#27: Status Kenabian Luqman

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah Luqman yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran merupakan seorang nabi?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ…

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan..”[1]

Ibnu Jarir al-Tabari berkata: Iaitu Allah SWT memberikan Luqman pemahaman dalam agama, akal, dan kebenaran dalam perkataan.[2]

Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan hikmah kepada Luqman sehingga beliau sentiasa bersyukur dan memujinya dengan limpah rahmat dan nikmatnya yang dikurniakan kepadanya. Ini disebabkan hanya Dia yang berhak mendapat pujian dan disyukuri. Di samping itu juga, Luqman sering melakukan kebaikan kepada manusia.[3]

Luqman al-Hakim merupakan seorang yang disebut namanya di dalam al-Quran yang terkenal dengan nasihat-nasihatnya kepada anaknya sehingga Allah turunkan satu surah yang dikenali dengan Surah Luqman.

Nasab Luqman

Menurut Ibn Kathir, nama beliau ialah Luqman ibn Anqa’ ibn Sadun. Dikatakan juga Luqman ibn Tharan. Beliau adalah daripada penduduk Aylah (Jerusalem). Dikatakan beliau seorang qadhi pada zaman Nabi Daud AS. Pendapat lain menyebut beliau adalah seorang hamba dari Habsyah (Ethiopia) dan seorang tukang kayu. Ada juga pendapat mengatakan beliau dari Sudan Mesir.[4]

Kami kemukakan pendapat ulama’ berkenaan dengan nasabnya:

  • Muhammad bin Ishak berkata: Luqman bin Ba’ura’ bin Nahur bin Tarih.
  • Al-Suhaili berkata: Luqman bin ‘Anqa’ bin Sarun berasal daripada Aylah.
  • Al-Zamakhsyari berkata: Luqman bin Ba’ura’ bin Ukhti Ayyub atau Ibn Khalatih. Beliau hidup 1000 tahun dan sempat bertemu dengan Nabi Daud serta mengambil ilmu daripadanya
  • Al-Waqidi berkata: Beliau adalah Qadhi daripada Bani Israel.

Sifatnya

Yahya bin Sa’id al-Anshari meriwayatkan bahawa Sa’id bin al-Musayyib berkata, “Luqman adalah orang hitam dari Mesir/Sudan dan berbibir tebal. Allah memberinya hikmah, tidak memberinya kenabian.”[5]

Sufyan al-Tsauri meriwayatkan daripaad al-Asy’ath, daripada Ikrimah bahawa Ibnu Abbas berkata, “Luqman adalah seorang hamba sahaya dari Habsyah dan seorang tukang kayu.” Menurut Jabir bin Abdullah, Luqman adalah seorang lelaki pendek dan berhidung pesek yang berasal dari Naubah.

Pekerjaannya

Para ulama’ telah khilaf apakah pekerjaan Luqman al-Hakim, antaranya:

  • Beliau seorang qadhi.
  • Beliau seorang penjahit pakaian.
  • Beliau seorang pemungut kayu api.
  • Beliau seorang penternak.
  • Beliau seorang tukang kayu.[6]

 

Adakah Luqman Seorang Nabi?

Sepakat ulama bahawa Allah kurniakan kepadanya hikmah dan dirakamkan nasihatnya melalui al-Quran. Jumhur ulama’ mengatakan beliau adalah wali dan bukan nabi.

Ibn Kathir berkata: Para ulama’ Salaf berbeza pendapat tentang Luqman, apakah dia seorang Nabi atau seorang hamba yang soleh yang bukan Nabi? Dalam hal ini terdapat dua pendapat dan majoriti berpendapat dengan pendapat kedua (iaitu orang yang soleh).[7]

Imam al-Nawawi berkata, Para ulama berbeza pendapat berkenaan kenabian Luqman al-Hakim. Abu Ishaq al-Tsa’labi berkata, ‘Ulama bersepakat bahawa Luqman al-Hakim ialah orang bijaksana atau ahli hikmah dan bukan seorang nabi. Manakala Ikrimah pula berkata, bahawa Luqman ialah seorang nabi. Hanya beliau sahaja yang berpandangan dengan hal tersebut.”[8]

Tarjih: Setelah meneliti pelbagai pendapat, kami cenderung kepada pendapat jumhur di kalangan sahabat dan ulama’ yang mengatakan bahawa Luqman al-Hakim seorang hamba yang soleh dan bukan seorang Nabi. Justeru, pendapat seperti Ikrimah dan al-Sya’bi adalah lemah. Inilah juga yang disokong oleh Imam al-Nawawi dan Ibn Kathir.[9]

Beberapa Nasihat Luqman

Oleh kerana, Luqman telah diberi hikmah, maka hikmah di sini bermaksud kebijaksanaan dan kecerdikan. Hal ini terserlah melalui ungkapan nasihat kepada anaknya yang dirakamkan di dalam al-Quran al-Karim.

Kami nyatakan di sini beberapa nasihat Luqman selain daripada yang disebut di dalam Surah Luqman. Antaranya:

  • Wahai anakku! Sebenarnya dunia itu ibarat lautan yang dalam. Sudah ramai manusia yang tenggelam di dalamnya. Oleh itu, jadikanlah perahumu di dunia dengan pakaian bertaqwa kepada Allah, penumpangnya adalah keimanan dan layarnya adalah tawakkal kepada Allah. Semoga kamu semua selamat. Tetapi aku tidak yakin kamu akan selamat.
  • Sesiapa yang dapat menasihati dirinya sendiri, pasti beliau akan mendapat pemerhatian daripada Allah.
  • Sesiapa yang dapat menyedarkan orang lain dengan dirinya sendiri, pasti Allah akan menambah kemuliaannya kerana proses menyedarkan orang lain itu.
  • Hina dalam rangka taat kepada Allah lebih baik daripada membanggakan diri melakukan maksiat.
  • Wahai anakku! janganlah kamu bersikap terlalu manis kerana pasti engkau ditelan. Jangan kamu bersikap terlalu pahit kerana engkau pasti akan dimuntahkan.
  • Hai anakku! Jika kamu hendak menjadikan seseorang itu sebagai teman maka hendaklah kamu membuat dia marah kepadamu terlebih dahulu. Jika dia memaafkan ketika marah, maka bersaudaralah dengannya. Jika dia tidak memaafkanmu, maka berhati-hati terhadap dirinya.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita mengambil beberapa pengajaran daripada nasihat Luqman al-Hakim antaranya, firman Allah SWT:

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ ﴿١٧﴾ وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ ﴿١٨﴾ وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ

Maksudnya“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”[10]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 24 Februari 2022 bersamaan 22 Rejab 1443H

[1] Surah Luqman: 12

[2] Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 18/545

[3] Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5366

[4] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/6

[5] Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 10/208-209

[6] Lihat Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, no. 9211

[7] Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 12/348

[8] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi, 2/503

[9] Lihat juga Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, no. 9211

[10] Surah Luqman: 17-19

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *