#1064 Masbuq Solat Hari Raya

Last Updated: July 8, 2022By

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada persoalan di sini. Bagaimana yang perlu dilakukan oleh seseorang yang masbuq ketika solat hari raya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat Aidilfitri dan Aidiladha telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah. Solat hari raya pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat Aidilfitri pada tahun yang kedua Hijrah tersebut. Sementara dalil pensyariatannya pula ialah firman Allah SWT yang ditujukan kepada Nabi SAW:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, solatlah kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”[1]

Ulama tafsir menyatakan maksud solat dalam ayat tersebut ialah solat Aidiladha. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَىْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَىْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke musalla  (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian, Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu, Baginda pun bersurai.”[2]

Solat hari raya hukumnya ialah sunat muakkad. Hal ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat.

Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu. Solat hari raya disyariatkan secara berjemaah. Namun, sah dilakukan secara bersendirian. Begitu juga, ia disyariatkan berjemaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang merdeka atau hamba kecuali perempuan yang menghiasi diri atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.

Cara Solat Hari Raya

Para ulama juga telah bersepakat berkenaan cara-cara solat hari raya berdasarkan hadith Amru bin Auf al-Muzani RA, katanya:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَبَّرَ فِي الْعِيْدَيْنِ فِي الأُولَى سَبْعًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ وَفِي الآخِرَةِ خَمْسًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW bertakbir ketika solat dua hari raya, pada rakaat yang pertama sebanyak 7 kali sebelum membaca fatihah dan pada rakaat yang akhir sebanyak 5 kali sebelum membaca fatihah.”[3]

Solat hari raya dua rakaat dimulakan dengan takbiratul ihram, diikuti dengan doa  Iftitah. Kemudian, bertakbir sebanyak 7 kali sambil mengangkat tangan sebagaimana takbiratul ihram. Hendaklah diselangi di antara sekadar masa satu ayat sederhana dan sunat mambaca tasbih.

Seterusnya, membaca surah Al-Fatihah dan satu surah atau beberapa ayat daripada al-Quran. Selepas takbir ketika bangun pada rakaat kedua, hendaklah bertakbir sebanyak lima kali sebelum memulakan bacaan dan setiap takbir diselangi dengan tasbih.

Masbuk Ketika Solat Hari Raya

Jika seseorang itu masbuq dan tidak sempat bertakbir pada rakaat pertama bersama imam, maka terdapat dua situasi yang perlu diambil kira, iaitu:

  • Pertama: Dapat Rakaat Pertama Tanpa Takbir

Mengikut Mazhab al-Syafi’e, seseorang yang berada dalam situasi ini boleh meneruskan solatnya seperti biasa tanpa perlu mengqada’ takbirnya. Ini berdasarkan riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya.  Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca ‘Sami’Allahu li man Hamidah’ maka katalah ‘Rabbana wa lak al-Hamd’ . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah).[4]

Imam al-Nawawi menyebut dalam syarahnya, “Pada hadith ini menunjukkan bahawa wajib makmum mengikut imam pada takbir, pada berdiri, pada duduk, pada ruku’ dan pada sujud.”[5]

Seseorang yang terlambat ke masjid semasa solat hari raya sehinggakan imam telah selesai bertakbir rakaat pertama dan sedang membacakan al-Fatihah, maka dia boleh mengikut imam seperti biasa. Ini juga bermaksud, dia tidak perlu menggantikan takbirnya kerana rakaat pertamanya telah sempurna. Jumhur ulama’ juga berpendapat bahawa sah solatnya.

Imam al-Nawawi menyatakan: Sekiranya seseorang itu hadir untuk solat hari raya dan imam telah menyelesaikan 7 takbirnya atau sebahagiannya, maka dia tidak perlu untuk melakukan takbir-takbirnya itu yang dia terlepas kerana takbir itu bersifat sunat dan tempat untuk melakukannya telah habis, maka tidak perlu untuk dilakukan takbir itu sebagaimana doa iftitah. Manakala pada pendapat mazhab al-Syafi’e yang qadim, perlu dilakukan takbir-takbir itu kerana tempat takbir itu ketika qiyam, dan dia sempat berdiri untuk melakukannya, dan perbuatan tersebut tidak memberi apa-apa kesan pada solatnya.[6]

Justeru, dalam hal ini, kami cenderung untuk menyatakan bahawa tidak perlu untuk melakukan takbir-takbir yang telah tertinggal di dalam solat hari raya sebagaimana pendapat dalam mazhab al-Syafi’e.

  • Kedua: Masbuk Rakaat

Sekiranya seseorang itu terlepas satu rakaat solat hari raya, hendaklah dia menyempurnakan rakaat yang telah tertinggal. Pendapat ini adalah berdasarkan hadith riwayat  Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

Maksudnya: “Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat, dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah.”[7]

Imam al-Nawawi menyatakan dalam syarahnya: “Pada hadith ini terdapat seruan yang kuat supaya mendatangi solat dengan tenang dan mulia, serta larangan mendatangi solat dalam keadaan berlari sama ada untuk solat jumaat atau selainnya. (Begitu juga tidak boleh datang dalam keadaan berlari) sama ada takut terlepas takbiratul ihram ataupun tidak.” [8]

Seseorang yang sampai di masjid ketika solat hari raya dalam keadaan Imam telah membaca surah al-Fatihah pada rakaat kedua. Maka, apa yang perlu dilakukannya adalah dengan mengikut imam pada rakaat kedua tersebut. Apabila imam telah memberi salam, maka dia hendaklah bangun untuk menyempurnakan satu lagi rakaatnya. Hal ini sebagaiaman hadith riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ أَدْرَكَ الرَّكْعَةَ، فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang memperolehi satu rakaat, maka dia memperolehi solat tersebut”[9]

Imam al-Khatib al-Syarbini  berkata: “Jika seseorang itu sempat rukuk bersama imam dalam keadaan yang yakin sebelum imam bangun daripada rukuk, maka dia memperolehi rakaat tersebut. Jika seseorang itu sempat bersama imam pada waktu imam melakukan i’tidal atau selepasnya, maka ikutilah imam mengikut keadaanya ketika itu” [10]

Syeikh Soleh al-Munajjid dalam menjawab permasahan ini menyatakan: Jika seseorang yang solat di belakang imam mendapat rakaat kedua daripada solat hari raya, maka itulah permulaan solat baginya, iaitu rakaat pertama baginya, maka hendaklah dia bangun menyempurnakan solatnya selepas imam mengucapkan salam dan melakukan seperti rakaat kedua solat hari raya iaitu bertakbir lima kali pada permulaannya, kerana ia merupakan rakaat kedua baginya. Namun begitu, jika dia tidak sempat juga rakaat kedua bersama imam dan hanya sempat bertasyahhud akhir, maka hendaklah dia bangun dan menyempurnakan dua rakaat solat hari raya dengan bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan lima kali pada rakaat kedua. [11]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa jika seseorang itu berada dalam situasi terlepas takbir yang tujuh, tetapi sempat mendapatkan rakaat pertama bersama imam, maka dia boleh meneruskan solatnya seperti biasa tanpa perlu mengqada’ takbirnya sebagaimana pendapat dalam mazhab al-Syafi’ie. Pada situasi kedua pula, sekiranya seseorang itu terlepas rakaat pertama atau kedua bersama imam, maka dia perlu menyempurnakan rakaatnya yang tertinggal. Sekiranya dia hanya terlepas rakaat pertama sahaja, maka dia hanya perlu menggantikan rakaat kedua dengan 5 takbir pada permulaannya. Sekiranya dia terlepas dua rakaat bersama imam, maka hendaklah dia bangun dan menyempurnakan dua rakaat solat hari raya dengan bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan lima kali pada rakaat kedua.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 8 Julai 2022 bersamaan 8 Zulhijjah 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-Kautsar: 2

[2] Riwayat al-Bukhari (956) dan Muslim (889)

[3] Riwayat al-Tirmizi (536)

[4] Riwayat al-Bukhari (734) dan Muslim (417)

[5] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/132

[6] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/15

[7] Riwayat al-Bukhari (908) dan Muslim (602)

[8] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/99

[9] Riwayat Abu Dawud (893). Imam al-Bukhari menyatakan pada sanad hadith ini terdapat seorang perawi yang bernama Yahya bin Abi Sulaiman yang merupakan munkar hadith. Syeikh Syu’aib al-Arna’ut  menghukum sanad hadith ini dhaif di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2/167)

[10] Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaazi Abi Syuja’, 1/170

[11] Lihat Mauqi’ al-Islam So’al wa Jawab, 5/2029. Lihat juga  Lihat https://islamqa.info/ar/answers/138046/اذا-فاتته-ركعة-من-صلاة-العيد-او-الاستسقاء-فكيف-يصليها

Leave A Comment