#582: Meminta Sedekah Tanpa Keperluan

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum meminta sedekah tanpa sebarang keperluan? Dan apa hukum seorang yang meminta-minta sedekah? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Sedekah

Berkenaan dengan takrif sedekah pada bahasa, ia dengan maksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 271)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riyak, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620)

Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat.

Pada asasnya, amalan sedekah adalah termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dalam Islam. Sedekah itu bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 15/370 dan al-Mausuah al-Fiqhiyyah, 26/323)

Ibn Manzur pula mendefinisikan sedekah sebagai satu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan. (Lihat Lisan al-Arab, 10/196)

Anjuran untuk Bekerja dan Larangan Meminta-Minta

Islam menggalakkan dan menyanjung tinggi umatnya yang bekerja supaya tidak perlu meminta-minta kepada orang lain. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal untuk menjauhkan diri dari meminta-minta, dan sebagai satu usaha untuk keluarganya dan untuk bersikap baik dengan tetangganya, maka dia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dalam keadaan mukanya bagaikan bulan purnama. Dan sesiapa yang mencari dunia secara halal, namun dengan niat untuk menimbunkan harta, berbangga dan bersikap sombong, maka dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat dalam keadaan Allah murka kepadanya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).

Antara iktibar yang dapat diambil daripada hadis ini ialah, bekerja merupakan satu perkara yang dituntut. Hadis di atas juga jelas menunjukkan bahawa setiap orang perlu berusaha dan bekerja bagi meneruskan kesinambungan hidup.

Di samping itu, seseorang yang berusaha dan bekerja dengan cara yang halal, meskipun dipandang hina oleh manusia, itu adalah lebih baik dan mulia daripada meminta-minta dan menjadi beban bagi orang lain. (Lihat Bahjatu al-Nazirin1/598)

Rasulullah SAW pernah bersabda:

 لأَنْ يَأخُذَ أحَدُكُمْ أحبُلَهُ ثُمَّ يَأتِيَ الجَبَلَ ، فَيَأْتِيَ بحُزمَةٍ مِنْ حَطَب عَلَى ظَهْرِهِ فَيَبِيعَهَا ، فَيكُفّ اللهُ بِهَا وَجْهَهُ ، خَيْرٌ لَهُ مِنْ أنْ يَسْألَ النَّاسَ ، أعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya, jika seseorang daripada kamu mengambil tali, lalu dia pergi ke gunung (untuk mencari kayu api), kemudian dia pulang dengan memikul seikat kayu api di atas belakangnya untuk dijual, sehingga dengan itu Allah menjaga mukanya (kehormatannya), maka ia adalah lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada manusia, sama ada mereka memberi atau menolak.”

Riwayat al-Bukhari (1402) dan (1410)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Pada hadith ini terdapat anjuran untuk menjaga diri dan menghindari sikap meminta-minta, walaupun seseorang perlu merendahkan dirinya dalam mencari rezeki dan menghadapi kesukaran. Jika bukan disebabkan hodohnya meminta-minta dalam pandangan Syariat, sudah tentu mencari rezeki sehingga ke tahap seperti itu tidaklah dianggap lebih utama daripada meminta-minta. Ini kerana seorang peminta akan merasa hina ketika meminta dan ketika ditolak. Begitu juga dengan pemberi, jika akan memberi kepada setiap orang yang meminta, maka dia akan mengalami krisis harta yang dimilikinya.

Adapun ungkapannya ‘lebih baik baginya’, bukan bermaksud perbandingan. Ini kerana tidak ada kebaikan dalam meminta-minta sekiranya dia masih mampu berusaha. Pendapat paling sahih menurut ulama’ mazhab Syafie adalah bahawa meminta dalam keadaan seperti itu hukumnya adalah haram. (Lihat Fath al-Bari, 8/220)

Justeru, setiap individu wajib berusaha dan bekerja untuk mencari rezeki dengan apa jua jenis pekerjaan yang dijalankannya sama ada dalam bidang pertanian, pertukangan, perniagaan atau urusan pejabat dan perkeranian serta menjalankan apa jua profesion yang mendatangkan manfaat.

Maka dengan kerja yang dijalankan itu, dia dapat mengkayakan dirinya dengan sendiri dan memenuhi keperluan dirinya dan ahli keluarganya tanpa memerlukan bantuan dari orang perseorangan atau mana-mana yayasan kebajikan atau kerajaan. Dengan itu juga, dia dapat menyelamatkan dirinya daripada belenggu kemiskinan dan seterusnya memberi sumbangan pula dalam usaha memberi kekayaan kepada masyarakat seluruhnya.

Selain itu, Islam juga memberi kebebasan untuk umat Islam memilih sesuatu pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan, kepakaran, keahlian dan pengalamannya. Dalam hal ini, meskipun kebebasan diberikan dalam memilih sesuatu pekerjaan, tetapi jika ia jelas membawa bahaya dan mudarat sama terhadap individu atau masyarakat umum, dalam aspek moral mahupun material, maka pekerjaan yang seperti ini adalah diharamkan oleh Islam. (Lihat Musykilatu al-Faqr, hlm. 43)

Selain itu, Islam memerintahkan umatnya agar tidak mengikat sesuatu kontrak kerja dalam perkara kemaksiatan, dan mendorong untuk bekerja dalam ruang yang dihalalkan sahaja, serta tidak melampaui atas. (Lihat al-Fiqh al-Islami, 5/3818)

 

Meminta Sedekah Tanpa Keperluan

Amalan meminta sedekah atau mengemis dilihat sebagai satu trend yang semakin menjadi-jadi di negara kita. Amalan ini dijadikan profesion dalam kalangan pengemis itu sendiri pada masa kini.

