asar, kemudian datang haid pada waktu Asar juga, maka dia tidak perlu mengqadha solat Zuhur dan Asar kerana dia sudah selesai melaksanakan kedua-duanya. Tidak menjadi syarat sah suatu solat itu mesti sah juga solat fardu selepasnya, atau datang penghalang (seperti haid dan gila) pada waktunya sedangkan solat-solat fardu itu sudah pun dilaksanakan.

Walaupun begitu, sebahagian ulama’ berpendapat perlu qadha’ solat Zohor kerana waktu Zohor yang bersambung dengan Asar. Begitu juga kerana ihtiyat (sebagai langkah berjaga-jaga).

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 6/1/2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *