Soalan
Assalamualaikum ustaz. Ketika khutbah Jumaat disampaikan oleh khatib, terdapat sesetengah jemaah yang membawa selawat dengan kuat semasa khatib menyebut nama Baginda Rasulullah SAW. Apa hukum perbuatan mengangkat suara ketika khutbah Jumaat ini? Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada asasnya, terdapat dua perkara umum yang menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat jumaatnya. Kami nyatakan perinciannya seperti berikut:
Pertama: Perkataan
Terdapat hadith Nabi SAW yang menyebut larangan seseorang itu berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ
Maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).”
Saidina Ali RA berkata, “Barangsiapa yang sia-sia bererti tidak beroleh apa-apa pada solat Jumaatnya.” Ertinya tidak diperolehi kelebihan Jumaat yang dituntut dan pahala yang diharapkan. (Lihat al-Mu`tamad, 1/533)
Para ulama’ telah berijma’ bahawa afdhal (sebaik-baiknya) bagi sesiapa yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar. Perbuatan itu lebih afdhal daripada dia menyibukkan diri dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa. (Lihat Fath al-Bari, 8/274)
Kedua: Perbuatan Anggota Badan
Sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Hal ini berdalilkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا
Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.”
Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang, serta menjadikan pelakunya lagha. Hal ini diluaskan lagi kepada perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan hilangnya fokus dan tumpuan dalam mendengar khutbah. Ia seperti bermain telefon bimbit, tidur, makan dan minum tanpa sebab dan seumpamanya.
Isu Selawat dengan Kuat Semasa Khutbah Jumaat
Berkenaan persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Dalam al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (4/592) disebutkan bahawa para ulama berkhilaf kepada tiga pandangan:
- Makruh: Bahkan sebaiknya tidak perlu berselawat, Ini adalah pandangan ikhtiyar Imam Ibn al-Mundzir. Begitu juga pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Sufyan al-Thauri.
- Harus sekiranya dibaca perlahan: Mazhab Maliki dan Hanbali: “Sunat dia berselawat secara perlahan dan tidak mengangkatkan suaranya.” Qadhi Abu Tayyib daripada Syafeiyyah juga menyatakan hukum makruh menguatkan suara kerana memutuskan istima` (mendengar khutbah).
- Harus walaupun dibaca kuat: Bahkan disunatkan. Inilah padangan rajih dalam Mazhab Syafie. Mereka mengatakan diharuskan untuk menguatkan suara bagi berselawat semasa khatib membaca firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
(Surah al-Ahzab: 56)
Imam Abu Hussin al-Imrani berkata: “Sekiranya hukum mustahab (sunat) ke atas seseorang untuk berdoa mendapatkan rahmat semasa dibaca ayat tentang rahmat, dan memohon perlindungan ketika dibaca ayat azab, maka begitu juga hal ini (yakni selawat).” (Lihat al-Bayan, 2/600)
Namun diharamkan untuk menguatkan suara secara melampau. Berkata Imam al-Azraie: “Bukanlah maksud boleh menguatkan suara ketika selawat itu sehingga melampau, seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang awam. Malah, perbuatan menguatkan suara secara melampau itu adalah bid`ah perlu diingkari!” (Lihat Asna al-Matalib, 1/270)
Syeikh al-Jamal dalam Hasyiah-nya (2/32) menyebut: “Inilah pendapat yang rajih, yakni apabila dilakukan hanya orang yang berdekatan sahaja yang mendengarnya. Imam al-Ramli berkata: Meninggikan suara secara melampau itu seperti yang dibuat oleh orang awam itu adalah bidaah yang perlu diingkari.”
Adapun di sisi Imam al-Nawawi, hukumnya cukup diharuskan sahaja. Ini berdasarkan zahir kenyataan beliau dalam Raudhah al-Talibin (2/48), bahkan lebih aula (utama) ialah mendengar khutbah. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/573)
Berdasarkan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa berselawat, dan mengangkat suara untuk berselawat, semasa khatib sedang berkhutbah dan menyebut Nabi SAW, adalah diharuskan, seperti mana yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita. Namun begitu, hendaklah dielakkan membaca dengan terlalu kuat, apatahlagi sehingga mengganggu orang lain, kerana hal berkenaan sepakat para ulama mengharamkannya.
Wallahu a’lam.
Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H
Leave a Reply