Sememangnya agama Islam itu sendiri tidak menggalakkan amalan meminta-minta melainkan jika sekiranya terdapat keperluan dan darurat. Islam menyuruh umatnya untuk sentiasa berusaha dalam mencapai cita-cita dan kejayaan. Gejala ini jika sekiranya tidak dibendung dengan segera akan menjadikan umat Islam itu dipandang rendah dan lemah seterusnya akan menyukarkan dalam membentuk masyarakat Islam yang berdaya saing.

Selain dari itu, umat Islam juga disuruh untuk sentiasa berinfaq dan bersedekah terhadap rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada sebahagian yang lain. Namun, suruhan kebaikan seperti ini bukanlah satu lesen atau pendorong kepada amalan mengemis atau meminta sedekah. Allah SWT berfirman:

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

Maksudnya“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.”

(Surah al-Munafiqun: 10)

Syeikh al-Maraghi menafsirkan, nafkahkanlah sebahagian kurniaan harta yang Kami berikan kepadamu sebagai tanda syukur terhadap nikmatNya dan kasih kepada hambaNya yang fakir. Simpanlah nafkah itu untuk hari perhitungan supaya kamu boleh memetik hasil daripada apa yang kamu telah amalkan. Janganlah kamu menyimpannya dalam peti-petimu kamu tinggalkan untuk ahli warismu. Ini disebabkan ahli warismu mungkin akan menghabiskannya pada jalan yang tidak akan mendatangkan kepujian dan sanjungan kepadamu, malah mendatangkan cacian dan makian kepadamu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/7032)

Dalam satu ayat yang lain pula, kita digalakkan untuk memberikan sedekah kepada mereka yang tidak meminta-minta. Firman Allah SWT:

لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا

Maksudnya“Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.”

(Surah al-Baqarah: 273)

Syeikh al-Maraghi menyebut mereka ialah golongan yang tidak mahu meminta kepada orang lain dengan cara mendesak sebagaimana yang dilakukan oleh para pengemis. Atau dapat juga diertikan mereka tidak mahu meminta kepada orang lain seperti yang dilakukan oleh pengemis yang biasanya mendesak. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/626)

Menjawab kepada persoalan di atas, hukum meminta sedekah tanpa sebarang keperluan yang darurat adalah haram dan dilarang di dalam Islam. Larangan tersebut dinyatakan berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

لاَ تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ وَلاَ لِذِي مِرَّةٍ سَوِيٍّ

Maksudnya“Tidak halal (untuk menerima) sedekah bagi orang yang kaya dan orang yang sihat tubuh badannya (untuk bekerja).”

Riwayat al-Nasaei (2597) Ibn Majah (1839) dan Abu Daud (1634). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menghukumkan sanad hadith ini sebagai qawiy (kuat).

Demikian juga larangan tersebut dalam satu hadith yang lain diriwayatkan oleh Sahl Ibn Hanzaliyyah R.A yang menceritakan perbualan Nabi SAW bersama sahabatnya:

مَنْ سَأَلَ وَعِنْدَهُ مَا يُغْنِيهِ فَإِنَّمَا يَسْتَكْثِرُ مِنْ جَمْرِ جَهَنَّمَ ، قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا يُغْنِيهِ؟ قَالَ: مَا يُغَدِّيهِ وَيُعَشِّيهِ.

Maksudnya“Sesiapa yang meminta-meminta, padahal dia mempunyai sesuatu yang cukup untuk dirinya, maka bererti dia hanya memperbanyak bara api neraka Jahannam.” Lalu para sahabat bertanya: “Bagaimanakah yang dikatakan cukup baginya?” Baginda menjawab: “Sesuatu yang mencukupi untuk makan siang dan malam.”

Riwayat Abu Daud (1629) dan Ibn Hibban (545). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih dengan syarat yang digunakan oleh Imam al-Bukhari.

Demikian satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا ، فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا، فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ

Maksudnya“Barangsiapa yang meminta harta kepada manusia untuk memperkayakan dirinya, maka bererti hanya meminta bara api neraka. Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak.”

Riwayat Muslim (1041)

Maksud ‘meminta harta kepada manusia’ di sini ialah seseorang yang meminta bagi tujuan mengumpulkan harta dan kekayaan dirinya tanpa sebarang keperluan kepadanya. (Lihat Fath al-Mun‘in, 4/395)

Imam al-Nawawi menaqalkan kata-kata al-Qadhi ‘Iyyadh bahawa yang dimaksudkan dengan ‘meminta bara api’ adalah diazabkan dengan api neraka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/130)

Kesimpulan

Tuntasnya, amalan mengemis dan meminta sedekah tanpa keperluan dan darurat adalah haram dan dilarang di dalam Islam. Namun, sekiranya terdapat keperluan yang mendesak maka ianya adalah dibolehkan. Kita juga digalakkan untuk memberi sedekah dan menginfaqkan harta kepada golongan yang memerlukan, namun tidak meminta-minta seperti pengemis.

Ajaran agama Islam itu sendiri menyuruh umatnya sentiasa bekerja dan berusaha dalam meneruskan kehidupan. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

لأَنْ يَغْدُوَ أَحَدُكُمْ فَيَحْطِبَ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَتَصَدَّقَ بِهِ وَيَسْتَغْنِيَ بِهِ مِنَ النَّاسِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ رَجُلاً أَعْطَاهُ أَوْ مَنَعَهُ ذَلِكَ فَإِنَّ الْيَدَ الْعُلْيَا أَفْضَلُ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Maksudnya“Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi ataupun ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Mulai dengan orang-orang yang ada dalam tanggunganmu.”

Riwayat Muslim (1042)

Semoga penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua untuk berubah ke arah yang lebih baik dalam kehidupan ini. amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *